September 22, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Puteri Santubong ‘Menari’ Buat Kali Pertama

Spread the love

Dayang Mariana Bawa Legenda Dua Puteri Sarawak Ke Istana Budaya Menerusi Teater Tari Kontemporari

Selepas sekian lama dikenali sebagai antara legenda paling popular dari Sarawak, kisah Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang bakal mencipta satu lagi sejarah apabila buat pertama kalinya diangkat ke pentas dalam bentuk teater tari.

Keunikan itu menjadi taruhan utama produksi Lagenda Puteri Santubong yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 19 dan 20 Disember ini.

Perkara berkenaan didedahkan pengarahnya, Dayang Mariana Abang Bolhassan, ketika sidang media yang berlangsung di Istana Budaya pada 22 September lalu.

Menurut Dayang Mariana, pendekatan teater tari memberi ruang untuk legenda yang begitu dekat dengan masyarakat Sarawak itu diterjemahkan menerusi bahasa gerakan, muzik dan penceritaan visual, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.

Apa yang selama ini dikenali melalui cerita rakyat dan pelbagai bentuk penceritaan kini diberi nafas baharu menerusi sebuah produksi yang menggabungkan seni tari dan teater secara lebih kontemporari.

“Sebagai anak jati Sarawak, membawa legenda Puteri Santubong ke pentas nasional Malaysia ini amat bermakna buat saya.

“Walaupun cerita ini berasal dari Sarawak, tema kekeluargaan, kasih sayang, persaingan dan perdamaian yang dipaparkan adalah pengalaman yang dekat di hati semua penonton.

“Menerusi produksi ini, saya berharap dapat menghargai akar budaya asalnya sambil mempersembahkannya dengan nafas baharu, memikat dan bermakna buat generasi baharu,” katanya.

Lagenda Puteri Santubong berkisar mengenai hubungan dua beradik, Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang diwarnai kasih sayang, persaingan, pilihan, konflik dan perdamaian.

Namun, kali ini kisah tersebut tidak hanya bergantung kepada dialog untuk menggerakkan penceritaan.  Sebaliknya gerakan tubuh, ekspresi, muzik dan elemen visual menjadi antara medium utama untuk membawa penonton menyelami perjalanan kedua-dua watak tersebut.

Pendekatan itu menjadikan setiap gerakan mempunyai peranan dalam menyampaikan emosi dan perkembangan cerita, sekali gus memberi wajah baharu kepada legenda yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Produksi berkenaan dipersembahkan oleh Lang Budaya dan menghimpunkan kira-kira 100 penggiat seni daripada pelbagai latar belakang.  Antaranya termasuk penyanyi dan penghibur terkenal tanah air, Bob Yusof, yang tampil sebagai pencerita dan penyanyi.

Penglibatan Bob turut memberikan dimensi tersendiri kepada persembahan apabila beliau membantu menghubungkan naratif, muzik dan gerakan yang menjadi tunjang kepada produksi berkenaan.

“Puteri Santubong ialah kisah yang sangat dekat dengan Sarawak dan penglibatan saya dalam membawa naskhah ini ke pentas nasional amat bermakna.

“Sebagai pencerita dan penyanyi, peranan saya adalah untuk membantu membawa penonton menjiwai perjalanan ini, berganding bahu dengan penari dan muzik bagi menghidupkan penceritaan dalam dimensi yang berbeza,” katanya.

Selain Bob, produksi ini turut memberi ruang kepada pelapis muda berusia antara enam hingga 16 tahun yang dipilih menerusi uji bakat.

Kehadiran generasi muda itu menjadi antara elemen penting kerana mereka bukan sekadar tampil sebagai pelakon atau penari, sebaliknya diberi peluang mempelajari selok-belok dunia seni persembahan daripada penggiat yang lebih berpengalaman.

Gabungan pelbagai peringkat usia dan latar belakang itu secara tidak langsung menggambarkan bagaimana warisan budaya boleh terus hidup apabila generasi baharu diberikan ruang untuk menjadi sebahagian daripada proses penciptaannya.

Pada masa sama, karya muzik asli turut menjadi nadi kepada produksi berkenaan apabila ia digubah khusus untuk Lagenda Puteri Santubong di bawah arahan Pengarah Muzik, Shamsul Zain bersama barisan komposer kolaboratif.

Muzik berkenaan membantu membentuk perjalanan emosi cerita dan menghidupkan koreografi yang menjadi teras kepada persembahan.

Walaupun berakar umbi di Sarawak, pentas Istana Budaya membuka ruang untuk legenda berkenaan dikenali khalayak lebih luas sebagai sebahagian daripada khazanah budaya Malaysia.

Lebih istimewa, pementasan ini berlangsung bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus mengetengahkan kepelbagaian cerita rakyat serta tradisi seni persembahan negara.

Dalam sesi bual santai sempena sidang media 22 September lalu, Dayang Mariana bersama Pengarah Produksi Istana Budaya, Hanida Mohamed Yusof, Bob Yusof, Shamsul Zain dan Pengarah Teknikal, Tan Eng Heng turut berkongsi mengenai proses kreatif serta teknikal di sebalik penghasilan pementasan.

Antara yang menjadi tumpuan ialah usaha menterjemahkan cerita tradisional kepada bentuk persembahan moden tanpa menghilangkan identiti dan akar budayanya.

Bagi Lagenda Puteri Santubong, pentas Istana Budaya bukan sekadar lokasi persembahan tetapi menjadi ruang untuk sebuah legenda Sarawak mengambil langkah baharu, daripada cerita yang diwariskan secara turun-temurun kepada sebuah karya teater tari yang menggabungkan generasi, muzik dan gerakan.

Dan buat pertama kalinya, Puteri Santubong bukan sekadar diceritakan tetapi ‘menari’ di hadapan penonton.  Lagenda Puteri Santubong dipentaskan pada 19 dan 20 Disember 2026, jam 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Persembahan berdurasi kira-kira 90 minit tanpa selang dan menggunakan Bahasa Melayu serta elemen bukan verbal. Tiket boleh didapati menerusi CloudJoi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page