Bukan Sekadar Konsert, A NIGHT OF SOUL Satukan Lima Jiwa Muzik

Menampilkan Cakra Khan, Ziana Zain, Amy Search, Khai Bahar dan Siti Nordiana, jualan tiket sudah melepasi 65 peratus menjelang persembahan 12 Disember ini
Lima penyanyi, lima karakter vokal dan lima perjalanan seni berbeza bakal bertemu dalam satu manifestasi muzik yang mengangkat keindahan suara serta penghayatan sebagai nadi utama menerusi A NIGHT OF SOUL.
Bukan sekadar menghimpunkan nama besar industri muzik, konsert yang dijadual berlangsung di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), The Mines, pada 12 Disember ini membawa gagasan lebih besar iaitu menyatukan perbezaan generasi, genre dan interpretasi muzik dalam satu persembahan.
Menariknya, sambutan terhadap penganjuran itu sudah memperlihatkan perkembangan positif apabila lebih 65 peratus tiket dilaporkan terjual, sekali gus memberikan petunjuk awal bahawa konsep persembahan berteraskan kekuatan vokal masih mempunyai tempat istimewa dalam kalangan peminat muzik.
Diterajui penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan, pentas berkenaan turut menghimpunkan empat figura muzik tanah air iaitu Datuk Ziana Zain, Datuk Amy Search, Khai Bahar dan Siti Nordiana.

Pertemuan itu cukup signifikan kerana setiap penyanyi hadir dengan identiti serta keistimewaan tersendiri yang sudah dibina menerusi perjalanan seni masing-masing.
Cakra Khan misalnya, cukup dikenali dengan warna vokal serak yang sarat emosi, manakala Ziana memiliki keupayaan vokal yang menjadi antara identiti penting muzik balada tempatan.
Amy pula membawa aura rock yang cukup sinonim dengan sejarah muzik tanah air, sementara Khai dan Siti Nordiana mewakili generasi penyanyi yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam menghidupkan karya menerusi pendekatan vokal masing-masing.
Menariknya, keterujaan berkongsi pentas itu turut dikongsi kesemua artis yang menyifatkan peluang menghimpunkan lima karakter muzik berbeza dalam satu persembahan sebagai pengalaman istimewa.
Masing-masing juga berjanji memberikan persembahan terbaik bagi memastikan penonton bukan sahaja menikmati lagu popular, malah dapat merasai penghayatan dan keistimewaan vokal setiap penyanyi.
Bagi penyanyi baharu, Nabiha Aimi yang diberikan tanggungjawab sebagai artis pembuka atau ‘pemanas pentas’, peluang beraksi dalam acara berskala besar itu turut membawa makna tersendiri.
Walaupun menyedari peranannya sebagai pembuka tirai persembahan, Nabiha tidak mahu menjadikan kedudukan itu sebagai alasan untuk tampil sederhana.
Sebaliknya, beliau bertekad memberikan persembahan terbaik bagi memanfaatkan peluang beraksi di hadapan penonton dan membuktikan kemampuan dirinya.

Penganjuran A NIGHT OF SOUL oleh Starlika dan Astana Global itu turut memperlihatkan usaha mewujudkan sebuah platform yang memberikan penekanan kepada mutu persembahan, kekuatan vokal dan penghayatan karya.
Lebih daripada sekadar persembahan secara solo, pertemuan lima penyanyi berkenaan pastinya mengundang jangkaan terhadap kemungkinan kolaborasi istimewa yang mampu memberikan dimensi berbeza kepada keseluruhan persembahan.
Apatah lagi, gabungan penyanyi Malaysia dan Indonesia membuka ruang kepada pertukaran interpretasi muzik yang bukan sahaja menarik dari sudut vokal, malah berpotensi memperlihatkan keserasian seni antara dua negara serumpun.
Perkembangan mengenai penganjuran konsert itu dikongsikan pada sidang media yang berlangsung di Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur, 17 November lalu.

Dari segi harga, tiket ditawarkan mengikut tujuh kategori iaitu Pearl (RM188), Gold (RM288), Ruby (RM388), Platinum (RM488), Diamond (RM588), VIP (RM688) dan VVIP (RM888).
Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi platform dalam talian Ticketmelon di www.ticketmelon.com.
