Pop Yeh-Yeh Bangkit, Legenda Kembali Beraksi

Retro Bangkit – Pesta Pop Yeh-Yeh 2026 Hidupkan Semula Denyut Muzik 60-An, Pertemukan Legenda Dengan Pewaris Generasi Baharu
Sebelum muzik moden menguasai corong radio, sebelum pentas hiburan dipenuhi teknologi canggih dan sebelum media sosial menjadi medan melahirkan bintang, muzik Pop Yeh-Yeh pernah menjadi denyut nadi anak muda.
Potongan rambut, fesyen, gaya bersahaja dan irama rancak menjadi identiti satu zaman yang sehingga kini masih tersimpan kemas dalam ingatan peminatnya.
Kini, nostalgia itu kembali dihidupkan menerusi Retro Bangkit – Pesta Pop Yeh-Yeh 2026 yang bakal berlangsung Sabtu ini, 19 September, dari jam 2 petang hingga 7 malam di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.
Lebih istimewa, program itu bukan sekadar mengajak generasi terdahulu mengimbau zaman kegemilangan muzik 1960-an, sebaliknya membuka ruang kepada generasi baharu untuk mengenali sendiri muzik yang pernah mencorakkan wajah hiburan popular tempatan.
Mengangkat tema “Nostalgia Kembali • Legenda Beraksi • Bakat Baharu Dicari”, Retro Bangkit menjadi pentas pertemuan antara masa lalu dan masa kini.
Program anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (JKKPS) itu turut mencerminkan usaha berterusan dalam menyediakan ruang kepada penggiat seni, selain menghidupkan aktiviti muzik dan kebudayaan di ibu kota.
Apa yang menarik, nostalgia tidak dibiarkan menjadi sekadar cerita daripada generasi lama kepada generasi muda. Sebaliknya, ia bakal diterjemahkan secara langsung menerusi persembahan nama yang cukup sinonim dengan dunia Pop Yeh-Yeh dan hiburan tanah air.
Dato’ Jeffrydin, Dato’ J-Sham dan personaliti ikonik Ayahanda Rani Kulup antara nama yang bakal mencuri perhatian, manakala persembahan mereka diiringi Kipidap Family Group.

Kekuatan Retro Bangkit terletak pada usaha membawa semula semangat Pop Yeh-Yeh dalam bentuk yang boleh didekati generasi hari ini.
Jika generasi terdahulu mengenali genre berkenaan menerusi piring hitam, radio dan pentas hiburan, generasi baharu pula diberi peluang untuk mengenalinya menerusi pengalaman secara langsung.
Muzik yang pernah menjadi lambang zaman itu diangkat semula sebagai sebahagian daripada khazanah budaya popular yang wajar dikenali, bukan hanya dikenang. Pertemuan legenda dengan bakat baharu juga memberi dimensi berbeza apabila pengalaman dan warisan muzik bertemu tenaga generasi muda.

Daripada sekadar mendengar kisah tentang Pop Yeh-Yeh, anak muda kini berpeluang melihat sendiri bagaimana karakter, gaya dan semangat genre itu diterjemahkan di pentas.
Tidak lengkap sebuah pesta muzik tanpa pencarian bintang baharu. Justeru, Pertandingan Idola Pop Yeh-Yeh 2026 turut menjadi antara acara utama Retro Bangkit dalam usaha mencari bakat yang mampu menghidupkan kembali roh muzik berkenaan.
Lebih menarik, penyertaan dibuka secara percuma, sekali gus memberi peluang kepada sesiapa yang mempunyai bakat dan minat untuk mencuba nasib.
Peserta bukan sekadar dinilai berdasarkan kemampuan vokal, sebaliknya diberi ruang menampilkan gaya, karakter dan interpretasi tersendiri terhadap muzik Pop Yeh-Yeh tanpa menghilangkan identiti asas genre itu.
Ganjaran juga disediakan apabila Johan menerima RM1,000, Naib Johan RM500 dan Tempat Ketiga RM300, selain lima peserta bakal membawa pulang hadiah saguhati RM100 setiap seorang. Pendaftaran peserta bermula jam 2 petang, diikuti sesi saringan dari jam 3 hingga 5 petang.
Lima peserta terbaik kemudiannya akan mara ke Pusingan Akhir Top 5 Idola Pop Yeh-Yeh 2026 pada jam 5.30 petang. Bagi yang berminat, pendaftaran dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi WhatsApp di +60 14-641 4295.
Pop Yeh-Yeh mungkin lahir daripada sebuah zaman yang sudah berlalu, tetapi pengaruhnya masih mempunyai ruang untuk diraikan. Lebih penting, warisan muzik tidak akan terus hidup hanya kerana ia pernah popular.
Ia perlu dimainkan, dipersembahkan, diceritakan dan diperkenalkan semula kepada generasi yang tidak pernah melalui zaman kegemilangannya. Atas semangat itu, Retro Bangkit tampil sebagai jambatan yang menghubungkan kenangan generasi lama dengan rasa ingin tahu generasi baharu.
Jadi, bagi yang pernah membesar dengan irama Pop Yeh-Yeh, inilah kesempatan untuk kembali menyelami nostalgia. Bagi generasi muda pula, inilah peluang mengenali sebuah era yang pernah menggegarkan dunia hiburan tempatan dengan cara tersendiri.
