November 4, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Juicy Luicy Kembali, Bawa Gelombang Cinta Ke Kuala Lumpur

Spread the love

Lima anggota kumpulan dari Bandung itu bakal menghidupkan malam penuh emosi menerusi rangkaian lagu popular di Zepp Kuala Lumpur, 16 Januari depan

Gelombang cinta, kerinduan dan kisah hati yang menjadi identiti muzik Juicy Luicy bakal kembali menyapa peminat Malaysia apabila kumpulan popular dari Indonesia itu mengadakan persembahan di Zepp Kuala Lumpur, 16 Januari 2027.

Dikenali menerusi karya yang dekat dengan kehidupan dan emosi pendengar, Juicy Luicy bukan sekadar menawarkan hiburan menerusi melodi pop serta R&B, sebaliknya menghidupkan pelbagai kisah perasaan yang mungkin pernah dilalui setiap individu.

Menerusi Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur anjuran AM.entertainment, kumpulan itu berhasrat menghadiahkan pengalaman istimewa buat peminat menerusi rangkaian lagu yang mewarnai perjalanan seni mereka.

Vokalisnya, Julian Kaisar berkata, Juicy Luicy amat menghargai sokongan peminat Malaysia yang sentiasa memberikan sambutan positif setiap kali mereka berpeluang mengadakan persembahan di Kuala Lumpur sejak 2023.

“Setiap kali berpeluang membuat persembahan di Kuala Lumpur, kami sentiasa menerima sambutan yang cukup bermakna dan ia menjadi antara pengalaman yang kami nantikan.

“Menerusi konsert kali ini, kami ingin membawa sesuatu yang istimewa buat peminat, khususnya menerusi rangkaian lagu yang sudah menemani perjalanan muzik kami selama ini.

“Kami berharap dapat berkongsi satu malam yang penuh kenangan bersama semua yang hadir. Terima kasih kerana terus mendengar, menyokong dan menerima muzik Juicy Luicy. Kami tidak sabar untuk kembali bertemu anda di Kuala Lumpur,” katanya.

Ditubuhkan di Bandung pada 2010, Juicy Luicy mempertaruhkan gabungan muzik pop dan R&B sebagai ramuan utama dalam penghasilan karya mereka.

Selain Julian selaku vokalis, kumpulan itu turut dianggotai Denis Ligia (gitar elektrik dan akustik), Zamzam Y.M (saksofon dan gitar akustik), Bina Bagja (bes) serta Eggy Ramandha (dram).

Sepanjang perjalanan seni, mereka berjaya mencipta tempat tersendiri dalam industri muzik Indonesia menerusi beberapa lagu popular seperti Lantas, Tampar, Sialan, Tanpa Tergesa dan Lampu Kuning.

Kekuatan karya berkenaan terletak pada keupayaan mereka menterjemahkan kisah cinta, kehilangan dan kerinduan menerusi lirik bersahaja, namun cukup dekat dengan pengalaman peribadi pendengar.

Justeru, kepulangan Juicy Luicy ke Kuala Lumpur kali ini bukan sekadar memenuhi tuntutan pentas persembahan, sebaliknya menjadi pertemuan semula dengan peminat yang selama ini menjadikan lagu mereka sebahagian daripada kisah kehidupan.

Tiket konsert ditawarkan pada harga RM148 (CAT 2), RM158 (CAT 4), RM168 (CAT 1), RM188 (CAT 3) dan RM300 (VIP).

Jualan tiket akan dibuka pada 6 November 2026 menerusi platform penjualan tiket rasmi, Ticket2U.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page