October 1, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

RAPAT Hip Hop Fest: Underground ‘naik gelanggang’ Stadium Nasional

Spread the love

Dari lorong sempit, pentas kecil dan denyut budaya jalanan, Hip Hop tempatan kini bersedia keluar daripada bayang-bayang underground untuk menakluk pentas paling besar negara.

Bukan sekadar menjejakkan kaki, tetapi membawa seluruh denyut nadi budaya itu ke TM Stadium Nasional, Bukit Jalil menerusi RAPAT Hip Hop Fest pada 24 Oktober ini.

Mengangkat slogan When Underground Takes The National Stadium, festival anjuran CEOMAN Entertainment itu mahu membuktikan bahawa Hip Hop tempatan bukan lagi sekadar budaya pinggiran, sebaliknya mempunyai kekuatan, identiti dan daya tarikan untuk berdiri megah di pentas berskala stadium.

Lebih daripada sebuah pesta muzik, RAPAT dibentuk sebagai medan pertemuan pelbagai generasi apabila penggiat underground, ikon Hip Hop, bakat baharu dan peminat budaya urban dihimpunkan di bawah satu bumbung.

Kemuncak penyatuan itu tentunya The National Cypher, segmen yang bakal menyaksikan kira-kira 100 rapper tempatan daripada pelbagai era, negeri dan bahasa berkongsi pentas.

Bayangkan 100 suara, 100 karakter dan 100 perjalanan seni bertemu dalam satu gelanggang — menjadikan Stadium Nasional bukan sekadar tempat persembahan, tetapi saksi kepada perjalanan panjang Hip Hop Malaysia.

Penganjur Acara, Sherman Heng, berkata idea RAPAT tercetus daripada persoalan sama ada Hip Hop tempatan mampu mengisi ruang sebesar Stadium Nasional.

“RAPAT bermula dengan satu soalan mudah: Bolehkah Hip Hop tempatan memenuhkan Stadium Nasional?  Malaysia mempunyai budaya Hip Hop yang amat kukuh, namun sekian lama ia bergerak sendirian di ruang underground.

“Berpandukan pengalaman kami menganjurkan konsert antarabangsa, sudah tiba masa untuk kami membawa bakat hebat ini ke stadium terbesar negara dan membuktikan nilai komersial serta potensi sebenar bakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sherman, kekuatan RAPAT bukan hanya pada nama besar yang menghiasi pentas, sebaliknya terletak pada usaha menghidupkan kembali roh sebenar Hip Hop yang sejak awal menjadi medium untuk menyuarakan realiti kehidupan, membina rasa hormat dan membawa mesej kedamaian.

Malah, festival itu turut menjadi jambatan antara generasi perintis atau OGs dengan barisan bakat baharu yang sedang mencorakkan wajah Hip Hop Malaysia.

Di pentas utama, Fasa Pertama menampilkan Bunga, Forceparkbois dan K-Clique, selain barisan Supporting Acts & Underground Talents yang akan terus diumumkan dari semasa ke semasa.

Gabungan itu memperlihatkan bagaimana RAPAT cuba merangkum pelbagai warna Hip Hop daripada arus perdana hingga gelombang underground yang lebih eksperimental dan berani.

Sherman berkata, senarai artis Fasa Pertama itu hanya permulaan kepada skala persembahan yang bakal dibawa ke Stadium Nasional.

BUNGA

“Barisan artis Fasa Pertama ini mewakili kepelbagaian warna, tenaga dan identiti unik arena Hip Hop tempatan, menyaksikan gabungan dominasi arus perdana hingga ke gelombang baharu yang dinamik.

“Ini adalah gambaran awal kepada kualiti dan skala persembahan yang kami janjikan di Stadium Nasional nanti,” katanya.

Namun, RAPAT tidak mahu pengunjung sekadar berdiri di hadapan pentas dan menyaksikan persembahan.

Bermula 11 pagi hingga 11 malam, festival itu menghidangkan lima zon pengalaman yang membawa pengunjung menyelami keseluruhan ekosistem budaya Hip Hop.   The Main Stage menjadi nadi persembahan artis utama, rapper dan DJ, manakala The Underground membuka ruang kepada battle, freestyle serta cypher generasi baharu.

K-Clique

Bagi peminat budaya jalanan pula, The Street menampilkan breakdance, papan selaju dan sukan jalanan, sementara The Market menjadi hab gaya hidup urban dengan kehadiran jenama streetwear tempatan serta budaya sneakers.

Tidak ketinggalan The Flavour/Rapat Bazaar, yang menghimpunkan pilihan makanan tempatan dan berlangsung selama tiga hari dari 23 hingga 25 Oktober di Parking C. Lebih menarik, RAPAT tidak mahu budaya Hip Hop hanya menjadi hiburan untuk kelompok tertentu.

Tiket RAPAT GENG (General Admission) ditawarkan pada harga RM99, dengan akses ke kawasan General Admission sepanjang hari.

“Misi kami jelas iaitu menjadikan festival skala stadium ini boleh diakses oleh segenap lapisan masyarakat.  Pada harga tiket RM99, kami membuka pintu untuk sesiapa sahaja yang mahu merasai tenaga dan kehangatan budaya Hip Hop tempatan secara langsung,” kata Sherman.

Tiket rasmi boleh didapati menerusi MAISEAT dan Ticket2U bermula 28 September 2026.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page