Isyana Ajak Peminat Selami ‘EKLEKTIKO’ Di Zepp KL Julai Ini
Selepas tiga tahun tidak bertemu peminat di Malaysia, penyanyi, komposer dan pemuzik serba boleh dari Indonesia, Isyana Sarasvati, kembali dengan sebuah persembahan yang menjanjikan pengalaman muzik lebih berani, intim dan sarat dengan ekspresi seni.
Menerusi konsert ISYANA SARASVATI LIVE IN KUALA LUMPUR (ASIA TOUR 2026) yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 Julai ini, pemilik lagu Tetap Dalam Jiwa itu mengajak peminat menyelami dunia kreatif terbaharunya menerusi album EKLEKTIKO yang kini menjadi perhatian peminat di seluruh Asia.
Lebih daripada sekadar sebuah konsert, persembahan itu bakal menjadi sebuah perjalanan muzik yang membawa penonton meneroka pelbagai dimensi karya Isyana, daripada lagu-lagu popular yang membesarkan namanya sehinggalah kepada sisi eksperimental yang semakin menyerlah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
EKLEKTIKO yang dilancarkan baru-baru ini dianggap antara karya paling berani dalam perjalanan seni Isyana. Album berkenaan dibahagikan kepada empat babak utama iaitu Lunora, Mamiu, Cecilia dan Abadhi, sekali gus memperlihatkan keberanian beliau meneroka bunyi dan emosi yang melangkaui batas muzik pop konvensional.
Dengan identiti muzik yang sentiasa berkembang, Isyana dijangka menghadiahkan sebuah persembahan yang penuh warna, dramatik dan kaya dengan susunan muzik yang megah, sekali gus membolehkan peminat merasai sendiri pengalaman yang selama ini hanya didengari menerusi rakaman studio.
Selaku penganjur, Redrose Entertainment bersama Vault + Vision Agency menyifatkan Isyana sebagai seorang seniman yang sentiasa berjaya menterjemahkan emosi dan pengalaman hidupnya ke dalam karya yang dekat dengan jiwa pendengar.
“Maka semua rasa itu ingin kami sampaikan dalam ISYANA SARASVATI LIVE IN KUALA LUMPUR (ASIA TOUR 2026) secara langsung.
“Kami mahu peminat benar-benar larut dalam karya-karya Isyana yang eklektik, merasakan kehadiran Isyana bersama seluruh pemain muzik dan melepaskan kerinduan yang sudah lama terpendam.
“Selepas lebih 10 tahun Isyana berkarya, kami percaya ini masa yang tepat untuk menghadirkan sebuah persembahan yang penuh warna, bertenaga dan mempunyai nilai sentimental tersendiri antara Isyana dan peminat di Malaysia,” kata wakil Redrose Entertainment dan Vault + Vision Agency, Sarah Kasenda.

Bagi Isyana sendiri, konsert itu mempunyai makna yang cukup istimewa kerana ia menjadi ruang untuk berkongsi perjalanan seni yang dibina bersama peminat selama lebih sedekad.
“Perjalanan yang baik ini harus saya kongsi bersama peminat kerana mereka adalah sebahagian daripada sumber inspirasi dalam penghasilan karya saya.
“Saya mahu meraikan peminat yang sentiasa antusias walaupun karya-karya saya tidak pernah terikat dengan teori, gaya atau genre tertentu.
“Sampai jumpa di Zepp Kuala Lumpur pada 17 Julai ini. Ada imaginasi yang ingin saya jadikan realiti, tentunya bersama semua peminat,” katanya.
Selain mempersembahkan karya-karya daripada EKLEKTIKO, Isyana juga dijangka membawa peminat mengimbau perjalanan kariernya menerusi lagu-lagu daripada album Explore! (2015), Paradox, LEXICON dan ISYANA.
Gabungan karya lama dan baharu itu dijangka menjadikan konsert berkenaan sebagai sebuah pengalaman yang meraikan evolusi Isyana bukan sahaja sebagai penyanyi popular, tetapi sebagai seorang seniman yang tidak pernah takut mencabar dirinya untuk terus berkarya di luar kebiasaan.
Bagi peminat yang merindui aura persembahan Isyana secara langsung, inilah peluang untuk kembali tenggelam dalam dunia muzik yang dibina dengan imaginasi, emosi dan keberanian yang menjadi identiti unik penyanyi itu.
Tiket ISYANA SARASVATI LIVE IN KUALA LUMPUR (ASIA TOUR 2026) dijual pada harga RM176 hingga RM288 mengikut kategori CAT 2, CAT 4, CAT 1 dan CAT 3. Turut ditawarkan pakej Per Pax pada harga RM520 serta VIP Box berharga RM4,800.
Tiket boleh didapati menerusi platform Loket, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sesawang Redrose Records dan Instagram @isaravatistage.
