July 14, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Iklim, SYJ Giegiel dan Meditasi Terajui Ledakan Teruntum Rock Festival 2026

Spread the love

Brutalator dan Sweet Cherita Lengkapkan Barisan Legenda, Lebih 10 Band Pelapis Bakal Gegarkan Kompleks Teruntum, Kuantan Bermula 17 – 19 Julai Ini

Selepas sekian lama arena muzik rock Pantai Timur menanti sebuah festival berskala besar, penantian itu akhirnya bakal berakhir menerusi Teruntum Rock Festival 2026 yang akan berlangsung selama tiga hari, 17 hingga 19 Julai ini, di Kompleks Teruntum, Kuantan.

Lebih mengujakan, festival yang bakal berlangsung di Kompleks Teruntum itu mempertaruhkan dua nama besar rock tanah air, IKLIM dan SYJ Giegiel, sebagai peneraju utama, sekali gus dijangka menjadi tarikan ribuan peminat dari seluruh negara.

Turut melengkapkan barisan artis utama ialah Sweet Cherita yang masing-masing mempunyai kelompok peminat tersendiri serta reputasi kukuh dalam arena muzik rock tempatan.

Penganjuran festival berkenaan dilihat sebagai usaha mengembalikan kegemilangan budaya festival rock yang suatu ketika dahulu menjadi medium penting menyatukan peminat pelbagai generasi di bawah satu pentas.

Dianjurkan Chenta Relektro dengan kerjasama Galaxy Entertainment, Grabatus X, Dompot Global Management dan BPBKT, festival itu bukan sekadar menawarkan persembahan hiburan, malah membawa misi memperkukuhkan ekosistem muzik rock tempatan serta membuka lebih banyak peluang kepada bakat baharu.

Selain lima kumpulan utama itu, pentas Teruntum Rock Festival 2026 turut dimeriahkan dengan kemunculan CO2, Barakas, Free Trade Tone, RF Band, Trilova, Pramaya, Chini Rockers, Metalfizik, Swag, Brutalator serta Burst Of The Messkidd.

Gabungan nama legenda dan band generasi baharu itu dijangka menghasilkan variasi persembahan yang memenuhi cita rasa peminat, daripada rock klasik, hard rock dan alternatif sehinggalah ke muzik metal yang semakin berkembang dalam kalangan anak muda.

Lebih daripada sekadar konsert, festival berkenaan turut menyediakan pelbagai aktiviti sampingan termasuk jualan barangan eksklusif, booth komuniti rock, pameran dan sesi santai bersama pemuzik tempatan, sekali gus mewujudkan suasana festival yang lebih meriah.

Menurut penganjur, Teruntum Rock Festival 2026 diangkat sebagai platform untuk meraikan identiti muzik rock Malaysia sambil menghubungkan semula legenda dan pelapis industri dalam satu acara berskala besar.

“Peminat bukan sahaja dapat mengimbau nostalgia menerusi persembahan artis legenda, malah berpeluang menyaksikan sendiri bakat baharu yang semakin menyerlah di pentas rock tempatan.

“Kami mahu festival ini menjadi simbol penyatuan komuniti rock serta pemangkin kepada perkembangan industri muzik di Pantai Timur,” katanya.

Festival itu dijangka menarik kehadiran ribuan pengunjung ke Kuantan sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan, penginapan, makanan dan perusahaan kecil di sekitar bandar berkenaan.

Dengan IKLIM dan SYJ Giegiel mengetuai barisan artis, disokong Sweet Cherita serta lebih 10 band tempatan, Teruntum Rock Festival 2026 dilihat memiliki ramuan lengkap untuk muncul sebagai antara festival rock paling dinantikan tahun depan, sekali gus membuktikan bahawa irama rock tempatan masih terus hidup, relevan dan mampu menyatukan peminat tanpa mengira generasi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page