Amir Masdi Bawa Sisi Berbeza di AM SHOWCASE

Selepas mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi lelaki tempatan yang versatil menerusi deretan karya hit dan persembahan bertenaga, Amir Masdi kini bersedia memperlihatkan sisi berbeza menerusi AM SHOWCASE di Zepp Kuala Lumpur, 20 Disember ini.
Lebih istimewa, persembahan berkenaan menjadi solo showcase pertama Amir Masdi, sekali gus membuka ruang buat penyanyi itu mendekatkan diri dengan peminat dalam suasana lebih intim berbanding persembahan berskala besar.
Dianjurkan AR United Music dengan sokongan Nova Music dan Rocketfuel Entertainment. Tidak sekadar menampilkan vokal mantap dan susunan muzik segar, showcase itu turut menjanjikan elemen visual berkualiti serta kejutan khas yang disediakan untuk peminat pada malam berkenaan.
Namun, tarikan paling dinanti ialah pelancaran bahagian PM album AM yang akan diperkenalkan secara eksklusif pada malam showcase, sekali gus melengkapkan perjalanan album berkenaan.
Album AM sebelum ini tampil dengan konsep dua sisi iaitu AM dan PM, malah mempunyai nilai sentimental tersendiri buat Amir selepas melalui proses penciptaan dan rakaman bersama penerbit serta komposer, Edry Abdul Halim di Manchester.
Bagi Amir, AM SHOWCASE bukan sekadar pentas untuk menyanyikan lagu, sebaliknya menjadi ruang untuk meraikan perjalanan seninya bersama peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.

“Saya selalu percaya setiap lagu ada kisahnya sendiri, dan setiap peminat juga ada cerita yang menghubungkan mereka dengan lagu-lagu tersebut. Sebab itu saya mahu AM SHOWCASE menjadi sebuah malam yang cukup istimewa.
“Saya mahu semua yang hadir bukan sekadar menonton persembahan, tetapi pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan. Kami sedang menyiapkan pelbagai elemen baharu supaya pengalaman pada malam itu benar-benar berbeza daripada persembahan yang pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya.
Amir berkata, peluang mengadakan persembahan dalam skala lebih eksklusif memberi ruang kepadanya berinteraksi dengan peminat secara lebih dekat selain mengimbas karya yang membentuk perjalanan kerjayanya.
Menurutnya, AM SHOWCASE juga dianggap sebagai hadiah penghargaan kepada semua yang terus mempercayai dan menyokong perjuangan seninya.
Dalam pada itu, wakil AR United Music berkata, pemilihan Amir sebagai bintang utama showcase itu dibuat berdasarkan konsistensinya menghasilkan karya berkualiti selain kemampuan menghidupkan pentas menerusi persembahan bertenaga.

“Amir Masdi merupakan antara artis yang sentiasa konsisten menghasilkan karya berkualiti dan memberikan persembahan yang bertenaga di atas pentas.
“Melalui AM SHOWCASE, kami mahu menampilkan sisi Amir yang lebih dekat dengan peminat menerusi sebuah persembahan yang eksklusif, penuh emosi dan berbeza daripada konsert berskala besar.
“Setiap elemen yang dirancang, daripada susunan muzik, visual hinggalah pengalaman penonton, disusun dengan teliti bagi memastikan malam tersebut menjadi satu memori yang sukar dilupakan,” katanya.
Pemilihan Zepp Kuala Lumpur pula dilihat tepat kerana suasananya yang lebih intim membolehkan Amir berinteraksi secara lebih dekat dengan peminat.

Sementara itu, tiket AM SHOWCASE kini dijual menerusi Ticket Empire dengan harga RM254 bagi VIP (Seated), RM204 (CAT 1 Seated), RM184 (CAT 2 Seated), RM154 (CAT 3 Seated) dan RM104 (CAT 4 Standing).
Peminat yang mahukan pengalaman lebih eksklusif menerusi kategori BOX (Seated) boleh membuat tempahan dengan menghubungi 011-5996 3265.
