Amir Jahari Hadiahkan Peminat Dengan Album ‘Kembali’, Selepas Lima Tahun Tanpa Album Terbaharu
Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) Amir Jahari, akhirnya kembali dengan album terbarunya berjudul ‘Kembali’, selepas lebih 5 tahun tidak hadir tanpa sebarang album baharu.
Menariknya, album tersebut turut menampilkan pelbagai genre lagu sentuhan pop-rock-folk dengan pengaruh nusantara, yang turut mengangkat tema kemanusiaan serta kerohanian.
Menurut Amir, judul ‘Kembali’ dipilih kerana objektifnya yang ingin kembali ke dalam industri muzik selepas apa yang dilaluinya sebelum ini.
Selain itu katanya, dia mengeluarkan album ini kerana mahu meninggalkan legasinya dalam industri hiburan tanah air.
“Pada tahun 2022, ayah saya baru meninggal dunia. Ayah saya meninggalkan banyak legasi untuk saya dan keluarga. Jadi saya pun terpanggil untuk tinggalkan legasi sebab saya tahu umur saya pun dah semakin meningkat.
“Jadi saya nak pastikan yang saya juga akan tinggalkan legasi untuk anak-anak saya. Jadi saya akan cipta lebih banyak lagu dan album ini merupakan langkah pertama saya untuk tinggalkan legasi saya
“Saya nak terus berkarya dan berkarya lagi untuk capai target saya, dan azam saya nak ada sepuluh album.” Ujarnya ketika ditemui media selepas Sesi Pelancaran album Kembali yang telah di adakan di The Curve, Mutiara Damansara pada 21 Ogos lalu.
Amir turut berharap agar album tersebut dapat menarik pelbagai lapisan masyarakat tidak kira umur kerana dia mencipta lagu-lagunya agar mudah diterima.
“Album ‘Kembali’ ini adalah satu penceritaan tentang kembalinya saya ke industri muzik.
“Jadi saya meletakkan kepelbagaian di dalam semua lagu, jadi ada lagu yang macam rainforest sikit, ada lagu macam rock Jepun sikit, dan pelbagailah. Jadi dia ada versatility dalam album ini.
Menurutnya lagi, album ketiga selepas Penghibur Jalanan serta Siang dan Malam itu turut bakal mendapat sentuhan magis beberapa produser dan pemuzik tanah air. Ia bakal memuatkan 15 buah lagu – 12 lagu baharu serta tiga lagu yang dirakam semula.
Antaranya – lagu sensasi Hasrat yang menjuarai AJL38, yang bakal tampil dengan susunan yang diolah khas untuk malam bersejarah itu.
Manakala lagu yang ditulis Amir sepenuhnya untuk album penyanyi Faizul Sany pada 2013 – Sampai ke Bulan turut menjadi salah satu lagu yang dirakam semula.
Tidak dilupakan single pertamanya ‘Tanpamu’ yang diberi nafas baru bersama penyanyi Nanasheme.