YESUNG: Sedekad Solo, 26 Lagu Menggetarkan Jiwa E.L.F.

Demi peminat, vokalis Super Junior sanggup menjalani pemeriksaan MRI dan mendapatkan rawatan hospital akibat kecederaan belakang sebelum bergegas ke Malaysia menjayakan konsert tiga jam di Zepp KL.
Kesakitan bukan alasan untuk Yesung menarik diri daripada pentas. Sebaliknya, kecederaan belakang yang dialaminya menjadi ujian besar buat vokalis utama Super Junior itu untuk membuktikan sejauh mana komitmennya terhadap peminat.
Lebih menyentuh hati, penyanyi kelahiran Korea Selatan itu sanggup menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI) serta mendapatkan rawatan di hospital pada awal pagi sebelum bergegas ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan ke Malaysia.
Biarpun keadaan fizikalnya tidak mengizinkan, Yesung tetap menggagahkan diri menjayakan konsert solo selama tiga jam menerusi 2026 YESUNG 10TH ANNIVERSARY TOUR – ABOUT THE THINGS WE CALLED ORDINARY IN KUALA LUMPUR di Zepp Kuala Lumpur, 7 November lalu.
Dianjurkan iMe Malaysia, persembahan itu cukup istimewa apabila menjadi persinggahan pembukaan jelajah luar negara sempena ulang tahun ke-10 perjalanan solonya.
Malah, persembahan yang menghimpunkan 26 lagu termasuk tiga lagu encore itu turut menjadi medan Yesung meraikan sedekad perjalanan seni yang dibina atas kekuatan vokal, penghayatan dan identiti muzik tersendiri.

Sejurus melangkah ke pentas, Yesung menyapa penonton menggunakan bahasa Melayu menerusi ungkapan “Apa khabar” dan “Selamat datang” yang disambut sorakan gemuruh E.L.F. Namun, di sebalik kemeriahan sambutan itu, beliau tidak berselindung mengenai keadaan kesihatannya yang kurang memuaskan berbanding ketika konsert di Seoul.
Yesung mengakui kecederaan belakang menjejaskan keupayaannya untuk menyanyi dan memberikan persembahan seperti yang dirancang.
“Disebabkan belakang saya tidak dapat memberikan sokongan dengan baik, saya tidak dapat memberikan yang terbaik ketika menyanyi. Itulah perkara yang paling membuatkan saya kecewa,” katanya.
Lebih terkilan, beliau turut mengakui tidak dapat menari ketika menyampaikan lagu berentak rancak seperti Let’s Dance, sedangkan koreografi untuk lagu berkenaan sudah dipersiapkan lebih awal.
Bagaimanapun, Yesung berjanji akan memberikan persembahan lebih sempurna sekiranya berpeluang kembali ke Kuala Lumpur.
“Jika saya mendapat peluang sekali lagi pada masa akan datang, saya pasti akan tunjukkan segala-galanya tanpa menahan diri!” katanya.
Kejujuran itu mendapat respons positif daripada peminat yang tidak putus-putus melaungkan kata-kata semangat, malah meyakinkannya bahawa persembahan diberikan sudah cukup membanggakan. Beliau turut mencuit hati penonton apabila secara berseloroh mengusik peminat lelaki mengenai masalah sakit belakang.
“Apabila lelaki mengalami masalah belakang… kamu tahu apa yang saya maksudkan, bukan?” katanya yang mengundang gelak ketawa seluruh dewan.
Di sebalik keterbatasan fizikal, Yesung tetap memastikan peminat menikmati perjalanan muziknya sepanjang malam itu.

Pembukaan menerusi Here I Am cukup signifikan apabila lagu berkenaan turut menjadi judul album mini solo pertamanya yang dilancarkan pada 2016. Dari situ, Yesung membawa penonton menyelami sisi muziknya yang lebih sentimental menerusi Gray Paper, The Forest Dwellers, Lonely Night, Silhouette dan Parallel Lines.
Kekuatan vokalnya terserlah menerusi kawalan emosi serta keupayaan menyampaikan setiap bait lagu dengan penghayatan tersendiri, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara vokalis balada yang memiliki karakter tersendiri.
Namun, persembahan itu tidak terperangkap dalam satu dimensi apabila beliau turut menyuntik variasi menerusi Your Echo, Winds of Time, And Then, Tomorrow serta Floral Sense dalam versi solo. Momentum kemudian berubah menerusi Let’s Dance, 4 Seasons, Time Will Heal dan Slide Away yang memberikan warna lebih segar kepada keseluruhan persembahan.
Peminat turut dihidangkan dengan Sakihokoru Toki o Matsu no Wa, lagu berbahasa Jepun yang memperlihatkan keluasan repertoir serta pengaruh muzik antarabangsa dalam perjalanan seninya. Persembahan diteruskan dengan Together, sebelum Yesung menyentuh emosi peminat menerusi antara karya paling dekat dengan namanya, It Has to Be You.

