Hiburan Pakej Lengkap Tentang Cinta, Aksi, Cemas dan Komedi, Semuanya Ada Dalam “The Fall Guy”
Oleh: Zizi Hashim
Diadaptasi dari siri TV era 80an, dengan tajuk yang sama, The Fall Guy adalah sebuah filem yang memang ada kena-mengena dengan cerita kehidupan pengarahnya, David Leitch. Pernah bekerja sebagai Stunt Double untuk bintang popular seperti Brad Pitt (kerjasama sebanyak 5 kali) dan Jean-Claude Van Damme, sudah tentu Leitch faham benar bagaimana cara untuk menggambarkan kerjaya seorang Stuntman.
Karektor utama seolah-olah menjadi tebusan bagi David Leitch yang memulakan kerjaya dalam dunia perfileman sebagai Stuntman pada 1997. Dari situ telah membuka pintu yang lebih besar untuknya menjadi seorang sutradara. Berdasarkan pengalaman tersebut, pembikinan filem berkisarkan karya seorang Stuntman bagaikan detik reunion bagi dirinya. Apatah lagi kebanyakan filem-filem arahannya juga bergenre aksi.
Boleh dikatakan The Fall Guy umpama ‘surat cinta’ kepada Wira yang jarang mendapat apresiasi (sehingga kini masih tiada sebarang nominasi untuk Stunt Performer Terbaik di Anugerah Oscar). Dari segi isi cerita, The Fall Guy merupakan filem Blockbuster yang lengkap. Mengenali lebih dekat lagi profesi seorang pelakon ‘lagak ngeri’, sudah tentu majoriti berkait dengan bahaya yang berlawan dengan keberanian yang selalu dirangkul. Sama halnya seperti Leitch yang pernah menjadi Stunt Double untuk Brad Pitt sebanyak 5 kali, Colt Seavers (Ryan Gosling) juga berulangkali menggantikan Tom Ryder (Aaron Taylor-Johnson) untuk adegan merbahaya.
Hubungan keduanya ternyata memang rapat. Tom menikmati kerjayanya sebagai bintang terkenal, Colt membuat penampilannya seperti rockstar. Meskipun dia kerap terlihat bosan melakonkan babak berulang untuk adegan merbahaya, namun dia tetap berusaha untuk semangat kerana gaji yang besar dan insurans yang terjamin. Sehinggalah pada suatu hari, kecelakaan itu terjadi. Dan untuk masa yang agak lama, Colt Seavers menghilangkan diri dari dunia filem aksi, meninggalkan percintaan singkatnya dengan Jody (Emily Blunt) yang ketika itu masih menjadi Penolong Pengarah.
Bagaimana cara membuat penonton peduli dengan kisah cinta 2 karektor utama yang juga layak diberikan thumbs up. Kalau menurut saya, yang paling mengesankan ialah bagaimana keseimbangan bahagian komedi, aksi dan romantik saling tidak menggangu antara satu sama lain. Sememangnya hiburan pakej lengkap yang just nice dan tidak berlebih-lebih. Leitch sebagai sutradara menggarap filem ini dengan sepenuh hati. Dia tahu bahawa dia boleh bergantung harap pada Ryan Gosling dan Emily Blunt yang memiliki kemistri kuat. Dalam The Fall Guy, mereka berjaya membuat saya percaya hanya dengan tatapan mata.
Colt yang spontan tetapi melankolik, berusaha memahami dan play along dengan mood Jody yang rumit setelah ditinggalkan begitu saja oleh Colt. Malah untuk mendapat kemaafan dan cinta Jody kembali, Colt rela dibakar berkali-kali dalam sebuah adegan lagak ngeri. Kedua-dua bintang mega ini bukan sahaja hebat dalam genre aksi atau drama, mereka juga memiliki perwatakan komedi yang luar biasa.
Filem ini merupakan perayaan soal jasa para pelakon stunt yang luar biasa dan juga ‘surat cinta’ kepada pembikinan filem secara keseluruhan. Dari awal, Leitch sudah bermain dengan gerakan kamera yang panjang dan kompleks serta mempersembahkan koreografi aksi yang cukup mengkagumkan. Disebalik hingar-bingar penampilan berani seorang stunt, dilengkapi dengan sifat romantis dan kelakar, The Fall Guy mengingatkan penonton bahawa ada pekerja yang berusaha keras dan membahayakan diri sendiri demi memberi kepuasan realistik kepada penonton.
Padat dengan adegan tumbuk-menumbuk, kejar-kejaran kereta, semuanya ada dalam The Fall Guy. Apa yang lebih mengujakan ialah ketika penonton dibawa ke klimaks yang luar biasa memuaskan. Dengan latar muzik yang memacu adrenalin dan grafik visual puspawarna, The Fall Guy adalah hiburan yang memberi kepuasan menonton kepada sesiapa sahaja. Pecinta filem aksi, komedi dan kisah cinta pasti merasa bahagia kerana filem ini dibuat untuk segenap lapisan. Terdapat banyak adegan gila yang menggunakan efek praktikal dilakukan secara nyata (bukan berkomputer) menjadikan filem ini satu santapan yang sungguh istimewa.
Ajak kawan-kawan dan saudara-mara yang ‘kaki wayang’ menonton filem ini. Ini adalah sebuah perayaan pawagam yang harus diraikan bersama bermula 26 April tayangan di Malaysia.