AIM25 ‘Ubah Angin’ Ke Bumi Kenyalang, Hadiah Lebih Lumayan Menanti Penggiat Muzik

Dua Kategori Baharu Diperkenalkan, Album Terbaik Raih Geran RM200,000, TVS Penyiar Rasmi Edisi Jubli Perak.
Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) mencipta sejarah baharu apabila buat julung kalinya malam kemuncak anugerah berprestij itu akan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September depan, sekali gus membawa sambutan Jubli Perak AIM keluar dari Lembah Klang.
Pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah bukan sekadar pertukaran lokasi, malah dilihat sebagai langkah memperluaskan pengiktirafan terhadap industri muzik di seluruh negara, termasuk bakat yang lahir dari Bumi Kenyalang.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin Hashim, berkata sebanyak 33 kategori anugerah akan dipertandingkan merangkumi kategori utama, anugerah khas dan pra-anugerah.
Lebih menarik, sempena ulang tahun ke-25 penganjurannya, AIM25 memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik bagi meraikan kepelbagaian budaya serta perkembangan landskap muzik tempatan.
“Sempena sambutan Jubli Perak ini, kami memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik bagi meraikan kepelbagaian budaya serta perkembangan landskap muzik tempatan.

“Bagi memperkukuhkan pembangunan industri muzik tempatan, Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) meningkatkan peruntukan untuk AIM25 kepada RM950,000, berbanding RM700,000 pada AIM24.
“Dua kategori baharu yang diperkenalkan dalam AIM24 iaitu Lagu Perpaduan Terbaik dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik turut dikekalkan.
“Manakala pemenang kategori Album Terbaik bakal menerima geran berjumlah RM200,000 dan ia pasti mengujakan,” katanya.
Selain itu, pemenang bagi 15 kategori utama, termasuk Lagu Terbaik, Artis Baharu Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rap/Hip Hop Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik serta Lagu Tema Terbaik dalam Filem atau Drama, masing-masing akan menerima geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM50,000.
Dalam perkembangan sama, Rosmin berkata AIM25 turut menerima suntikan geran RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP) sebagai bukti komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuhkan ekosistem industri kreatif serta menjadikan Sarawak sebagai destinasi utama acara seni bertaraf nasional dan antarabangsa.
Penganjuran AIM25 disokong oleh Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) melalui MyCreative Ventures, manakala TV Sarawak (TVS) diumumkan sebagai penyiar rasmi dan rakan penganjur.
Rosmin berkata proses penjurian akan dikendalikan panel profesional yang terdiri daripada penggiat industri muzik tempatan serta pakar daripada pelbagai bidang berkaitan, diketuai komposer terkenal Ajai.
Katanya, semua keputusan akhir akan melalui proses audit oleh juruaudit bebas bagi memastikan ketelusan sebelum diumumkan pada malam anugerah, manakala penerima Anugerah Sri Wirama akan dipilih oleh Ahli Majlis RIM.
“Lima calon akhir bagi setiap kategori dijangka diumumkan pada September depan,” katanya.
Bagi AIM25, penyertaan dibuka kepada karya muzik yang diterbitkan sepanjang 1 Januari hingga 31 Disember 2025, melibatkan lagu atau album dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
Proses penyerahan pencalonan dibuka bermula 17 Julai hingga 6 Ogos 2026.
Dengan lokasi baharu, dana yang lebih besar serta pengenalan kategori yang lebih inklusif, AIM25 dijangka menjadi antara edisi paling signifikan dalam sejarah penganjurannya, sekali gus mengangkat lagi martabat industri muzik Malaysia di pentas nasional.
