November 17, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

RAJAKKAL Satukan Lima Sahabat, Kenangan Mendiang Parvin Terus Hidup

Spread the love

Filem Tamil arahan C. Martin Raj bakal menemui penonton 10 Disember depan, mengangkat kisah persahabatan yang terpisah selama sedekad.

Lima sahabat, sepuluh tahun membawa haluan masing-masing. Namun, sebuah pertemuan semula bakal membuka kembali lembaran kenangan yang tidak pernah terpadam menerusi filem Tamil terbaharu, RAJAKKAL.

Menerusi pelancaran teaser pertama, filem cereka sulung terbitan Shaiz Films itu memberikan gambaran awal mengenai kisah pertemuan semula sekumpulan sahabat, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai kejutan yang menanti mereka.

Menariknya, di sebalik kisah persahabatan yang menjadi teras penceritaan, RAJAKKAL turut membawa nilai sentimental buat barisan produksi susulan pemergian salah seorang pelakon utamanya, mendiang Parvin Nair Surendran.

Filem yang ditulis dan diarahkan C. Martin Raj itu menampilkan Irfan Zaini sebagai Kutty, Ravin Rao Santheran (Puli), Thevaguru Suppiah (Saami) dan mendiang Parvin sebagai Gaja, manakala Martin sendiri memegang watak Papa.

Martin berkata, karya berkenaan pada asalnya dibangunkan sebagai sebuah cerita mengenai persahabatan dan kenangan, namun pemergian Parvin menjadikan filem itu lebih bermakna buat seluruh pasukan produksi.

“Ketika kami memulakan RAJAKKAL, kami mahu menghasilkan sebuah cerita tentang persahabatan dan kenangan. Tetapi selepas kehilangan Parvin, filem ini sendiri menjadi sesuatu yang akan sentiasa dekat di hati kami.

“Parvin ialah sahabat kami dan dia memberikan sepenuh hati untuk menghidupkan watak Gaja. Saya berharap penonton dapat mengenali sedikit tentang dirinya melalui watak itu. Bagi kami yang mengenalinya, filem ini juga memberi peluang untuk kami melihat sahabat kami sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Shaiz Films, Thulasy Paramanandam berkata, pemilihan tema persahabatan dibuat kerana ia dekat dengan pengalaman kehidupan kebanyakan individu.

“Untuk filem pertama kami, kami mahukan sebuah cerita yang dekat dengan penonton. Kebanyakan kita ada kawan yang selalu kita kata mahu jumpa.

“Mesej sudah dihantar, rancangan sudah dibuat, tetapi kesibukan hidup sering menghalang. RAJAKKAL membawa sahabat-sahabat ini bersama semula.  Saya berharap selepas menontonnya, ada yang akhirnya menghantar mesej: ‘Jom, kita jumpa’,” katanya.

RAJAKKAL diterbitkan bersama Shaiz Films dan Dee Jam Studio, manakala Komet Productions bertindak sebagai pengedar.  Filem berbahasa Tamil dengan sarikata Bahasa Malaysia itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 10 Disember 2026.

Teaser pertama RAJAKKAL kini boleh ditonton menerusi YouTube, manakala perkembangan terbaharu filem itu boleh diikuti menerusi platform media sosial rasmi @rajakkal.film.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page