October 2, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Kuala Lumpur Ska Syndicate Bawa ‘Demam’ Ska Keliling Malaysia

Spread the love

Bukan sekadar mengusik nostalgia, kolektif ini menjadikan lima lokasi sebagai medan menyebarkan ‘virus’ ska dari ibu kota hingga ke Borneo

Kalau ada yang menyangka ska sudah lama bersara daripada pentas muzik tanah air, Kuala Lumpur Ska Syndicate tampil membawa jawapan yang cukup lantang lantas membuktikan bahawa rentak itu masih bernyawa, malah semakin rancak menggegarkan pentas.

Daripada Kuala Lumpur, rentaknya merayap ke Selangor, kemudian melompat ke Pulau Pinang sebelum menyeberangi Laut China Selatan menuju Sabah dan Sarawak.  Lima lokasi, satu misi iaitu membawa ‘demam’ ska keliling Malaysia.

Diasaskan GuaPunya Muzik pada 2024, Kuala Lumpur Ska Syndicate kini memasuki fasa lebih agresif apabila mula aktif di pentas secara langsung sejak Ogos lalu.

Jika sebelum ini mereka mengasah taring di studio menerusi rakaman demo dan projek kolaborasi, kini pentas pula menjadi gelanggang untuk membuktikan bahawa ska bukan sekadar tinggalan era silam, sebaliknya genre yang masih mampu menggerakkan tubuh, menghidupkan suasana dan menyatukan peminat muzik daripada pelbagai generasi.

Langkah pertama siri jelajah lima lokasi itu bermula di BEKL, Cheras pada 9 Ogos lalu.  Belum sempat gema rentak mereka reda, Kuala Lumpur Ska Syndicate menyambung perjalanan ke Pop-up Stage, DeStage @ Jaya One, Petaling Jaya pada 27 Ogos.

Selepas menakluki dua lokasi di Semenanjung, mereka kemudian membawa ‘peluru’ ska ke MBG Music Fest Vol. 4 / MBG Vespa Lambretta Jamboree di Tanjung City Marina, Pulau Pinang pada 5 September.

Tidak berhenti di situ, mereka terus terbang ke Sabah sehari selepas itu untuk Kinarut Soundscape: Metanoia @ Kinarut Records Station, Kinarut.  Destinasi terakhir pula bakal menyaksikan mereka menutup siri tour di Damai Escape Park, Santubong, Sarawak menerusi Ska Picnic pada 17 Oktober ini.

Jarak boleh memisahkan, tetapi ska menjadi bahasa yang menyatukan perjalanan mereka.  Menariknya, siri lima lokasi itu mendapat sokongan MyCreative Ventures di bawah Kementerian Komunikasi menerusi DKK 2025, sekali gus memberi ruang kepada Kuala Lumpur Ska Syndicate untuk mengembangkan jaringan dan mempertemukan muzik mereka dengan komuniti muzik di lokasi berbeza.

Di sebalik hingar-bingar pentas, Kuala Lumpur Ska Syndicate sebenarnya membina tapak mereka secara perlahan tetapi konsisten.

GuaPunya Muzik berperanan sebagai Anchor dalam pembangunan dan pengurusan kolektif itu, manakala pengumpulan demo pra-produksi bermula pada Oktober 2025 menerusi album kompilasi demo berjudul Jika Kita Ada Ska!.

Kemudian datang pula projek The Raya Syndicate sepanjang Ramadan 2026.  Daripada projek khas itu lahir Kita Di Aidilfitri, lagu Aidilfitri yang mempertemukan Leaism bersama Kuala Lumpur Ska Syndicate.

Karya terbitan GuaPunya Muzik itu bukan sekadar menjadi eksperimen mencantumkan ska dengan suasana Aidilfitri, malah turut menerima putaran radio di Malaysia dan Singapura.  Bagaikan membuka pintu baharu, capaian itu memberi Kuala Lumpur Ska Syndicate peluang untuk memperkenalkan bunyi mereka kepada pendengar di luar Malaysia.

Untuk The Raya Syndicate, barisan pemuzik yang terbabit terdiri daripada Shah Hafiz (dram), Deo (gitar), GFath (bass), Eddie Zuraidy (keyboard), Abdul Karim (perkusi), Izgastro (trompet), Leaism (vokal utama), Eja Anugerah dan Widy Hamzah (vokal latar/harmoni).

Dalam perjalanan membina identiti, Kuala Lumpur Ska Syndicate turut melalui proses perubahan line-up.  Antara pemuzik yang pernah mengisi pentas bersama kolektif itu ialah Shah di posisi dram, Eddie Zuraidy, Amirul Rasyid dan Nano (keyboard), Raziq (saksofon/vokal), Izgastro (trompet/vokal), Abdul Karim (perkusi), Alip dan Arab (gitar) serta GFath (bass).

Bagi siri persembahan ketika ini, Kuala Lumpur Ska Syndicate tampil dengan Shah Hafiz (dram), Nano (keyboard), Alip dan Arab (gitar), GFath (bass), Raziq (vokal/saksofon) serta Izgastro (trompet/vokal).

Namun, perjalanan mereka untuk 2026 tidak berhenti selepas tour lima lokasi. Pada 10 Oktober ini, mereka turut dijadualkan tampil di Atas Angin Ska Fest 2026 di Kuala Lumpur.

Acara tahunan anjuran Atas Angin itu menjadi sebahagian daripada aktiviti pentas Kuala Lumpur Ska Syndicate, namun ia adalah persembahan berasingan dan tidak termasuk dalam lima lokasi tour rasmi.

Menariknya, selepas puas ‘berlari’ dari satu pentas ke satu pentas, Kuala Lumpur Ska Syndicate bakal kembali menyarung jaket studio.  Mereka dijadualkan menghasilkan sebuah single baharu yang mengandungi dua lagu menerusi kerjasama GuaPunya Muzik dan Life Records Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah itu meneruskan rentetan penghasilan karya selepas Jika Kita Ada Ska! dan Kita Di Aidilfitri, sekali gus memperlihatkan usaha kolektif itu untuk tidak hanya dikenali menerusi persembahan langsung, tetapi turut mempunyai katalog karya sendiri.

Daripada demo ke studio, daripada studio ke pentas dan daripada pentas Kuala Lumpur hingga ke Sabah dan Sarawak, perjalanan Kuala Lumpur Ska Syndicate ibarat rentak yang enggan berhenti.

Mereka tidak sekadar mengetuk pintu nostalgia sebaliknya, mereka cuba membuka pintu baharu untuk ska dengan karya, kolaborasi dan pentas sebagai senjata. 


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page