Beting Beras Basah: Hikayat Lama, Nafas Baharu

Neo-Bangsawan Satukan Tradisi Dan Teknologi, Bell Ngasri Teruja Cipta Pengalaman Pertama Di Pentas Teater
Kredit Foto: Istana Budaya
Bukan sekadar mahu menghidupkan kembali cerita lama, Teater Bangsawan Diraja Beting Beras Basah: Hikayat Dewa Mahkota hadir membawa satu amanah besar untuk memastikan warisan Melayu terus bernyawa di pentas dan dekat dengan generasi baharu.
Pengarah dan penulisnya, Datin Is. Shahnoor Zahurin Hj Mohd Haslan Myudin, berkata seni bangsawan bukan sekadar bentuk persembahan, sebaliknya tanggungjawab yang perlu dipikul terhadap guru, seniman terdahulu, negeri yang melahirkan sesuatu hikayat dan generasi akan datang.
Katanya, atas kesedaran itu, pementasan berkenaan tidak dilihat sebagai hiburan semata-mata, sebaliknya satu usaha meninggalkan legasi kepada generasi seterusnya.

“Bagi saya, bangsawan bukan sekadar satu bentuk persembahan, tetapi satu amanah kepada guru-guru yang mengajar kita, seniman terdahulu yang membina jalan, negeri yang melahirkan cerita-cerita ini dan paling penting, generasi yang akan datang.
“Sebab itu apabila kami membawa kembali Beting Beras Basah, kami tidak melihatnya hanya sebagai sebuah produksi atau hiburan semata-mata. Kami melihatnya sebagai satu usaha untuk bertanya kepada diri sendiri, apakah yang akan kita tinggalkan kepada generasi selepas kita?” katanya ketika sidang media pementasan berkenaan di Istana Budaya, 8 Oktober lalu.
Pementasan itu bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, dari 30 Oktober hingga 1 November 2026, membabitkan lima persembahan.

Ia dianjurkan Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza Negeri Perak, dengan persembahan pada 30 Oktober jam 8.20 malam, 31 Oktober jam 3 petang dan 8 malam serta 1 November jam 3 petang dan 8.20 malam. Persembahan 31 Oktober jam 8 malam turut menjadi Royal Gala Night.
Beting Beras Basah: Hikayat Dewa Mahkota mengangkat kisah asal-usul negeri Perak dan perjalanan menuju kemunculan Raja Muzaffar Syah sebagai Sultan Perak pertama.
Naskhah ini mempertemukan dunia kayangan Kerajaan Indera Dewata Purbaraya dengan alam nyata, selain mengangkat persoalan takdir, kepimpinan, pengorbanan, kedamaian dan amanah.

Menurut sinopsis rasmi produksi, busur Indera Sakti bersalut perak dipanahkan ke sebuah negeri yang kemudiannya dinamakan Perak, manakala bahtera yang membawa rombongan menuju negeri itu tersangkut di sebuah muara yang pasirnya menyerupai beras dan kelihatan basah, lalu lahirlah nama Beting Beras Basah.
Bagi Shahnoor, perkara paling besar yang mahu disampaikan menerusi pementasan itu bukan hanya bagaimana sebuah negeri bermula, tetapi amanah seorang raja terhadap bumi dan rakyat yang dipimpinnya.
“Bagi saya, yang paling besar bukan sekadar bagaimana sebuah negeri itu bermula, tetapi tentang amanah seorang raja kepada bumi dan rakyat yang dinamakannya. Sebab itu Beting Beras Basah bagi kami membawa satu makna yang sangat besar, tanah bertuah dan tanah berdaulat,” katanya.

