Hampir 100 Syarikat Shandong Bawa 1,100 Produk Ke Malaysia

“Remarkable Shandong” Agricultural Trade Expo 2026 Perkukuh Akses Pasaran Halal, Rantaian Bekalan Rentas Sempadan Dan Hubungan Perdagangan Malaysia-China
Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pintu masuk penting ke pasaran halal ASEAN apabila hampir 100 syarikat dari enam bandar di Shandong, China, membawa lebih 1,100 produk pertanian dan makanan ke “Remarkable Shandong” Agricultural Trade (Malaysia) Expo 2026.
Berlangsung selama tiga hari di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), ekspo edisi kedua itu bukan sekadar mengetengahkan kepelbagaian produk dari wilayah berkenaan, malah memberi tumpuan lebih besar kepada piawaian halal, akses pasaran dan kerjasama rantaian bekalan rentas sempadan.
Pendekatan itu dilihat mampu membuka laluan lebih luas kepada pengeluar Shandong untuk menembusi pasaran Malaysia, selain memperluas jaringan perdagangan ke negara ASEAN.
Majlis perasmian ekspo menghimpunkan wakil Shandong, agensi kerajaan Malaysia, dewan perniagaan, pembeli, pempamer dan media.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Pengerusi UiTM Holdings Sdn Bhd, Dato’ Dr Fathul Bari bin Mat Jahya; bekas Utusan Khas Perdana Menteri Malaysia ke China dan bekas Pengerusi Malaysia-China Business Council, YB Tan Kok Wai; Naib Presiden Malaysia-China Chamber of Commerce (MCCC), Dato’ See Meng Geok serta Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Parti dan Naib Pengerusi Shandong Agricultural Group Co Ltd, Duan Youchen.
Duan berkata, Malaysia bukan hanya rakan perdagangan penting Shandong di ASEAN, malah mempunyai kedudukan strategik sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN dan industri halal global.

“Shandong adalah antara wilayah pertanian utama China. Pada 2025, jumlah nilai pengeluaran pertanian, perhutanan, penternakan dan perikanan melebihi RMB1.3 trilion, manakala eksport pertanian menduduki tempat pertama di China selama 26 tahun berturut-turut.
“Malaysia bukan hanya rakan ekonomi dan perdagangan penting bagi Shandong di ASEAN, tetapi juga pintu masuk penting ke ASEAN dan pasaran halal global,” katanya.
Menurutnya, menerusi ekspo berkenaan, pihaknya mahu membangunkan tiga platform utama iaitu perdagangan dua hala produk pertanian berkualiti, kerjasama merentasi rantaian nilai pertanian serta promosi jenama pertanian di peringkat antarabangsa.
Katanya, ekosistem pensijilan halal Malaysia yang kukuh turut dilihat sebagai kelebihan untuk membantu produk Shandong menembusi pasaran ASEAN dan antarabangsa.
“Dengan memanfaatkan ekosistem pensijilan halal Malaysia, kami berharap dapat membantu lebih banyak produk pertanian berkualiti dari Shandong memasuki pasaran ASEAN dan antarabangsa.
“Pada masa sama, kami mahu memperluaskan kerjasama pertanian kepada bidang yang lebih luas dan mendalam,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Dr Fathul Bari berkata, ekspo tahun ini memperlihatkan peningkatan ketara dari segi penyertaan dan jumlah produk apabila hampir 100 syarikat dari enam bandar di Shandong membawa lebih 1,100 produk ke Malaysia.
Menurutnya, kejayaan menembusi sesebuah pasaran bukan hanya bergantung kepada kualiti produk, sebaliknya turut memerlukan pembungkusan, pelabelan, konsistensi bekalan serta rakan niaga tempatan yang boleh dipercayai.

