June 25, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Global Ehsan Relief Sasar RM1 Juta Melalui Malam Dari Kasih Ke Ehsan

Spread the love

Malam Amal Tampilkan Inteam, PU Amin, Ustaz Hanafiah Dan Ustaz Jafri Bagi Perkasa Misi Kemanusiaan Dalam Dan Luar Negara

Pertubuhan kemanusiaan Global Ehsan Relief (GER) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta menerusi penganjuran program makan malam amal, Malam Dari Kasih Ke Ehsan yang bakal berlangsung di Dewan Tun Rahah, Kuala Lumpur pada 14 Ogos ini.

Program berprestij itu dijangka menghimpunkan penyumbang, wakil korporat, agensi kerajaan, rakan strategik serta masyarakat umum dalam usaha memperkukuhkan pelbagai misi kemanusiaan yang dilaksanakan GER sejak lebih sedekad lalu.

Pengarah Program, Suffi Shukor berkata, Malam Dari Kasih Ke Ehsan bukan sekadar sebuah majlis makan malam amal, sebaliknya menjadi platform untuk masyarakat melihat sendiri bagaimana setiap sumbangan yang diberikan berjaya diterjemahkan kepada bantuan yang membawa perubahan besar kepada kehidupan penerima manfaat.

“Melalui program ini, kami mahu menghubungkan masyarakat dengan realiti sebenar kerja-kerja kemanusiaan yang dilakukan di lapangan. Setiap ringgit yang disumbangkan mempunyai impak besar kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya sewaktu sidang media yang telah di adakan di Pejabat Global Ehsan Relief, Rumah Rohas, Kampung Baru pada 25 Jun lalu.

Acara berkenaan bakal diserikan dengan persembahan khas kumpulan nasyid terkenal Inteam selain perkongsian pengalaman daripada duta GER Malaysia iaitu Ustaz Hanafiah Abdul Malek, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dan Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali sebagai PU Amin.

Majlis turut dihoskan personaliti televisyen terkenal, Fedtri Yahya yang akan membawa para hadirin menyelami pelbagai kisah kemanusiaan serta kejayaan misi bantuan yang dilaksanakan GER di beberapa negara bergolak.

Antara pengisian utama malam itu ialah perkongsian pengalaman Ustaz Hanafiah yang terbabit secara langsung dalam pelbagai misi bantuan kemanusiaan khususnya di Syria dan kawasan sempadan Turki.

Menurut beliau, sejak 2017 GER aktif menyalurkan bantuan kecemasan musim sejuk kepada pelarian Syria selain berjaya membina lebih empat buah masjid bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.

“Sehingga hari ini, lebih 815,000 penerima manfaat menerima bantuan menerusi program bantuan musim sejuk yang dilaksanakan di Gaza, Syria, Jordan, Lubnan, Turki, Yaman dan Pakistan.

“Bantuan yang diberikan bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah memberikan harapan baharu kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta sumber pendapatan akibat peperangan,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Jafri pula menekankan kepentingan program pembangunan anak yatim yang dilaksanakan secara berterusan oleh GER.

Menurutnya, sehingga kini seramai 9,454 penerima manfaat dibantu menerusi program tajaan anak yatim yang bukan sahaja merangkumi bantuan asas, malah pendidikan, pemantauan berkala dan pembangunan masa depan mereka.

Beliau berkata, GER turut menyasarkan untuk membawa 1,000 anak yatim dari Palestin, Syria, Jordan dan Yaman menunaikan ibadah umrah menerusi kempen yang diperkenalkan melalui Malam Dari Kasih Ke Ehsan.

“Kita bukan sekadar mahu memberi makanan dan pendidikan, tetapi mahu menghadiahkan pengalaman yang mungkin hanya datang sekali seumur hidup kepada anak-anak ini untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci,” katanya.

PU Amin pula menyifatkan kejayaan GER membantu lebih 815,449 penerima manfaat sebagai bukti kepercayaan rakyat Malaysia terhadap organisasi itu.

Beliau berkata, hasil sumbangan orang ramai, sebanyak 32.8 juta liter air bersih berjaya disalurkan kepada penduduk Gaza selain pelbagai bantuan lain yang memberi manfaat kepada mangsa konflik dan golongan memerlukan.

“Setiap sumbangan yang diterima diuruskan secara telus dan dipantau oleh pihak berautoriti. Kami berharap lebih banyak syarikat korporat tampil menyokong usaha kemanusiaan ini,” katanya.

Bagi menambahkan penghayatan sepanjang program berlangsung, Inteam akan mempersembahkan enam lagu pilihan termasuk karya yang membawa mesej kasih sayang dan kemanusiaan.

Menurut anggota kumpulan itu, penglibatan mereka dalam program berkenaan sangat dekat dengan identiti Inteam yang selama ini sering menyampaikan mesej kasih, perpaduan dan keprihatinan menerusi karya mereka.

Malam Dari Kasih Ke Ehsan akan berlangsung dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam, manakala pendaftaran tetamu dibuka seawal jam 6 petang.

Berbeza dengan kebanyakan majlis makan malam amal, program itu menggabungkan elemen hiburan, tausiah, perkongsian pengalaman lapangan serta kisah sebenar penerima bantuan bagi memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada para hadirin.

Daripada sasaran kutipan RM1 juta, sebanyak RM500,000 dijangka diperoleh menerusi penjualan meja kepada syarikat korporat, agensi kerajaan, organisasi dan individu yang ingin menyokong misi kemanusiaan GER.

Sebanyak 500 tempat duduk disediakan bagi acara berkenaan, manakala dana yang berjaya dikumpulkan akan disalurkan kepada pelbagai inisiatif termasuk Bantuan Kecemasan Gaza, Bantuan Musim Sejuk, Program Anak Yatim serta Projek Umrah Anak Yatim.

Tiket individu kini ditawarkan pada harga bermula RM175 manakala pakej meja korporat dijual pada harga antara RM5,000 hingga RM25,000 serta layak menikmati pelepasan cukai.

Penganjur berharap program itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik antara sektor korporat, badan bukan kerajaan dan masyarakat dalam memperluaskan bantuan kemanusiaan kepada golongan memerlukan di seluruh dunia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page