June 17, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Jangan Mengada-Ngada Nak Jatuh Cinta Dengan Orang Lain” – Hisyam Hamid Tempelak Lelaki Curang

Spread the love

Watak Lukman dalam drama bersiri Ikatan Terlarang kini muncul antara karakter paling dibenci penonton apabila sikapnya yang curang terhadap isteri sendiri terus mencetuskan kemarahan ramai.

Namun di sebalik kejayaan menghidupkan watak suami yang sanggup mengkhianati rumah tangga demi hubungan terlarang, pelakon utama drama itu, Hisyam Hamid, menegaskan perbuatan curang adalah kesalahan terbesar yang tidak sepatutnya berlaku dalam sesebuah perkahwinan.

Menurut Hisyam, tiada alasan yang boleh menghalalkan tindakan seseorang lelaki untuk berlaku curang walaupun atas alasan sudah tidak lagi menyayangi pasangan atau jatuh cinta dengan orang lain.

“Tidak ada istilah jatuh cinta lagi. Dalam hal ini apabila sudah ada isteri, jangan mengada-ngada nak jatuh cinta dengan orang lain.

“Itu nombor satu punya kesalahan yang tidak boleh dibuat dan tidak boleh berlaku bila seseorang itu ada isteri. The biggest no-no ever,” katanya tegas.

Dalam drama itu, Lukman digambarkan menjalinkan hubungan sulit dengan Anabella atau Bella yang dilakonkan Mawar Rashid, wanita yang bukan sahaja kakak iparnya malah sahabat baik kepada isterinya sendiri, Azura lakonan Erysha Emira.

Babak demi babak yang memaparkan pengkhianatan Lukman membuatkan penonton semakin geram, malah ramai meluahkan rasa marah di media sosial terhadap watak berkenaan.

Walaupun menerima pujian kerana berjaya menjayakan karakter ‘red flag’ itu dengan begitu berkesan, Hisyam berkata dia tidak sesekali akan melakukan perkara sama dalam kehidupan sebenar.

“Saya secara peribadi pun apabila berada dalam sesuatu perhubungan, tidak akan buat perkara itu. Ya, mungkin kita ada melakukan kesilapan atau kesalahan dalam hidup, tetapi curang adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan sukar untuk dimaafkan,” katanya.

Sementara itu, Erysha Emira turut berkongsi pengalaman menjayakan antara babak paling hangat dalam drama tersebut apabila Azura bertindak menampar Lukman selepas mula mengesyaki suaminya berlaku curang.

Babak berkenaan menjadi tular dan menerima reaksi positif daripada penonton yang menganggap ia sebagai ‘balasan awal’ kepada sikap Lukman yang penuh muslihat.

Menurut Erysha, adegan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakonkan kerana memerlukan beberapa penggambaran semula bagi mendapatkan sudut kamera terbaik.

“Sebenarnya tangan saya lebam selepas melakukan babak tampar itu berkali-kali untuk mendapatkan beberapa syot yang berbeza.

“Tapi saya cuba memberikan yang terbaik kerana saya meletakkan diri saya sebagai Azura, seorang wanita yang dikhianati dan dicurangi oleh orang yang paling dipercayainya,” katanya.

Keberkesanan lakonan kedua-dua pelakon utama itu dilihat menjadi antara faktor utama yang membuatkan Ikatan Terlarang semakin mendapat perhatian penonton sejak mula bersiaran.

Drama terbitan I Fabulous Art Media & Event Sdn Bhd itu mengangkat kisah pengkhianatan, kepercayaan dan rahsia keluarga yang perlahan-lahan terbongkar sehingga menghancurkan kehidupan seorang wanita yang pada awalnya memiliki kehidupan sempurna.

Menampilkan gandingan pertama antara Hisyam Hamid dan Erysha Emira, drama 28 episod itu turut mendapat sentuhan pengarah Riza Baharudin serta penulis terkenal Indonesia, Oka Aurora yang sebelum ini menghasilkan beberapa karya popular bertemakan konflik rumah tangga.

Selain Hisyam dan Erysha, Ikatan Terlarang turut dibintangi Mawar Rashid, Raja Azura, Adrianna Adnan, Arash Mohamad, Alif Hadi, Didie Astillah, Syazwan Razak, Puteri Rayyqa, Zarina Zainuddin, Yaya Maembong, Jay Iskandar dan Esma Danial.

Kini, apabila semakin banyak rahsia mula terbongkar dan hubungan antara Azura, Lukman serta Bella semakin kusut, penonton pastinya tertanya-tanya apakah nasib yang bakal menimpa trio terbabit.

Jawapannya hanya boleh disaksikan menerusi Ikatan Terlarang yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria dan platform Sooka.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page