Lagu runut bunyi drama Cinderella’s Sister itu antara karya yang mengukuhkan reputasinya sebagai penyanyi balada, khususnya menerusi kemampuan menyampaikan emosi secara mendalam tanpa perlu bergantung kepada persembahan berlebihan.
Rangkaian lagu utama kemudian dilengkapkan dengan After the Dream, My Dear, The Rain Between Us, Beautiful Night, Beautiful Paradox dan Fly. Bagaimanapun, kemuncak malam itu belum berakhir apabila Yesung kembali ke pentas untuk segmen encore dengan tiga lagu iaitu Pedazos, Small Things dan Ordinary Miracles.
Jika kecederaan belakang menjadi antara cabaran besar malam itu, perkongsian Yesung mengenai kehilangan anjing kesayangannya, Melo, pula menjadi detik paling menyentuh emosi.
Melo yang sudah menemaninya selama 13 tahun meninggal dunia setahun lalu, manakala ulang tahun pertama pemergian haiwan kesayangannya itu jatuh hanya beberapa hari selepas konsert di Seoul.
Yesung mengakui pada awalnya menyangka kenangan melihat detik terakhir Melo akan membuatkannya terus dibelenggu kesedihan. Namun, apa yang lebih kuat bermain dalam fikirannya adalah segala kenangan indah yang pernah dilalui bersama haiwan kesayangannya itu sepanjang 13 tahun.
Beliau kemudian menitipkan pesanan bermakna kepada peminat yang turut sebak mendengar luahannya.
“Setiap orang akhirnya akan mengalami kehilangan seseorang yang berharga dalam hidup mereka. Saya berharap kamu tidak hanya terus mengingati kesedihan ketika mengucapkan selamat tinggal, sebaliknya teruskan kehidupan dengan bahagia sambil membawa bersama kenangan berharga itu.
“Saya percaya masih banyak detik membahagiakan yang menanti kita pada masa hadapan,” katanya.
Perkongsian itu memperlihatkan sisi peribadi Yesung yang cukup dekat dengan peminat, sekali gus mengubah suasana konsert daripada sekadar persembahan muzik kepada ruang perkongsian emosi dan pengalaman kehidupan.

Menariknya, konsert berkenaan berlangsung sehari selepas ulang tahun ke-21 penubuhan Super Junior. Menyentuh perjalanan panjang kumpulan itu, Yesung menyifatkan mereka masih berada pada fasa awal kehidupan jika perjalanan seni selama 21 tahun itu diibaratkan seperti usia seseorang.
“Walaupun kami sudah bersama selama 21 tahun, jika dibandingkan dengan kehidupan manusia, kami baru berusia 21 tahun dan baru mula menjadi dewasa,” katanya.
Beliau turut memberikan jaminan bahawa perjalanan Super Junior bersama peminat masih panjang dan banyak lagi kenangan bakal dicipta bersama.
Mengulas pemilihan Kuala Lumpur sebagai persinggahan pembukaan jelajah luar negara, Yesung mendedahkan kota ini mempunyai nilai sentimental buat dirinya dan anggota Super Junior.
Katanya, kira-kira 20 tahun lalu, Super Junior pernah datang ke Malaysia buat pertama kali bagi menjalani penggambaran video muzik di luar Korea Selatan. Menjelang penghujung konsert, selepas menyampaikan lagu Pedazos, Yesung sekali lagi memohon maaf kerana tidak dapat memberikan persembahan seperti yang diimpikannya.
Beliau berjanji akan menggandakan usaha untuk membalas sokongan peminat sekiranya kembali ke Malaysia pada masa akan datang. Sebelum mengucapkan selamat tinggal, Yesung turut berharap peminat tidak hanya mengingati dirinya yang sedang menahan kesakitan, sebaliknya membawa pulang kenangan manis sepanjang mereka bersama malam itu.
“Saya berharap apabila kamu mengenang kembali hari ini, kamu bukan hanya mengingati saya yang mengalami kecederaan dan kesakitan, tetapi kenanglah saat membahagiakan yang kita lalui bersama.
“Sehingga kita bertemu lagi, pastikan kamu semua sentiasa sihat!” katanya.
Kata-kata itu dibalas peminat yang melaungkan pesanan sama kepadanya supaya menjaga kesihatan.
“Oppa, kamu juga mesti jaga kesihatan!”
Selepas melakukan debut bersama Super Junior pada 2005, Yesung membuktikan dirinya bukan sekadar vokalis yang bergantung kepada populariti kumpulan itu.

Langkah solonya menerusi Here I Am pada 2016 membuka ruang untuk beliau meneroka pelbagai pendekatan muzik termasuk balada, pop alternatif dan elemen rock, sekali gus memperlihatkan kematangan serta keberanian mengembangkan bahasa muzik peribadi.
Tema ABOUT THE THINGS WE CALLED ORDINARY juga membawa makna tersendiri apabila mengangkat perkara kecil dalam kehidupan yang sering dianggap biasa, tetapi sebenarnya menyimpan kenangan dan nilai besar.
Selepas sedekad sebagai penyanyi solo, Yesung membuktikan kelangsungan seseorang anak seni bukan semata-mata bergantung kepada perubahan trend atau populariti semasa, sebaliknya kemampuan mempertahankan karakter, terus bereksperimen dan menghasilkan karya yang dekat dengan pendengar.
