Nourul Depp Bawa Misi ‘Bangkit’ Dalam PERANTIS 2026

Selepas lebih tiga dekad mewarnai industri muzik, penyanyi, usahawan dan jurulatih kehidupan bertauliah, Nourul Depp kini membawa misi lebih besar untuk membantu wanita mengenali potensi diri dan berani mencipta perubahan dalam kehidupan.
Nourul sekali lagi diberi kepercayaan menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2026, inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Program berkenaan akan berlangsung di Tamu Hotel Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Oktober ini, bermula jam 9.30 pagi, dengan Nourul tampil sebagai penceramah jemputan.
Turut berkongsi pentas sebagai penceramah jemputan ialah Dato Sri Alha Alfa, manakala Atilia diberi tanggungjawab sebagai pengajar jemputan.

Bagi Nourul, penglibatannya kali kedua dalam PERANTIS bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya peluang untuk meneruskan perjuangan memperkasa wanita menerusi pengalaman, ilmu dan kisah hidup yang dilaluinya.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana sekali lagi diberi peluang untuk bersama PERANTIS. Bagi saya, menjadi seorang wanita pemimpin bukan sekadar tentang gelaran atau kedudukan.
“Yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan dengan peluang yang diberikan untuk menyentuh kehidupan wanita lain, membantu mereka melihat potensi diri dan memberi keberanian untuk melangkah ke hadapan.”
Program PERANTIS diwujudkan bagi membangunkan bakat kepimpinan wanita menerusi perkongsian ilmu, bimbingan serta pengalaman daripada barisan wanita pemimpin dan tokoh berjaya.
Bagi 2026, KPWKM memperuntukkan RM4 juta untuk pelaksanaan program berkenaan dengan sasaran membabitkan 80 pemimpin wanita dan 4,000 peserta di seluruh negara.
Namun, di sebalik angka dan statistik itu, Nourul melihat PERANTIS sebagai ruang untuk mengetengahkan satu perkara yang lebih asas iaitu keberanian seorang wanita untuk percaya semula kepada dirinya sendiri.

“Saya percaya kepimpinan tidak semestinya bermula dengan jawatan atau gelaran. Kadangkala kepimpinan bermula apabila seorang wanita membuat keputusan untuk percaya kepada dirinya sendiri sekali lagi,” katanya.
Menurutnya, perubahan dalam diri seseorang wanita mampu memberi kesan lebih luas terhadap kehidupan, keluarga, kerjaya dan masa depannya.
“Apabila seorang wanita mengubah cara dia melihat dirinya, dia juga boleh mengubah cara dia melihat keluarga, kerjaya, perniagaan dan masa depannya,” katanya.
Pengalaman lebih tiga dekad dalam dunia muzik, selain bergelar usahawan dan jurulatih kehidupan profesional, menjadi bekal penting buat Nourul untuk berkongsi perspektif mengenai kekuatan, ketahanan serta potensi wanita.
Nourul yang merupakan RMT Certified Life Coach, terlatih melalui Robbins-Madanes Training, selain diakreditasi sebagai penceramah HRD Corp, kini turut aktif menerusi platform pembangunan diri yang diasaskannya, Firetalk.
Menerusi Firetalk – Empowered Women: Transforming Lives, beliau memberi tumpuan kepada kesedaran diri, kecerdasan emosi, ketahanan diri, mindset dan transformasi peribadi.
Bagi Nourul, Firetalk bukan sekadar seminar motivasi, sebaliknya ruang untuk wanita berhenti seketika, melihat ke dalam diri, berdepan dengan cabaran serta pengalaman lalu sebelum membina semula keyakinan untuk melangkah ke hadapan.
“Wanita tidak perlu kekal sebagai versi diri mereka yang dibentuk oleh masa lalu. Kita boleh berubah. Kita boleh sembuh. Kita boleh membina semula diri, dan kita boleh memilih arah baharu dalam hidup, tidak kira pada usia berapa pun,” katanya.
Menariknya, mesej mengenai keberanian untuk bermula semula itu turut tercermin dalam perjalanan peribadi Nourul sendiri.
Daripada penyanyi yang memulakan kerjaya sejak usia muda, beliau melalui pelbagai fasa kehidupan dan kerjaya sebelum melebarkan langkah ke dunia keusahawanan, wellness, pembangunan diri dan coaching.
Malah, 2026 turut menjadi tahun bermakna buat Nourul apabila beliau merealisasikan impian mengadakan konsert solo pertama, For You: Nourul, di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert itu bukan sekadar meraikan perjalanan seninya selama lebih tiga dekad, tetapi menjadi simbol keberanian untuk kembali bermimpi, bangkit dan membuka lembaran baharu.
“Muzik mengajar saya tentang hubungan dengan manusia. Kehidupan mengajar saya tentang ketahanan. Coaching memberi saya ilmu dan alat untuk membantu orang lain, manakala Firetalk menjadi ruang untuk menggabungkan kesemuanya,” katanya.

Justeru, menerusi PERANTIS 2026, Nourul mahu pengalaman yang dilaluinya menjadi pencetus kepada lebih ramai wanita untuk berhenti meragui kemampuan diri.
“Saya tidak mahu memberitahu wanita siapa mereka sepatutnya menjadi. Saya mahu membantu mereka menemui siapa sebenarnya mereka dan potensi yang selama ini mungkin mereka tidak nampak dalam diri sendiri,” katanya.
Bagi Nourul, kepimpinan wanita tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jawatan atau pencapaian peribadi, tetapi sejauh mana seseorang itu mampu membuka ruang dan jalan untuk wanita lain turut berani melangkah.
“Kita tidak perlu kekal di tempat di mana kehidupan pernah meninggalkan kita. Kita sentiasa mempunyai pilihan untuk bangkit, berkembang dan menjadi versi baharu diri kita.”
