November 15, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Demam Disco Gegar Zepp KL: “Saturday Night – Celebrating Bee Gees” Tawan Hati Peminat Retro

Spread the love

Suasana penuh warna, kilauan cahaya dan semangat era disko 70-an membanjiri ruang Zepp Kuala Lumpur pada 31 Julai lalu apabila konsert “Saturday Night – Celebrating Bee Gees” berlangsung dengan penuh meriah. Dihidangkan dengan hampir 90 minit persembahan energik, acara ini bukan sekadar sebuah konsert penghormatan, tetapi satu pengalaman yang membuktikan muzik legendaris Bee Gees masih kekal relevan merentas generasi.

Dianjurkan oleh Milestone Entertainment, konsert ini membawa penonton menyusuri perjalanan lebih empat dekad muzik Bee Gees dari era balada seperti “Massachusetts” dan “To Love Somebody”, ke era puncak disko yang dipelopori dengan “Stayin’ Alive”, “Night Fever”, dan “Jive Talkin’”. Tidak ketinggalan, penonton turut disajikan dengan medley istimewa seperti “Night Fever / More Than A Woman / If I Can’t Have You” serta lagu-lagu ikonik dari filem dan era disko lain seperti “Grease” dan “Disco Inferno”.

Lebih daripada sekadar persembahan muzik, acara ini juga membawa mesej kemanusiaan. Malam pembukaan konsert dianjurkan bagi menyokong Tuanku Ja’afar Education Trust, sementara Milestone Production selaku penganjur turut menyumbang kepada kempen “Kurang Manis” anjuran Diabetes Malaysia dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap gaya hidup sihat.

Kumpulan Saturday Night Bee Gees yang berpangkalan di UK membariskan pemuzik dan vokalis berbakat seperti Brian Allen, Mark Garrity, Ted Golding, Will Rayson, Carol Golding, Eryn dan John Andrews. Mereka menghidupkan kembali harmoni falsetto tiga suara yang menjadi identiti Bee Gees dengan penuh penghayatan dan ketelitian.

Sorotan persembahan termasuk nyanyian solo Carol Golding dalam “Nights on Broadway” dan “Emotions”, serta persembahan menyentuh emosi dari Eryn menerusi “Woman in Love” dan duet bersama Ted Golding dalam lagu “Guilty”. Tepukan dan sorakan memuncak saat lagu-lagu seperti “You Win Again”, “Alone”, dan “You Should Be Dancing” dimainkan sekaligus mencetuskan gelombang nostalgia dan keterujaan penonton yang tidak segan berdansa di tempat masing-masing.

Menambah kemeriahan pentas, bakat tempatan turut menyerlah. Penyanyi muda Eryn Gani memukau hadirin dengan vokal dinamik yang merentasi genre pop dan klasik. Turut menyerikan malam ialah pemain perkusi terkenal Ashley Choong Siew Mun, yang pernah berkolaborasi dengan legenda dunia seperti Michael Jackson, Herbie Hancock, Mongo Santamaria dan Miles Davis.

Menariknya, elemen tempatan turut disulam dalam persembahan apabila Carol Golding tampil bergaya dengan busana batik Malaysia yang direka oleh artisan tempatan, menambahkan sentuhan eksklusif dan budaya ke pentas antarabangsa

Dari segi produksi, konsert ini tidak mengecewakan. Lampu-lampu berwarna-warni, latar belakang visual retro dan sistem audio berkualiti tinggi menjadikan setiap persembahan terasa hidup dan autentik. Zepp KL, dengan kapasiti sederhana namun sistem akustik canggih, memberi peluang kepada penonton untuk menikmati persembahan dalam suasana lebih intim dan dekat.

Malam tersebut turut menyaksikan penonton hadir dalam busana berinspirasikan era disko, jaket berkilat, seluar bell-bottom dan cermin mata hitam besar, menjadikan ruang konsert seolah-olah kelab malam tahun 1978.

Konsert selama 90 minit ini turut menyelitkan intermission selama 20 minit, dan hanya membenarkan penonton berumur 7 tahun ke atas.peminat yang terlepas peluang pada 31 Julai tidak perlu merasa kecewa kerana acara ini berlangsung selama 2 malam. Harga tiket bermula dari RM198 (CAT C) hingga RM638 (Premium), dengan pakej eksklusif Platinum Box RM4,800 untuk 6 orang. Pemegang kad Maybank pula menikmati diskaun sehingga 25%.

“Malam yang penuh semangat dan menggembirakan. Lihat penonton menyanyi dan menari bersama benar-benar menyentuh hati kami. Untuk tujuan amal pula, ia menjadikan malam ini lebih bermakna. Jangan lepaskan konsert seterusnya!” ujar Dato’ Grace, Pengarah Urusan Milestone Production dengan penuh bangga.

“Saturday Night – Celebrating Bee Gees” bukan sekadar acara hiburan, tetapi satu perayaan terhadap warisan muzik pop dan disko yang telah membentuk lanskap muzik global. Persembahan malam tadi berjaya mencipta sebuah pesta nostalgia yang bukan sahaja memukau peminat tegar Bee Gees, malah memperkenalkan keindahan muzik mereka kepada generasi baharu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page