Juminten Edan: Siapa Lebih Gila?

Siapa sebenarnya yang ‘edan’ atau gila? Wanita yang sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan keluarganya, atau manusia yang sanggup menghancurkan kehidupan orang lain atas nama kasih sayang?
Persoalan itu menjadi taruhan filem seram psikologi Indonesia, Juminten Edan, yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 15 Oktober ini.
Pengarahnya, Jonathan Ozoh yang bergandingan dengan Dedy Mercy, berkata filem terbitan Mercusuar Film Indonesia itu bukan sekadar mahu menakutkan penonton menerusi elemen seram, sebaliknya mengajak mereka menyelami konflik kekeluargaan, trauma dan sisi gelap manusia.
Menurutnya, kekuatan naskhah itu terletak pada watak Juminten, wanita bisu dan pekak yang berjuang mempertahankan rumah tangga daripada kemelut yang berpunca daripada keluarganya sendiri.
“Sebagai pengarah bersama Dedy Mercy, kami berusaha mencipta ketakutan, namun pada masa sama mahu menonjolkan kekuatan Juminten yang di luar jangkaan.
“Filem ini lebih kepada psychological thriller. Kami tidak menjual keseraman dan ketakutan yang dibuat-buat, sebaliknya tekanan yang dialami Juminten berpunca daripada perbuatan keluarganya,” katanya.
Mengangkat kisah cinta dan pengorbanan, Juminten Edan mengisahkan Juminten yang menjalin hubungan dengan Manto, anak tunggal keluarga kaya yang mengusahakan perniagaan garam.



Bagaimanapun, hubungan mereka ditentang hebat ibu Manto, Salma, yang tidak dapat menerima Juminten kerana keadaan fizikalnya.
Demi cinta, Manto sanggup membawa Juminten meninggalkan pulau kediaman mereka untuk memulakan kehidupan baharu di Yogyakarta.
Namun, ketenangan rumah tangga mereka tidak bertahan lama apabila Salma mengirim surat meminta mereka pulang dengan alasan mahu berdamai dan bertemu cucunya buat kali pertama.
Kepulangan itu akhirnya membuka ruang kepada konflik lebih besar apabila niat sebenar di sebalik perubahan sikap Salma mula dipersoalkan, sekali gus mengheret Juminten ke dalam kemelut yang menguji kewarasan dan ketahanan dirinya.
Pelakon Dimas Aditya yang membawakan watak Manto berkata, konflik mula berubah apabila wataknya menyedari ibunya sendiri menjadi punca masalah yang melanda rumah tangganya.
Katanya, Manto ialah lelaki yang sanggup berkorban demi cinta dan tetap berusaha mencari punca perubahan Juminten meskipun isterinya semakin sukar dikawal.
“Untuk karakter Manto, dia seorang lelaki yang berkorban demi cintanya. Dia akan melakukan apa sahaja demi Juminten. Walaupun Juminten berubah sehingga menjadi tidak terkawal, Manto tetap berusaha mencari puncanya. Selepas menonton filem ini, kita perlu melihat sesuatu daripada skop lebih luas kerana Juminten sebenarnya paling waras berbanding watak lain,” katanya.
Sementara itu, Meisya Amira yang menggalas watak utama mengakui karakter Juminten memberikan cabaran besar apabila perlu menyampaikan emosi tanpa dialog.

Katanya, pergerakan mata dan tubuh menjadi medium utama untuk menggambarkan perasaan Juminten yang bisu dan pekak.
“Untuk mempelajari bahasa isyarat, saya menjalani latihan selama dua minggu dan ia agak sukar kerana masa yang diberikan terhad.
“Ketika penggambaran, saya tetap dipantau guru yang melatih dan sebarang kesilapan diperbetulkan segera,” katanya.
Menurut Meisya, anak menjadi keutamaan Juminten dan dia sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan keluarga serta suami tercinta.
Justeru, persoalan siapa sebenarnya yang ‘edan’ menjadi antara tarikan utama filem itu apabila penonton dibawa menilai setiap watak berdasarkan tindakan dan pilihan mereka, bukan sekadar penampilan luaran.


Penerbit kreatif, Ferdi Ali pula berkata pihak produksi teruja apabila Juminten Edan berpeluang menembusi pasaran Malaysia dan berharap filem itu mendapat sambutan baik, khususnya dalam kalangan peminat genre seram.
Filem berkenaan turut dibintangi Anne J Cotto sebagai Salma, Kukuh Prasetyo sebagai Marlan, Wina Marrino sebagai Farida, Deden Bagaskara sebagai Kadir, Sharon Jovian sebagai Saskia dan Bambang Oeban sebagai Wahyu.
Untuk pasaran Malaysia, Juminten Edan dibawakan oleh Inaman Films dan diedarkan Juragan Kaya Sdn Bhd, dengan tayangan di pawagam seluruh negara bermula 15 Oktober ini.
