FUWA FUWA Jadi Wajah Baharu Art of Salmó, Bawa Pesanan Hidup Lebih Santai

Sempena Ulang Tahun Ketujuh, Art Of Salmó Mahu Rakyat Malaysia Memperlahankan Rentak Kehidupan Dan Menikmati Setiap Momen Bermakna
Dalam dunia yang semakin pantas, kadangkala manusia terlalu sibuk mengejar perkara seterusnya hingga terlupa menikmati apa yang sedang berada di depan mata.
Menyedari hakikat itu, jenama makanan premium kelahiran Malaysia, Art of Salmó, memilih pendekatan berbeza sempena ulang tahun ketujuh dengan mengetengahkan FUWA FUWA, maskot baharu yang membawa mesej cukup sederhana tetapi dekat dengan kehidupan seharian seraya memperlahankan langkah dan menikmati momen yang ada.
FUWA FUWA yang berasal daripada ungkapan Jepun fuwa fuwa (ふわふわ), merujuk kepada sesuatu yang lembut, ringan dan gebu, sekali gus mencerminkan semangat jenama itu untuk membawa sedikit keceriaan dan rasa ringan dalam kehidupan yang serba pantas.

Lebih daripada sekadar maskot ulang tahun, FUWA FUWA diperkenalkan sebagai simbol kepada gaya hidup yang lebih santai, ceria dan menghargai perkara kecil.
Malah, watak berkenaan akan terus menjadi sebahagian daripada Art of Salmó selepas sambutan ulang tahun ketujuh, termasuk menerusi koleksi barangan harian seperti kemeja-T dan stoking yang memberi peluang kepada pengikutnya membawa semangat FUWA FUWA ke mana sahaja.
Pengasas Bersama Art of Salmó, Phyllis Teh, berkata ulang tahun ketujuh dirasakan sebagai masa yang tepat untuk mengingatkan diri sendiri dan komuniti supaya sesekali memperlahankan rentak kehidupan.
“Hidup bergerak begitu pantas sehingga kadangkala kita sudah memikirkan perkara seterusnya sebelum sempat menikmati apa yang ada di depan mata.
“Ulang tahun ketujuh kami menjadi peluang untuk mengingatkan diri dan komuniti supaya memperlahankan langkah sekali-sekala, menikmati makanan, kebersamaan dan meraikan momen itu, walaupun ia sesuatu yang sederhana,” katanya dalam satu kenyataan.
Semangat itu turut diterjemahkan menerusi sajian yang diperkenalkan Art of Salmó, bukan sekadar untuk mengenyangkan perut tetapi mencipta ruang untuk orang ramai duduk bersama, berbual dan menikmati masa tanpa perlu menunggu hadirnya acara istimewa.
Bersempena ulang tahun berkenaan, Art of Salmó memperkenalkan Loaded Sashimi Bowl, lengkap dengan tiga pilihan sos yang memberikan pengalaman berbeza dalam menikmati setiap suapan.
Turut diketengahkan ialah Mukbang Series, yang direka untuk menjadikan hidangan lebih daripada sekadar makanan, sebaliknya satu pengalaman yang boleh dinikmati dan dikongsi bersama.
Di sebalik pelbagai sajian itu, Norwegian Fjord Trout kekal menjadi nadi utama Art of Salmó.
Menggunakan Norwegian Fjord Trout berkualiti sashimi yang diternak di perairan fjord Norway dan sesuai untuk dimakan mentah, jenama itu mahu memperkenalkan ikan berkenaan kepada lebih ramai rakyat Malaysia bukan sekadar sebagai alternatif kepada ikan yang lebih biasa dinikmati, tetapi sebagai produk yang mempunyai karakter rasa dan teksturnya tersendiri.
Menurut Phyllis, makanan yang baik bagi Art of Salmó bukan hanya mengenai apa yang terhidang di atas meja, sebaliknya pengalaman yang tercipta di sekelilingnya.
“Bagi kami, sesuatu produk perlu memberikan lebih daripada sekadar makanan untuk dinikmati. Kami memikirkan pengalaman di sekelilingnya, keterujaan ketika membuka hidangan, pelbagai cara untuk menikmatinya dan orang yang mungkin berkongsi pengalaman itu bersama kita.
“Kami mahu menghasilkan makanan yang memberikan orang ramai alasan untuk duduk, berhenti seketika dan menikmati momen,” katanya.
Sejak ditubuhkan di Malaysia pada 2019, Art of Salmó membina identitinya sebagai jenama makanan premium yang memberi tumpuan kepada Norwegian Fjord Trout, selain menawarkan pelbagai sajian sedia dinikmati termasuk sashimi dan platters sushi.
Dengan menitikberatkan kesegaran, kualiti, pengendalian serta rantaian sejuk yang ketat, jenama itu mahu menjadikan pengalaman menikmati Norwegian Fjord Trout lebih mudah dan dekat dengan kehidupan harian rakyat Malaysia.
Pada masa sama, sambutan ulang tahun ketujuh turut membuka ruang kepada komuniti Art of Salmó berkongsi #AoSMoment, merangkumi detik bersama keluarga, pertemuan dengan sahabat, meraikan kejayaan kecil atau sekadar menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada diri sendiri selepas melalui hari yang panjang.

Di situlah FUWA FUWA hadir bukan sekadar sebagai karakter comel, tetapi sebagai satu peringatan bahawa kebahagiaan tidak semestinya hadir dalam acara besar.
Kadangkala ia tersembunyi dalam semangkuk makanan, gelak tawa bersama insan tersayang atau beberapa minit yang sengaja diperuntukkan untuk diri sendiri.
Dalam langkah menuju tahun kelapan, Art of Salmó mahu terus membawa makanan dan pengalaman yang menggalakkan rakyat Malaysia memperlahankan rentak, berhubung dengan orang di sekeliling dan menghargai momen yang mungkin selama ini terlepas pandang.
