November 12, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Sarah Suhairi ‘Selesai’ Bercerita, Lima Lagu Jadi Pengubat Rasa

Spread the love

Daripada kisah persahabatan, penerimaan diri hingga perpisahan, EP terbaharu menghimpunkan lima karya yang mencerminkan pelbagai fasa kehidupan, selain tampil dengan format fizikal berteknologi NFC.

Setiap pertemuan meninggalkan kenangan, setiap perpisahan mengajar penerimaan dan setiap pengalaman membentuk kematangan diri. Hakikat itulah yang cuba diterjemahkan penyanyi Sarah Suhairi menerusi EP terbaharunya berjudul Selesai yang menghimpunkan lima karya dengan naratif serta warna muzik berbeza.

Bukan sekadar memperkenalkan koleksi lagu baharu, Selesai menjadi ruang buat Sarah menterjemahkan pelbagai sisi kehidupan yang dekat dengan pengalaman pendengar, termasuk persahabatan, cinta, kehilangan dan keberanian untuk melepaskan sesuatu yang tidak lagi menjadi milik.

EP yang diperkenalkan menerusi majlis sidang media dan sesi prapendengaran eksklusif di Rusa Cafe pada 11 November lalu itu menampilkan lima lagu iaitu Busy Ke?, Tak Perlu Rasa, Paling Indah, Waktu Yang Salah dan Cinta Berlalu.

Kesemua lagu berkenaan dijadualkan menemui pendengar di semua platform penstriman digital pada 13 November ini.

Menariknya, Selesai turut hadir dengan pendekatan pengedaran fizikal yang lebih moden apabila Sarah memperkenalkan koleksi muzik itu menerusi kad bersaiz kad bank yang dilengkapi teknologi Near Field Communication (NFC).

Berbeza daripada format konvensional seperti kaset dan cakera padat (CD), kad berkenaan membolehkan pemilik mengakses lagu menerusi teknologi NFC dengan hanya mendekatkan kad kepada peranti yang menyokong fungsi berkenaan.

Lebih menarik, koleksi itu turut ditawarkan dalam bentuk rantai kunci atau keychain, sekali gus memberikan pilihan kepada peminat untuk memiliki muzik Sarah dalam bentuk aksesori yang praktikal dan mudah dibawa ke mana-mana.

Pendekatan itu memperlihatkan bagaimana format fizikal muzik terus berevolusi seiring perubahan teknologi, selain menawarkan alternatif kepada peminat yang mahu memiliki sesuatu yang lebih bersifat koleksi berbanding sekadar mendengar lagu menerusi platform penstriman digital.

Menyentuh kandungan muziknya, perjalanan EP itu dibuka menerusi Busy Ke?, sebuah lagu bernuansa ceria mengenai persahabatan yang dihasilkan Mingaling, Mas Dewangga dan Jova Devito, manakala liriknya ditulis Mas Dewangga, Jova Devito bersama Sarah sendiri.

Berbeza dengan pembukaan yang lebih santai, Tak Perlu Rasa membawa mesej lebih mendalam mengenai penerimaan diri dan usaha mencari kebahagiaan tanpa meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada orang lain.

Lagu ciptaan Azim Khan bersama Sarah itu turut memperlihatkan pendekatan pop yang lebih rancak, sekali gus memenuhi permintaan peminat yang mahukan karya dengan tempo lebih segar.

Bagi Sarah, sesebuah lagu bukan hanya dinilai menerusi melodinya, sebaliknya turut mempunyai nilai apabila mesej yang disampaikan mampu dekat dengan kehidupan pendengar.

Malah, perkongsian peminat yang mengaitkan lagu berkenaan dengan pengalaman peribadi, termasuk kisah hubungan yang berakhir selepas bertahun-tahun dibina, menjadi antara perkara yang memberikan kepuasan kepadanya sebagai penyanyi.

Perjalanan emosi dalam Selesai kemudian beralih kepada sisi percintaan yang lebih manis menerusi Paling Indah, karya ciptaan Affan Mazlan bersama Sarah yang meraikan keindahan apabila cinta hadir dalam kehidupan.

Namun, tidak semua kisah cinta berakhir dengan kebahagiaan. Waktu Yang Salah, hasil ciptaan dan lirik Hose Ali, menyentuh tentang perasaan mencintai seseorang pada waktu yang tidak tepat, manakala Cinta Berlalu, karya ciptaan dan lirik Affan Mazlan, mengangkat tema perpisahan serta keberanian untuk melepaskan.

Susunan lima lagu itu menjadikan Selesai sebuah perjalanan emosi yang mempunyai kesinambungan tersendiri, bermula dengan keceriaan persahabatan sebelum menyelami penerimaan diri, keindahan cinta dan akhirnya kedewasaan menghadapi perpisahan.

Nama Sarah mula mendapat perhatian selepas dinobatkan sebagai juara program realiti nyanyian Big Stage musim pertama pada 2018.

Sejak itu, Sarah terus mengembangkan kerjaya muzik menerusi beberapa karya termasuk Pedih, Nyawa & Raga dan Bicara Rasa, selain kejayaan lagu SAH bersama Alfie Zumi pada 2024 yang turut menjadi antara pencapaian penting dalam perjalanan seninya.

Tidak terhad kepada bidang nyanyian, Sarah turut meneroka penulisan lagu, lakonan dan pengacaraan, sekali gus memperlihatkan kesediaannya untuk mencabar kemampuan dalam pelbagai cabang seni.

Menerusi Selesai, Sarah sekali lagi membuktikan komitmennya untuk terus berkembang sebagai penyanyi yang bukan sekadar menyampaikan melodi, tetapi turut membawa cerita dan perasaan menerusi setiap karya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page