“Bagi perniagaan, mempunyai produk berkualiti hanyalah langkah pertama untuk memasuki sesebuah pasaran.
“Pembungkusan dan pelabelan yang betul, kualiti serta bekalan yang konsisten dan rakan kongsi tempatan yang boleh dipercayai juga sama penting,” katanya.
Lebih menarik, ekspo itu turut menyaksikan lima perjanjian kerjasama strategik yang merangkumi perdagangan pertanian, produk agromakanan, daging lembu, industri halal serta promosi perdagangan dan pelaburan.
Katanya, kerjasama berkenaan diharap menjadi titik permulaan kepada hubungan perniagaan yang lebih panjang antara syarikat Shandong dan rakan dagang di Malaysia serta rantau ini.
Tan Kok Wai pula berkata, hubungan pertanian Malaysia-China mempunyai nilai ekonomi dan kepentingan strategik yang besar.
Katanya, China mempunyai pengalaman luas dalam teknologi pertanian moden, pemprosesan makanan, logistik rantaian sejuk dan jentera pertanian yang boleh dimanfaatkan sektor pertanian Malaysia.
“Shandong sebagai antara wilayah pertanian utama China menawarkan pengalaman bernilai kepada sektor pertanian Malaysia.
“Kami mengalu-alukan lebih banyak produk berkualiti dari Shandong ke Malaysia dan berharap syarikat Shandong melihat Malaysia sebagai rakan penting serta pintu masuk ke pasaran ASEAN,” katanya.
Menurutnya, kerjasama berkenaan berpotensi menjadikan sektor pertanian sebagai antara bidang pertumbuhan baharu dalam hubungan Malaysia-China.
Dalam pada itu, Dato’ See Meng Geok berkata, kerjasama antara Shandong dan Malaysia tidak seharusnya terhad kepada perdagangan dua hala, sebaliknya perlu diperluaskan kepada pasaran antarabangsa.
Katanya, gabungan kekuatan Shandong dalam pertanian, pemprosesan makanan, teknologi pertanian dan rantaian bekalan dengan ekosistem pensijilan halal Malaysia mampu mewujudkan model kerjasama yang lebih berdaya saing.
“Malaysia mempunyai ekosistem pensijilan halal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta hubungan kukuh dengan ASEAN, Timur Tengah dan pasaran halal global.
“Kami berharap dapat meneroka model yang menggabungkan keupayaan pengeluaran Shandong dengan pensijilan halal Malaysia serta jaringan pasaran global,” katanya.
Ekspo itu turut memberi peluang kepada pengunjung dan pemain industri melihat kepelbagaian produk pertanian Shandong yang merangkumi buah-buahan dan sayur-sayuran segar, bijirin dan barangan kering, makanan diproses, daging dan makanan laut, bahan ramuan makanan serta perasa.
Turut dipamerkan ialah teh dan minuman serta produk tenusu. Lima organisasi Malaysia, termasuk Halal Development Corporation Berhad (HDC), turut mengambil bahagian dalam ekspo itu, sekali gus mengukuhkan penglibatan pemain industri tempatan.
Selepas majlis pembukaan, berlangsung pula “Remarkable Shandong” Premium Agri-Products Promotion in Malaysia Conference yang menampilkan perkongsian daripada wakil Shandong Provincial Department of Agriculture and Rural Affairs, Shandong Qilu Nongchao Technology Co Ltd serta Shandong Agricultural Group Agricultural Products Supply Chain Co Ltd.
Wakil dari Linyi City, Shen County, Yangxin County, Boxing County, Anqiu City dan Linqu County turut memperkenalkan kekuatan pertanian, produk istimewa serta potensi kerjasama dari kawasan masing-masing.
Lima perjanjian kerjasama strategik yang dimeterai pada ekspo berkenaan melibatkan Nozoly Food Industry Sdn Bhd dan Shandong Agricultural Group Co Ltd, Latam Singapore Pte Ltd dan Shandong Going Global Guangdong Henqin Supply Chain Co Ltd, Nozoly Food Industry Sdn Bhd dan Niuzhigu Holdings (Yangxin) Co Ltd, Metrobiz Marketing Sdn Bhd dan Shandong Meijia Group Co Ltd dan Binzhou Zhongyu Food Co Ltd dan Macau Zishen Group Limited.
Kerjasama berkenaan meliputi perdagangan pertanian, agromakanan, daging lembu, industri halal serta promosi perdagangan dan pelaburan.
Ia sekali gus menghubungkan sumber pengeluaran dan rantaian bekalan Shandong dengan rangkaian komersial di Malaysia serta rantau lebih luas, selain membuka asas kepada pemerolehan produk, pengembangan pasaran, pembangunan pengedaran dan kerjasama rantaian bekalan jangka panjang.
Ekspo pertama yang berlangsung pada 2025 menghimpunkan 69 syarikat dari 16 bandar di Shandong dengan lebih 800 produk dipamerkan.
Ia turut menarik hampir 230 wakil kerajaan, perniagaan dan persatuan perdagangan dari Malaysia dan China, selain menghasilkan potensi transaksi melebihi RMB100 juta bersama beberapa perjanjian strategik, tempahan dan pengaturan bekalan jangka panjang.
Tahun ini, skala ekspo diperluaskan lagi dengan sasaran lebih besar untuk menghubungkan pengeluar Shandong dengan pembeli, pengedar dan rakan industri di Malaysia serta ASEAN.
