December 11, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Album ke-7 Ariana Grande ‘Eternal Sunshine’ Dilancarkan Sempena Hari Wanita Sedunia

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Setelah hampir 3 tahun lebih menyepikan diri, untuk satu nama besar seperti Ariana Grande, memerlukan sedikit adjustment buat para peminat setianya. Sebelum terjadinya penyepian itu, nama Ariana Grande sering disebut-sebut di serata dunia. Karier muziknya melambung tinggi pada hadlaju yang tidak terkawal sejak 2013 dengan terhasilnya 6 buah album dalam masa hanya 7 tahun. Diikuti dengan kesibukan menjayakan tour, melancarkan jenama bernilai multi-million dollar, himpunan 14 buah lagu yang menjajahi billion streaming di Spotify, menjadikan Ariana Grande satu figura selebriti yang paling menyerlah di media sosial.

Album terakhir sebelum menghilang ialah ‘Positions’ diterbitkan ketika Ariana mencecah usia 27 tahun. Namun saat itu, semua sukses datang diiringi dengan drama dan trauma, maka tidak hairanlah Ariana memerlukan sedikit ruang untuk bernafas. Jadi bagaimanakah Ariana kedengaran pada usia 30 tahun? Sudah tentunya lebih bijaksana, berpengalaman, sabar, berani dan paling ketara, matang baik secara muzikal mahupun lirik. Kalau album-album sebelum ini meneroka pencarian originalitinya, kali ini sudah berhasil dijumpakan.

Kini lebih tepat untuk dilabelkan virtuoso, Ariana memutar kembali nada-nada snowboating dan nota-nota whistle, menggunakan nuansa dan vokal multi track-nya yang kompleks, saling terkait untuk menciptakan intimasi tekstur.

Ironinya judul album ‘Eternal Sunshine’ sangat merujuk kepada dirinya sendiri, sebuah diari muzikal berkongsi tentang kehidupan yang dijalani just nice bagi menghilangkan ‘dahaga’ para peminat rakus yang bersemangat meneka itu ini. Cukuplah sekadar menyebut kisah peribadi perkahwinan dan penceraian Ariana sejak album terakhirnya, ‘Eternal Sunshine” meresap emosi ke dalam muzik dan lirik universal untuk menyentuh setiap jiwa yang pernah merasakan kecewa dan patah hati. Ada cinta, kehilangan, nafsu, kemarahan, kegilaan, pengkhianatan, kesedihan dan ada percubaan dan gagal.

Pemenang anugerah Grammy ini telah memilih untuk melancarkan album sempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac 2024 yang lalu. Memperlihatkan simbolik sebagai wanita yang kebal dan kuat meski terpaksa mengharungi pelbagai trauma, ‘Eternal Sunshine’ memuatkan 13 buah lagu dengan single utama berjudul “Yes, and?” terlebih dahulu dilancarkan pada awal Januari. Manakala video muzik untuk lagu “We Can’t Be Friends (Wait for Your Love)” pula dilancarkan serentak bersama album penuh. Pengarah muzik video Christian Breslauer mengadaptasi ilham dari filem Michel Gondry pada tahun 2004 iaitu “Eternal Sunshine of the Spotless Mind” yang dibintangi oleh Jim Carrey dan Kate Winslet.

Universal Music Malaysia telah meraikannya pelancaran album ini dalam sebuah pesta yang bertempat di Starhill Gallery. Antara lagu lain yang turut dimuatkan ialah “Intro (End of the World)”, “Bye”, “True Story”, “The Boy Is Mine”,  “I Wish I Hated You”, “Imperfect For You”, “Don’t Wanna Break Up Again”, “Saturn Returns Interlude” dan “Supernatural”. Album diakhiri dengan penampilan istimewa oleh nenek Ariana Grande, Marjorie Grande, yang dipanggil ‘Nonna’, menerusi lagu “Ordinary Things”.

Lagu yang memetik kata-kata nasihat dari Nonna berkaitan dengan perkahwinan yang berjaya. Pesan nasihat itu merupakan detik paling romantis di dalam album ‘Eternal Sunshine’ dengan nota pengakhiran yang sempurna. Gambaran cinta ideal yang tampak seperti kisah dongeng tetapi masih bernilai untuk dicapai. Terima lah Ariana Grande yang baru – terima lah Eternal Sunshine.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page