September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Alhumaira’ Bukan Lagu Cinta Kosong – Lah Ahmad

2 min read
Spread the love

Penyanyi dan pelakon Lah Ahmad mula mencipta nama bersama kumpulan V.E sekitar 1997, namun selepas muhasabah diri Lah kini lebih selesa untuk membawakan lagu-lagu yang berkonsepkan relegi.

Terbaharu, Lah Ahmad tampil dengan single Alhumaira yang mendapat sentuhan Hafiz Hamidun dimana ianya bernuansakan R&B.  Lebih menarik ianya adalah kolaborasi sulung Lah bersama Hafiz Hamidun.

“Ini merupakan kali pertama saya berkolaborasi dengan Hafiz sebagai penerbit dan komposer untuk lagu saya. Walaupun kami merupakan rakan industri muzik dan beberapa kali membuat persembahan bersama, namun kerjasama kali ini sangat istimewa”, ujar Lah Ahmad sewaktu sidang media yang di adakan di Damansara pada 21 November lalu.

“Apabila Hafiz mengirimkan ‘demo’ Alhumaira, saya dapat merasakan kekuatan melodi lagu ini dan lagu ini sangat dekat dengan perasaan saya. Setelah berbincang melalui pihak pengurusan saya dan Hafiz, kami bersetuju untuk merakamkan lagu ini. Sesi rakaman telah berlangsung pada pertengahan bulan Oktober 2023, dua minggu selepas Konsert Jatuh Cinta saya di Istana Budaya berlangsung.” ujarnya lagi.

Sementara itu Hafiz Hamidun menyifatkan bahawa Lah Ahmad adalah orang yang sesuai untuk membawakan lagu ini.

“Ilham untuk melodi Alhumaira datang secara tidak sengaja ketika berada di dalam masjid, usai solat saya terus masuk kereta lantas merakamkan melodinya menerusi mulut sahaja, setelah demo asas lagu ini selesai, saya tidak fikirkan penyanyi lain untuk menyampaikannya kecuali Lah Ahmad.  Walaupun dengan kesibukan Lah Ahmad dengan persembahan dan lakonan, saya rasa tidak salah jika saya mencuba melamar beliau untuk menyanyikan lagu ini”, ujar Hafiz Hamidun

“Pada awalnya, demo lagu ini tanpa lirik yang lengkap, kecuali perkataan ‘Alhumaira’ di bahagian chorus. Setelah Lah bersetuju untuk menyanyikan lagu ini, saya terus mengarang lirik yang sesuai untuk ‘Alhumaira’. Alhumaira itu bermakna putih kemerah-merahan, dan melambangkan cinta dan kecantikan. Walaupun ia berasal dari perkataan Bahasa Arab, saya cuba mentafsirkan perkataan Alhumaira sebagai simbolik wanita yang disayangi, dicintai dan dikasihi.” tambah Hafiz Hamidun

“Alhumaira bukan lagu cinta kosong, sebagai seorang penyanyi saya akan mendalami maksud lirik yang ingin disampaikan. Setelah saya menghayati bait-bait lirik lagu ini, saya merasakan Alhumaira bukan sekadar lagu cinta semata-mata, tetapi adalah tentang kesyukuran dan kesetiaan seorang lelaki kepada wanita yang dicintainya”, kata Lah Ahmad

“Saya juga merupakan seorang suami, jadi lagu ini begitu istimewa jika disampaikan untuk isteri tersayang. Pada saya, kelembutan seseorang wanita itu akan dikuatkan oleh janji dan setia seorang suami. Saya harap para pendengar juga dapat merasakan perasaan yang sama.” Tambahnya.

Lagu ini akan berada di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, TikTok, Instagram dan lain-lain mulai 24 November 2023, tepat jam 12 malam. Lirik video rasmi Alhumaira akan disiarkan di YouTube tepat jam 12 tengahari pada hari yang sama. Para peminat boleh melayari pautan https://lah.lnk.to/alhumaira untuk strim dan muat turun Alhumaira dari Lah Ahmad.

Alhumaira diterbitkan oleh Arteffects Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Sony Music Entertainment Sdn. Bhd.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page