Menariknya, pementasan kali ini tampil menerusi pendekatan Neo-Bangsawan, iaitu usaha menggabungkan roh bangsawan tradisional dengan teknologi serta bahasa persembahan masa kini.
Shahnoor menegaskan, Neo-Bangsawan bukan bermaksud meninggalkan akar tradisi. Sebaliknya, elemen seperti bahasa Melayu klasik, muzik tradisional, kostum Melayu, adab dan gerak tari istana, struktur bangsawan serta unsur fantasi terus dipertahankan. Pada masa sama, semuanya dikembangkan menerusi projection mapping, multimedia digital, digital scenery, pencahayaan, kesan visual, hologram dan penceritaan sinematik.
“Neo-Bangsawan bukan bermaksud kita mahu meninggalkan bangsawan tradisi. Sebaliknya, kita membawa roh bangsawan itu berjalan seiring dengan zaman. Mudah kata, tradisi bertemu teknologi dalam penceritaan.
“Teknologi bagi kami bukan sekadar hiasan. Teknologi ialah bahasa baharu untuk membantu generasi hari ini melihat kembali hikayat lama dengan mata mereka sendiri,” katanya.
Penggunaan teknologi pemetaan unjuran dan hologram secara lebih menyeluruh juga menjadi antara pembaharuan utama pementasan di Istana Budaya berbanding produksi terdahulu.
Antara wajah yang turut mencuri perhatian dalam produksi kali ini ialah Bell Ngasri, yang bakal merasai pengalaman berbeza apabila buat pertama kalinya terlibat secara langsung dalam pementasan teater.

Selama ini, pelakon dan pengacara itu lebih dikenali menerusi lakonan di kaca televisyen serta filem, namun kali ini dia memilih untuk menyahut cabaran berada di atas pentas dan merasai sendiri dunia teater yang selama ini hanya dilihatnya sebagai penonton.
Bell cukup teruja apabila diberi peluang menyertai Beting Beras Basah: Hikayat Dewa Mahkota, malah menganggap pengalaman itu sebagai sesuatu yang baharu dalam perjalanan seninya.
Bagi Bell, selama ini dia hanya melihat bagaimana sesuatu persembahan teater dipentaskan dan menyaksikan penggiat seni bekerja dari sudut penonton.
Namun, kali ini dia sendiri menjadi sebahagian daripada produksi itu dan perlu merasai sendiri tuntutan, disiplin serta tenaga yang diperlukan untuk menjayakan persembahan secara langsung di atas pentas.
Penglibatan Bell tentunya memberikan warna tersendiri kepada naskhah berkenaan, khususnya apabila pengalaman lakonannya di layar diterjemahkan ke dalam medium teater yang memerlukan pelakon menghidupkan watak secara langsung tanpa ruang untuk bergantung kepada suntingan seperti dalam produksi televisyen atau filem.
Selain Bell, barisan pelakon turut menampilkan Pak Ya daripada Senario/Sepahatu serta Reza Hasbi yang kembali membawa watak dalam produksi berkenaan.
Reza sebelum ini mengakui peluang menjayakan pementasan di Istana Budaya sebagai satu penghormatan besar dalam kerjaya seninya dan sedang membuat persediaan rapi termasuk meningkatkan kecergasan fizikal bagi memastikan persembahan terbaik.
Bagi pencinta teater, harga tiket yang ditawarkan sememangnya antara sebab untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan naskhah istimewa ini secara langsung di Panggung Sari.
Tiket ditawarkan serendah RM49.50, manakala harga tertinggi ialah RM265, bergantung kepada kategori tempat duduk. CloudJoi menyenaraikan beberapa kategori harga iaitu RM49.50, RM55, RM67.50, RM75, RM112.50, RM115, RM125, RM139.50, RM155, RM211.50, RM235, RM238.50 dan RM265.
Pembelian secara atas talian melalui pautan rasmi Warisan Moraza atau platform CloudJoi.
Dengan harga serendah RM49.50, pencinta teater khususnya generasi muda mempunyai peluang untuk menyaksikan sendiri bagaimana sejarah dan hikayat Perak diterjemahkan menerusi gabungan lakonan, muzik tradisional, tarian, busana, sinografi, hologram, projection mapping dan visual digital.
Lebih penting, ia menjadi kesempatan untuk melihat bagaimana seni bangsawan yang berakar daripada tradisi Melayu diberi nafas baharu tanpa kehilangan identiti asalnya.
