July 9, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ: Intimasi Muzikal dalam Dimensi Eksklusif

Spread the love

Legenda pop rock tanah air, Exists, bersedia menyajikan pengalaman muzik paling intim dan eksklusif buat para peminat menerusi konsert istimewa EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ yang bakal berlangsung pada 4 Oktober 2025 di JioSpace, Petaling Jaya.

Kumpulan legenda ini bukan sekadar mahu tampilkan persembahan biasa sebaliknya mereka mahu “membayar semula kepercayaan peminat dengan sesuatu yang luar jangka.”

Dengan kapasiti terhad hanya 2,000 penonton, konsert ini menjanjikan keunikan yang sukar ditemui dalam persembahan berskala besar. Harga tiket bermula dari RM368 hingga RM588, seiring dengan komitmen Exists untuk menawarkan bukan sekadar persembahan, tetapi pengalaman penuh emosi, jujur dan peribadi

 “Kami mahu peminat rasa dekat dengan kami, bukan sekadar menonton dari jauh. Panggung kecil, energi besar,” ujar Along selaku gitaris.

Lebih menarik, peminat bertuah yang membeli tiket Premium bakal menerima barangan edisi khas seperti beg, tuala serta kejutan hadiah eksklusif termasuk peluang untuk sesi bergambar dan menyertai soundcheck sebelum konsert bermula.

Pemain keyboard Ajai menegaskan, “Bukan selalu orang boleh tengok belakang tabir kami jamming sebelum naik pentas. Ini pengalaman ‘rare’ yang takkan mereka lupakan.”

Konsert dua jam anjuran JioBuddy ini akan menampilkan barisan lagu hits Exists yang digemari ramai dari Alasanmu, Untukmu Ibu, Jesnita hingga Mencari Alasan, dibawakan oleh Ezad Lazim bersama Ujang (dram) dan Musa (bass).

Menambah keterujaan, Exists baru-baru ini melancarkan versi 2025 lagu Alasanmu lengkap dengan susunan muzik sinematik dan vokal yang lebih matang. Lagu ini diolah sepenuhnya oleh ahli Exists sendiri, memberi sentuhan jujur terhadap perit getir mereka sebagai anak seni selama lebih tiga dekad.

Menurut Ezad, keputusan merakam semula lagu itu dibuat hasil perbincangan bersama Sony Music, setelah melihat statistik penstriman digital yang luar biasa mencecah lebih 2.2 bilion jumlah gabungan di semua platform untuk katalog mereka.

Alasanmu kekal relevan. Jadi tak salah kami beri nafas baharu. Orang masih nak dengar dan kami mahu beri versi yang lebih segar,” ujar Ezad.

Bagi Along pula, versi baharu lagu ini juga menepati permintaan peminat di Indonesia yang sudah lama menantikan buah tangan terkini daripada Exists. “‘Mencari Alasan’ dan ‘Alasanmu’ memang meletup di sana. Jadi ini peluang untuk mengubat rindu mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ajai turut menyentuh soal bekas vokalis mereka, Mamat, yang kini menjalani pemulihan di bawah jagaan Persatuan Pengasih Malaysia di Bentong. Menurut Ajai, keadaan Mamat semakin baik dan pihak Exists mendoakan agar beliau kembali pulih dan mungkin satu hari nanti dapat bersatu semula di pentas.

“Dia dah jadi ikon dekat sana, jadi bos kantin pun ya. Peningkatan dia sangat positif dan kami bangga,” ujar Ajai.

Peminat boleh mendapatkan tiket antara RM368 hingga RM588, menerusi www.jiotix.asia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page