“DOLLA GET UGLY”

DOLLA mengubah pengalaman dihakimi dan kekecewaan menjadi sebuah anthem tanpa kompromi tentang keberanian mengambil semula kawalan.
DOLLA melancarkan “UGLY”, sebuah lagu berani dan penuh tenaga yang membawa semangat penentangan. Lagu ini merupakan pernyataan tegas tentang harga diri dan keengganan untuk dipandang rendah, di samping menolak sebarang cubaan orang lain untuk menentukan identiti mereka.
Dipacu oleh keyakinan, semangat melawan dan sentuhan huru-hara yang disengajakan, “UGLY” merakam detik apabila kekecewaan bertukar menjadi kekuatan. Lagu ini ditujukan kepada sesiapa sahaja yang pernah dihakimi atau didesak hingga ke batas kesabaran dan kini bersedia untuk bangkit melawan.
“Jika kami perlu menggambarkan ‘UGLY’ dalam satu perkataan, perkataan itu ialah ‘tanpa kompromi’,” kongsi DOLLA. “Lagu ini adalah tentang menerima dan berdiri teguh dengan siapa diri kita, tanpa membenarkan orang lain menentukan identiti kita.”

Mesej lagu ini amat dekat dengan hati kumpulan tersebut kerana setiap anggotanya pernah melalui pengalaman dihakimi dan disalahertikan dalam cara yang berbeza.
“Kami terus dapat menghayati lagu ini kerana mesejnya terasa begitu peribadi. Ada satu kepuasan apabila kami dapat mengambil segala perasaan itu dan mengubahnya menjadi kekuatan menerusi ‘UGLY’. Lagu ini mempunyai tenaga yang penuh penentangan, tetapi pada dasarnya, ia adalah tentang keberanian untuk menentukan naratif kita sendiri.”
Video muzik “UGLY” mengembangkan lagi mesej lagu tersebut menerusi sebuah dunia visual yang memukau, diinspirasikan oleh Wayang Kulit, seni persembahan bayang-bayang tradisional Malaysia. Penggunaan cahaya, bayang-bayang, pergerakan, muzik dan penceritaan melambangkan perbezaan antara persepsi dengan kebenaran.
Sebagaimana penonton membentuk tanggapan terhadap sesuatu watak hanya berdasarkan bayang-bayangnya tanpa melihat gambaran yang menyeluruh, manusia juga sering menghakimi orang lain berdasarkan penampilan, khabar angin atau versi kebenaran yang diceritakan oleh pihak lain.

“Kita melihat bayang-bayang lalu membentuk tanggapan tentang watak tersebut tanpa pernah melihat gambaran yang sepenuhnya. Kami merasakan konsep itu sangat serasi dengan ‘UGLY’ kerana manusia sering melakukan perkara yang sama terhadap satu sama lain. Lagu ini seolah-olah menjadi peringatan daripada kami bahawa persepsi tidak semestinya mencerminkan kebenaran.”
Sikap berani yang dibawa oleh lagu ini amat jelas menerusi bahagian hook yang mudah melekat di ingatan, “You better go run, you better go hide.”
Sebahagian besar dunia visual yang penuh intensiti dalam video muzik tersebut dihasilkan pada peringkat pascaproduksi. Hal ini memerlukan DOLLA membayangkan sendiri skala dan keamatan dunia akhir yang ingin diwujudkan ketika menjalani penggambaran. Beberapa babak turut dirakam hampir sepenuhnya dalam kegelapan di dalam sebuah rumah tradisional Melayu, sekali gus mewujudkan suasana tersendiri serta mengetengahkan elemen tempatan yang jelas.

“Oleh sebab sebahagian besar dunia dalam video ini dihasilkan ketika pascaproduksi, kami perlu membayangkan banyak elemen dan tenaganya semasa membuat persembahan. Penggambaran di dalam sebuah rumah tradisional Melayu yang hampir gelap sepenuhnya turut memberikan suasana misteri kepada set tersebut. Melihat bagaimana kesemuanya berubah dalam hasil akhir video muzik itu benar-benar mengujakan.”
DOLLA berharap para pendengar akan menjadikan “UGLY” sebagai lagu pilihan setiap kali mereka perlu menyusun semula tenaga atau berhenti memikul beban pandangan orang lain. “Dengarkan lagu ini apabila anda berada dalam suasana ‘baiklah, sudah cukup’. Mainkan lagu ini, ikut rentak anda sendiri dan jangan risau tentang apa yang orang lain mahu katakan.”
Meneruskan era yang bermula dengan “G.O.A.T” dan kini beralih kepada “UGLY”, DOLLA bersedia untuk merangkul segala kekacauan serta apa jua yang hadir bersamanya. Selain terus membawa muzik, visual dan persembahan mereka ke arah yang tidak dijangka, DOLLA juga merancang untuk memberikan tumpuan yang lebih besar kepada persembahan di peringkat antarabangsa, mendekati khalayak di luar Malaysia serta memperkukuh kehadiran mereka di pentas global.
“UGLY” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman utama.
