November 4, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Mei Er Yee Harumkan Nama Malaysia, Pecah Rekod Dunia

Spread the love

Atlet aerial negara cipta sejarah di Prague dengan 59.4 mata, bangkit selepas pembedahan kanser payudara untuk muncul juara dunia kategori Masters 40+ Women.

Malaysia terus mencipta nama di pentas antarabangsa apabila atlet aerial negara, Mei Er Yee, mengukir kejayaan membanggakan dengan meraih gelaran juara dunia sambil mencipta rekod baharu pada Kejohanan Dunia Pole & Aerial Sports 2026 (WPAC 2026) di Prague, Republik Czech.

Lebih membanggakan, Yee bukan sekadar muncul juara dalam kategori Artistic Aerial Silks – Masters 40+ Women, malah mencatatkan 59.4 mata untuk memecahkan rekod dunia terdahulu iaitu 50.4 mata yang direkodkan pada 2025.

Mewakili Malaysia, jurulatih dan tenaga pengajar utama Viva Vertical itu menampilkan persembahan cemerlang untuk mengatasi pencabar dari Hungary, Greece, Mexico dan Belanda.

Kejohanan anjuran International Pole and Aerial Sports Federation (IPSF) yang berlangsung dari 27 Oktober hingga 1 November itu menghimpunkan lebih 700 atlet dari 41 negara dalam pelbagai disiplin pole dan aerial.

Bagi Yee, kejayaan berkenaan membawa makna cukup besar kerana ia bukan sekadar pencapaian sukan, sebaliknya menjadi simbol perjuangan panjang, pengorbanan dan keazaman untuk terus mengharumkan nama negara.

“Berada di pentas dunia mewakili Malaysia adalah sesuatu yang sangat bermakna buat saya. Pencapaian ini lebih daripada sekadar keputusan pertandingan.

“Ia mewakili cabaran yang berjaya saya atasi, insan yang sentiasa memberikan sokongan serta minat mendalam yang membuatkan saya terus bertahan selama ini,” katanya.

Di sebalik kejayaan mencipta rekod dunia itu, perjalanan Yee dalam bidang aerial arts turut melalui pelbagai cabaran.

Minatnya dalam seni persembahan bermula kira-kira dua dekad lalu sebelum kecederaan serius pada ligamen lutut menyebabkan dia tidak dapat meneruskan minat dalam bidang tarian.

Namun, keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya apabila menemui dunia pole dan aerial arts yang akhirnya membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya.

Sepanjang tempoh itu, Yee bukan sahaja mengembangkan bakat sehingga berjaya menyertai pertandingan antarabangsa, malah turut berkongsi ilmu dan pengalaman sebagai jurulatih serta tenaga pengajar utama di Viva Vertical.

Lebih mengagumkan, tahun ini Yee sekali lagi diuji apabila disahkan menghidap kanser payudara dan perlu menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, cabaran fizikal dan emosi itu tidak memadamkan semangatnya untuk kembali pulih, membina kekuatan serta meneruskan kecintaan terhadap seni aerial.

[L-R] Ann Soon; Mei Er Yee; Nana Shan Liew, Director of Viva Vertical; Cynthia Wong Yee Ling

Kesungguhannya akhirnya membuahkan hasil apabila dia kembali ke pentas antarabangsa dan menghadiahkan Malaysia satu lagi pencapaian membanggakan menerusi gelaran juara dunia serta rekod baharu.

Kejayaan itu sekali gus membuktikan bahawa usia, kecederaan mahupun ujian kesihatan bukan penghalang untuk seseorang terus mengejar impian dan mencapai sesuatu yang luar biasa.

Tidak terhenti di Prague, Yee bakal meneruskan misi mengangkat nama Malaysia apabila dijadualkan menyertai persembahan ASEAN di Festival Sirkus Antarabangsa Tini Tinou di Kemboja, November ini.

Penyertaan itu membuka satu lagi peluang buatnya memperkenalkan keunikan bakat dan seni aerial Malaysia kepada khalayak antarabangsa.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page