October 8, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Cinta Arsenal bertembung kesetiaan Chelsea dalam PL, I Love You

Spread the love

Konflik cinta antara penyokong tegar Arsenal dan Chelsea menjadi taruhan utama drama romantik komedi, PL, I Love You, arahan Michael Ang.

Drama lapan episod itu menampilkan Kamal Adli sebagai Adam, pemilik bengkel kereta dan penyokong setia Chelsea, manakala Intan Serah memegang watak Lily, seorang peguam yang juga peminat tegar Arsenal.

Lily masih berpegang kepada impian arwah bapanya untuk berkahwin dengan lelaki yang menyokong Arsenal, namun hubungan cintanya dengan Adam berdepan masalah apabila lelaki itu enggan mengubah kesetiaannya kepada Chelsea.

Keadaan menjadi semakin rumit apabila Adam mengalami amnesia selepas terjatuh dalam satu kejadian.

Dalam usaha membantu Adam mendapatkan semula ingatannya, Lily menemui pertandingan Liga Perdana Inggeris yang menawarkan peluang memenangi perkahwinan impian di Stadium Emirates, gelanggang keramat Arsenal.

Tergoda dengan peluang itu, Lily secara rahsia cuba mempengaruhi Adam supaya mempercayai bahawa dia adalah penyokong Arsenal sebelum membawanya ke London.

Menurut Intan, drama berkenaan turut mengetengahkan persoalan mengenai cinta dan perbezaan dalam hubungan.

“Pada saya perkara yang penting, meski berbeza pendapat kita tetap hormat dan sayang antara satu sama lain.

“Yang lebih penting daripada sibuk mengubah pasangan adalah saling melengkapi, menerima seadanya lalu bertumbuh bersama selagi ia tidak memudaratkan,” katanya.

Sementara itu, Hawa Rizwana yang memegang watak Zara, seorang wanita cacat penglihatan, mengakui wataknya memerlukan persediaan khusus, termasuk latihan berjalan menggunakan tongkat dengan mata terpejam.

Bagi Theebaan G yang memainkan watak Rama pula, pembabitannya dalam drama itu memberi perspektif baharu terhadap pengaruh bola sepak selepas dia mengakui bukan peminat tegar Liga Perdana Inggeris.

“Saya memang bukan peminat bola sepak. Namun selepas menjalani penggambaran di London, ia memberi saya perspektif baharu mengapa bola sepak menjadi hal yang sangat penting kepada penggemarnya,” katanya.

Selain Kamal, Intan, Hawa dan Theebaan, drama berkenaan turut dibintangi Evertts Gomes, Nina Jasmin dan Sean Lee.

PL, I Love You mula ditayangkan pada 30 September lalu menerusi Astro Ria dan Sooka, setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page