October 7, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Disagree Belajar ‘Hidup’ Semula, REXKL Jadi Dunia 270 Darjah

Spread the love

Lebih Sedekad Menyepi, Disagree Kembali Dengan 18 Lagu, Visual Immersive Dan ‘Ledakan’ Nostalgia Di REXKL

Dulu cukup dengan gitar, pembesar suara dan terus ‘bedal’ atas pentas, kini kumpulan rock alternatif Disagree terpaksa berdepan dunia In-Ear Monitor (IEM), stems, komputer riba, jurutera bunyi malah TikTok!  Itulah realiti yang perlu dihadapi Disagree apabila kembali menggegarkan dunia muzik selepas lebih sedekad menyepi.

Bukan sekadar perlu menghafal semula lagu atau mengembalikan chemistry atas pentas, kumpulan dianggotai Zahid, Hamka dan Taa itu turut perlu ‘belajar semula’ cara untuk kekal relevan dalam industri muzik yang sudah berubah wajah.

Vokalisnya, Zahid mengakui, kepulangan Disagree pada pertengahan 2023 membuatkan mereka sedar dunia muzik hari ini jauh berbeza berbanding ketika mereka mula mencipta nama.

“Ketika kami masih muda, banyak perkara dibuat secara mudah. Semuanya seperti pasang dan terus main. Ketika itu belum ada kandungan media sosial yang perlu difikirkan.  Kami memang perlu menghasilkan video muzik, tetapi selain itu, kami hanya perlu hadir ke persembahan, bawa gitar dan pembesar suara, sambungkan audio dan terus main muzik.

“Sekarang ada IEM, muzik latar, stems, komputer riba dan kami juga perlu mempunyai pasukan jurutera bunyi.  Semuanya memerlukan kos yang tinggi. Jadi, apabila kami kembali, kami terfikir, bagaimana hendak bertahan dengan keadaan seperti ini?” katanya pada sidang media Disagree Live In Concert yang telah berlangsung pada 7 oktober lalu.

Lebih mencabar, Disagree juga dihantui persoalan sama ada kemunculan semula mereka mampu bertahan lama atau sekadar menjadi episod singkat sebelum kembali menyepi.

Zahid tidak menafikan mereka sendiri memikirkan kemungkinan itu.

“Kami juga risau bagaimana sebuah kumpulan daripada generasi lama seperti kami boleh terus bertahan dalam dunia hari ini.  Bagaimana kami hendak memastikan kami tidak hilang semula selepas ini? Perkara itu juga masih cuba saya fikirkan.

“Daripada segi rasa kekok, rasanya tidak ada. Tetapi kami percaya selagi kami terus berinteraksi dengan penonton dan peminat, itu yang penting,” katanya.

Justeru, TikTok kini menjadi antara ‘senjata’ baharu Disagree untuk terus berhubung dengan peminat.

Biarpun pada usia dan pengalaman yang berbeza daripada generasi pencipta kandungan hari ini, Zahid berkata mereka perlu berani mencuba.

“Mungkin antara perkara yang kami pelajari setakat ini ialah orang ramai suka siaran langsung di TikTok.  Bayangkan, kami yang sudah berusia ini buat siaran langsung di TikTok.

“Sekurang-kurangnya kami perlu terus hadir dan berinteraksi dengan peminat, sama ada menerusi sesi TikTok, YouTube atau apa saja platform yang sesuai,” katanya.

Menariknya, keputusan untuk menghidupkan kembali Disagree bukan kerana mengejar nostalgia semata-mata.  Sebaliknya, peminat menjadi antara sebab utama mereka berani membuka semula pintu yang pernah ditutup lebih sedekad.

Disagree berehat daripada aktiviti muzik pada 2011 apabila setiap anggota perlu memberikan tumpuan kepada keluarga serta komitmen pekerjaan masing-masing.

Namun, sepanjang tempoh itu, mereka masih bertemu peminat yang mengingati karya dan perjalanan kumpulan terbabit.

“Antara sebab kami kembali adalah ketika kami berehat selama lebih 10 tahun, kadang-kadang kami terserempak dengan peminat di jalan yang sangat gembira dan teruja apabila berjumpa.  Mereka masih ingat kami dan apabila berjumpa, reaksi mereka membuatkan kami sedar bahawa muzik yang kami hasilkan suatu ketika dahulu masih mempunyai tempat dalam hati peminat.

