Ezad Lazim Tak Pernah Jemu Berkarya

EZ Records Turut Memperkenalkan Dua Artis Baharu Dalam Usaha Memperluas Empayar Muzik Milik Ezad Lazim
Kredit Foto: Papadin
Selepas lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam industri hiburan tanah air, penyanyi, komposer dan pelakon Ezad Lazim membuktikan perjalanan seninya masih jauh daripada noktah.
Tidak sekadar kekal menyanyi, Ezad kini terus melangkah ke fasa baharu dengan menghasilkan karya sendiri selain membuka ruang kepada bakat baharu menerusi syarikat rakamannya, EZ Records.
Terbaharu, Ezad, 47, tampil dengan single Rasa Cinta, sebuah karya bergenre balada yang cukup dekat dengan jiwanya dan menjadi taruhan sulung di bawah label serta studio rakaman miliknya yang ditubuhkan tahun ini.
Lebih istimewa, Rasa Cinta turut memperlihatkan sisi peribadi Ezad apabila lagu berkenaan dicipta sepenuhnya olehnya, manakala liriknya ditulis isterinya, Zeana Ramli. Ia menjadi karya pertama yang dihasilkan bersama pasangan suami isteri itu.
Menurut Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim, penghasilan Rasa Cinta bermula secara spontan ketika dia berada di studio miliknya.

“Ketika itu, saya bermain gitar dan melodi lagu ini hadir secara spontan,” katanya ketika sidang media di Tamu Hotel Kuala Lumpur pada 10 September lalu.
Namun, Rasa Cinta bukan sekadar lagu mengenai hubungan romantik antara pasangan. Sebaliknya, Ezad mahu pendengar memberi tafsiran lebih luas terhadap karya berkenaan yang membawa tema kasih sayang dan kecintaan dalam kehidupan.
“Rasa Cinta mengangkat tema kasih sayang yang bersifat universal. Ia bukan sahaja menggambarkan cinta antara pasangan suami isteri, malah boleh dihayati sebagai luahan cinta dan pengabdian kepada Allah SWT serta kecintaan kepada Rasulullah SAW,” katanya.
Single berdurasi 4 minit 57 saat itu dilancarkan secara rasmi pada 14 Ogos lalu, diterbitkan EZ Records dan diedarkan Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd.
Malah, karya berkenaan mula mendapat perhatian apabila tersenarai dalam carta muzik Cats FM, sekali gus memberi petanda positif terhadap penerimaan pendengar.
Bagi Ezad, kemunculan Rasa Cinta bukan semata-mata usaha untuk menghasilkan lagu baharu, sebaliknya menjadi bukti bahawa minat dan kecintaannya terhadap muzik masih belum pudar walaupun sudah lebih tiga dekad berada dalam industri.
Daripada zaman bersama kumpulan Exists sehingga meneruskan perjalanan sebagai penyanyi solo, Ezad terus melalui pelbagai fasa dalam kerjaya seninya. Kini, dia bukan sahaja mahu terus berkarya untuk dirinya, malah mula berkongsi pengalaman yang dikumpul sepanjang perjalanan itu dengan bakat generasi baharu.
Perkara itu dizahirkan menerusi EZ Records yang turut memperkenalkan dua artis baharu di bawah naungannya iaitu Adree dan Tika Nasir.

Kedua-dua artis berkenaan juga sudah selesai menjalani proses rakaman lagu di studio milik Ezad dan dijangka tampil dengan karya masing-masing dalam masa terdekat.
“Saya berharap EZ Records dapat menjadi ruang untuk melahirkan lebih ramai artis baharu dan memberi peluang kepada mereka menghasilkan karya masing-masing,” katanya.
Menariknya, Ezad turut memastikan penerbitan karya di bawah syarikatnya bergerak dengan kemampuan tenaga kerja sendiri apabila muzik video Rasa Cinta dikendalikan sepenuhnya oleh EZ Records, termasuk proses penggambaran, suntingan dan pascaproduksi.
Muzik video itu kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi EZ Records.
Langkah Ezad itu memperlihatkan dirinya kini bukan lagi sekadar seorang penyanyi dan komposer, tetapi turut mengambil peranan sebagai penerbit serta penggerak kepada bakat baharu.

Selepas lebih 30 tahun dalam industri, pengalaman yang dimiliki seolah-olah menjadi modal untuk Ezad membina sesuatu yang lebih besar daripada sekadar kerjaya peribadi.
Rasa Cinta mungkin hanya sebuah lagu, tetapi kemunculannya membawa makna lebih besar buat Ezad, sekaligus membuktikan bahawa kecintaan terhadap muzik masih kuat, kreativiti masih mengalir dan keinginan untuk berkarya belum pernah mengenal erti jemu.
Dalam usia 47 tahun, Ezad membuktikan bahawa selagi ada rasa, selagi ada cerita dan selagi muzik masih berdenyut, perjalanan seorang anak seni tidak semestinya berakhir di pentas. Sebaliknya, mungkin baru memasuki babak yang lebih bermakna.
