Diam Exists Umpama Gunung Berapi, Konsert Memento Mori Gegar Kuala Lumpur
Barisan Lengkap Ajai, Shah, Ujang, Along, Musa, Mamat Dan Ezad Kembali Sepentas Gegar Unifi Arena, 1 Ogos Ini
Selepas lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tanah air, kumpulan legenda Exists bakal mencipta satu lagi detik bersejarah menerusi penganjuran Konsert Exists Memento Mori yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos 2026, jam 8.30 malam di Unifi Arena, Kuala Lumpur.
Apa yang menjadikan konsert ini cukup istimewa adalah penyatuan tujuh nama besar yang menjadi tulang belakang perjalanan Exists sejak penubuhannya iaitu Ajai, Shah, Ujang, Along, Musa, selain dua vokalis yang cukup sinonim dengan kumpulan itu, Mamat dan Ezad.
Gabungan lengkap ini sekali gus menjadikan konsert berkenaan antara persembahan paling dinanti peminat yang membesar dengan karya malar segar Exists sejak era 1990-an.

Judul Memento Mori dipilih bersempena frasa Latin yang membawa maksud menghargai setiap saat dalam kehidupan. Ia juga dilihat cukup simbolik dengan perjalanan Exists yang pernah melalui pelbagai fasa jatuh bangun sebelum kembali kukuh sebagai antara kumpulan paling berpengaruh di Malaysia.
Penganjur, ICON Entertainment, menyifatkan konsert berkenaan sebagai satu penghormatan terhadap legasi Exists yang masih utuh meskipun industri muzik sentiasa berubah.
Wakilnya, Iman Tang, berkata bukan mudah untuk sesebuah kumpulan bertahan sehingga 35 tahun dan terus kekal relevan dalam pasaran.

“Exists mempunyai kekuatan tersendiri. Mereka bukan saja bertahan kerana nama, tetapi kerana lagu-lagu berkualiti yang masih hidup dalam hati peminat.
“Justeru, kami berbesar hati membawakan Konsert Exists Memento Mori sebagai penghargaan kepada segala momen yang pernah mereka hadiahkan kepada peminat di Nusantara,” katanya.
Menurut Iman, walaupun Exists kerap muncul dalam persembahan pentas sejak beberapa tahun kebelakangan ini, konsert kali ini tampil dengan skala berbeza kerana menyatukan semula tujuh figura utama dalam satu malam istimewa.


Katanya, hampir keseluruhan lagu yang akan dipersembahkan nanti adalah karya popular yang dekat dengan jiwa peminat dan mampu mencetuskan suasana ‘sing along’.
Sementara itu, mewakili Exists, Along berkata kekuatan kumpulan itu selama ini hadir daripada semangat kebersamaan dan rasa hormat sesama anggota.
“Setiap anggota memainkan peranan masing-masing. Walaupun kami pernah melalui pelbagai cabaran, hubungan baik dan rasa hormat itu sentiasa ada.
“Konsert ini menjadi lambang perjalanan panjang Exists dan penghargaan buat semua yang tidak pernah berhenti menyokong kami,” katanya.

Tambahnya, kemunculan tujuh anggota di atas satu pentas adalah simbol kekuatan sebenar Exists yang dibina atas kreativiti bersama.
Tiket konsert mula dijual pada 30 April 2026, jam 11 pagi menerusi Ticket2U dengan harga bermula RM228 hingga RM488, manakala pakej sofa pasangan ditawarkan pada harga RM5,000.

Dengan deretan lagu hit seperti Untukmu Ibu, Mencari Alasan, Langkah Seiringan, Jesnita dan Seperti Dulu, konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik tempatan terbesar tahun ini serta medan mengimbau nostalgia buat peminat pelbagai generasi.