“Jadi, apabila ada peluang untuk kembali bersama, kami rasa inilah masa yang sesuai untuk mencuba semula dan melihat sejauh mana Disagree boleh bertahan dalam landskap muzik hari ini,” katanya.

Kemunculan semula itu kemudian diteruskan menerusi single Let’s Do It All Again yang dilancarkan pada Mei lalu.

Judulnya cukup bersesuaian dengan perjalanan Disagree dan melakukan semuanya sekali lagi, tetapi kali ini dengan pengalaman hidup, kematangan dan perspektif yang jauh berbeza.

Jika ada yang menyangka Disagree kembali sekadar untuk mengulang nostalgia era awal 2000-an, tanggapan itu bakal meleset.  Sebaliknya, kumpulan itu mahu membawa peminat masuk ke dalam dunia muzik mereka menerusi Disagree Live In Concert di REXKL, Kuala Lumpur pada 24 Oktober ini.

Persembahan yang pada asalnya dirancang sebagai Disagree “Black & White in Colour” Live Showcase itu dinaik taraf menjadi konsert penuh selepas menerima permintaan peminat serta permintaan lagu yang semakin meningkat.

Sebanyak 18 lagu bakal dipersembahkan, merangkumi karya klasik, lagu baharu serta beberapa karya yang akan dipersembahkan secara langsung buat kali pertama.

Lebih menarik, pengalaman muzik itu bakal diperkukuhkan menerusi elemen immersive projection mapping, sekali gus menjadikan REXKL bukan sekadar lokasi persembahan, tetapi sebahagian daripada pengalaman visual dan audio Disagree.

Konsert bermula jam 8.30 malam, manakala pintu dibuka kepada penonton pada jam 7 malam.  Jelas, Disagree tidak mahu kepulangan mereka berakhir sebagai satu lagi acara ‘reunion’. Malah mereka mahu membuktikan bahawa kumpulan yang pernah menjadi antara nama penting dalam arena rock alternatif tempatan itu masih mampu mencipta sesuatu yang baharu.

Kemunculan di REXKL juga cukup istimewa kerana menjadi pentas pelancaran album ketiga mereka, Black & White in Colour.  Menghimpunkan 21 lagu, album itu menjadi rakaman rasmi pertama Disagree dalam tempoh 17 tahun selepas album kedua mereka, To Prevent The Earth From Moving With You.

Lebih daripada sekadar koleksi lagu, album berkenaan menjadi cerminan perjalanan hidup anggota Disagree sepanjang tempoh mereka menyepi.  Kekecewaan, trauma, pergolakan emosi, hubungan yang terjalin semula, kepercayaan dan perubahan diri diterjemahkan menerusi karya yang terkandung dalam album berkenaan.

“Setiap lagu menggambarkan fasa berbeza dalam evolusi Disagree, daripada siapa kami dahulu, apa yang telah kami kehilangan sehinggalah kepada diri kami pada hari ini,” katanya.

Album itu diterbitkan dan menjalani proses mixing oleh penerbit muzik Greg Henderson, manakala proses mastering dikendalikan jurutera audio pemenang Grammy, Leon Zervos di Studios 301, Australia.

Album berdurasi panjang yang mengandungi 21 buah lagu ini didatangkan dengan 21 rekaan seni (artworks) khas bagi setiap trek lagu. Format Digibook yang dipilih untuk album fizikal ini memberikan sentuhan premium dan eksklusif yang sangat sesuai untuk dijadikan barangan koleksi (collectible item) para peminat tegar mereka.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1995 itu mencipta pengaruh menerusi bunyi rock alternatif dan indie progresif dengan lagu seperti Crumbs, Suicide Note, Scarecrow Adams, Osaka dan Haley, selain pernah meraih tiga kemenangan di Anugerah Industri Muzik (AIM).

Mereka juga pernah diberi kepercayaan membuka persembahan kumpulan antarabangsa termasuk Hoobastank dan The All-American Rejects.

Bagi peminat yang masih belum mendapatkan tiket, harga istimewa RM100 untuk tiket biasa dan RM60 bagi pelajar ditawarkan sehingga 23 Oktober ini. Harga promosi berkenaan bermula 14 Ogos lalu, sebelum kembali kepada RM120 bagi tiket biasa dan pelajar selepas tempoh promosi berakhir.

Tiket boleh didapati menerusi laman web ubertickets.asia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page