September 27, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

ALPHA Raih Dua Trofi AIM25, Konsert Sulung Jadi Malam Paling Bermakna

Spread the love

Teks Oleh:  Nabila

Dua trofi AIM25 jadi kenangan istimewa ketika tujuh anggota ALPHA meraikan The First Wave bersama Alphanites di Zepp KL

Belum sempat gema konsert sulung reda, ALPHA sudah melakar satu lagi sejarah apabila menghadiahkan diri dua trofi Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) pada hari yang sama mereka menakluk pentas Zepp Kuala Lumpur.

Lebih manis, kemenangan itu hadir ketika Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky diraikan ribuan peminat yang dikenali sebagai Alphanites menerusi konsert ALPHA: THE FIRST WAVE yang telah berlangsung pada 26 September lalu.

ALPHA terlebih dahulu dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik sebelum lagu P. Ramlee & Saloma pula mengungguli kategori Lagu Pop Terbaik. Dua trofi berkenaan ternyata menjadi penyeri paling bermakna untuk kumpulan yang baru lebih setahun mencipta nama dalam industri muzik itu.

Daripada tujuh anak muda yang bermula menerusi pentas Big Stage ALPHA 2025, mereka kini berdiri di pentas sendiri dengan album sulung, jutaan strim dan tontonan serta pengiktirafan industri yang semakin berkembang.

Malah, tiket konsert solo sulung mereka juga dilaporkan habis dijual dalam tempoh hanya satu jam setengah, membuktikan sokongan padu Alphanites terhadap perjalanan kumpulan berkenaan.

Gerak menjadi lagu pembuka tirai The First Wave, menyaksikan ketujuh-tujuh anggota tampil penuh tenaga sebaik sahaja pentas dibuka.  Namun, kemeriahan sudah bermula lebih awal menerusi persembahan pre-show yang menampilkan Dinda bersama barisan finalis Big Stage ALPHA 2025, iaitu Adam Nazmie, Ranisha, Yad-Z, Danny dan Danial Kifli.

Kehadiran rakan seperjalanan dari pentas pertandingan itu seolah-olah membawa ALPHA dan peminat kembali mengimbas titik awal perjalanan mereka sebelum kumpulan itu mencipta nama sebagai sebuah kumpulan.

Kejutan diteruskan menerusi kemunculan Hussain yang bergabung bersama ALPHA membawakan Tiada Lagi, lagu popular nyanyian asal Amy Search.  Hussain kemudian meneruskan persembahan dengan karya terbaharunya, Takkan Pernah, yang dipersembahkan secara langsung buat pertama kali.

Nadeera pula mencuri perhatian apabila bergandingan dengan ALPHA menerusi Zapin Usik Mengusik, sebelum mempersembahkan single terbaharunya, Coba Jadi Aku, yang turut menjadi runut bunyi drama Astro, Bulan Henti Bicara.

Tidak cukup dengan itu, penyanyi dan penulis lagu Daiyan Trisha turut muncul bagi berkongsi pentas dengan ALPHA menerusi Haru Biru, lagu yang dimuatkan dalam album sulung kumpulan itu.

Bagi Araff, peluang berkongsi pentas dengan rakan artis yang pernah melalui perjalanan sama menjadikan malam itu lebih istimewa.

“Salah satu perkara yang menjadikan The First Wave begitu istimewa adalah peluang untuk berkongsi pentas bersama rakan-rakan artis yang telah melalui perjalanan yang sama seperti kami.  Kehadiran mereka untuk bersama-sama meraikan pencapaian ini mencipta suasana yang cukup bermakna dan sukar dilupakan.

“Melihat para peminat menyanyi bersama serta memberikan sokongan terhadap setiap persembahan sepanjang malam adalah kenangan yang akan sentiasa kami hargai,” katanya.

Bagi Daiyan pula, peluang menjadi sebahagian daripada konsert sulung ALPHA turut membawa makna tersendiri.

“Seronok melihat sejauh mana ALPHA telah berkembang dalam masa yang begitu singkat.  Mereka memang bekerja keras dan saya rasa semua kejayaan yang mereka kecapi hari ini sememangnya layak untuk mereka.

“Saya berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada detik penting ini dan ingin mengalu-alukan ALPHA untuk terus melakar nama dalam industri.  Saya percaya ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan yang lebih besar buat ALPHA pada masa hadapan,” katanya.

Jika pembukaan membawa peminat menyaksikan sisi baharu ALPHA, penutup konsert pula membawa mereka kembali ke akar perjalanan kumpulan berkenaan.

Gento dipilih sebagai lagu terakhir, sekali gus mencetuskan nostalgia kerana lagu itu pernah dibawakan ALPHA ketika menyertai Big Stage ALPHA 2025.

Pemilihan lagu berkenaan seolah-olah melengkapkan satu bulatan perjalanan — daripada tujuh anak muda yang mengejar impian di pentas pertandingan, kini mereka mempunyai pentas sendiri untuk diraikan bersama peminat.

Bagi Sky, segala pencapaian yang diraih sepanjang setahun lalu tidak akan bermakna tanpa sokongan Alphanites.

“Dalam masa setahun, banyak impian yang berjaya kami capai dan semuanya tidak mungkin berlaku tanpa Alphanites.  Mereka bukan sekadar menyokong perjalanan kami, tetapi menjadi sebahagian daripada kisah ALPHA itu sendiri.

“The First Wave adalah hadiah dan penghargaan kami buat mereka. Setiap sorakan, setiap nyanyian dan setiap detik pada malam ini adalah untuk Alphanites yang sentiasa menjadi kekuatan terbesar kami,” katanya.

Perjalanan ALPHA sepanjang setahun lalu juga bukan calang-calang apabila album sulung mereka, The First Wave, merekodkan lebih 100 juta strim dan tontonan terkumpul merentas platform digital.

Kumpulan itu turut mengukir kejayaan di Gempak Most Wanted Awards 2025 sebelum mencipta detik lebih besar menerusi dua kemenangan di AIM25.

Di pentas antarabangsa, ALPHA turut menerima pencalonan dalam kategori Top 5 Most Influential Southeast Asian Artists (Male) di Jupiter Music Awards 2026.  Lagu P. Ramlee & Saloma pula turut tercalon dalam kategori Best Listener Choice: International Song di Japan Music Awards 2026 yang dipersembahkan oleh Spotify.

Buat Daniel yang juga ketua kumpulan, kemenangan di AIM25 menjadi detik yang sukar dipercayai memandangkan mereka baru setahun bersama sebagai ALPHA.

“Masih terasa seperti mimpi apabila kami berjaya memenangi empat anugerah di AIM, iaitu sebuah impian yang saya tanam sejak kecil lagi.  Kami baru setahun bersama sebagai ALPHA, jadi setiap pencapaian ini membawa makna yang sangat besar buat kami,” katanya.

Namun, bagi ALPHA, The First Wave bukan noktah sebaliknya, konsert itu menjadi bukti bahawa perjalanan mereka baru bermula.

“Kami bermula sebagai tujuh orang yang mempunyai impian. Hari ini kami berdiri sebagai ALPHA dan kami tahu, ini baru permulaan,” kata Ariel.

Malah, dua video muzik daripada lagu dalam album mereka turut dijadualkan ditayangkan hari ini pada jam 12 tengah hari dan 8 malam.

Daripada Big Stage ke pentas The First Wave, perjalanan ALPHA ternyata berkembang lebih pantas daripada yang mereka sendiri jangkakan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page