Gig Kecil Makin ‘Nak Mati’, From Pop To Metal Enggan Mengalah

Selepas Tiga Persinggahan Di Semenanjung, FROM POP TO METAL VOL. 9 Bawa ‘Perang’ Muzik Ke Sabah Dan Sarawak
Ketika gig berskala kecil berdepan cabaran untuk terus bertahan dalam suasana acara muzik yang semakin rancak, FROM POP TO METAL VOL. 9 MALAYSIA TOUR memilih untuk tidak mengalah.
Sebaliknya, selepas tiga persinggahan di Semenanjung Malaysia, jelajah berkenaan kini melangkah lebih jauh apabila membawa ‘perang’ muzik pelbagai genre ke Sabah dan Sarawak.
Daripada pop, alternatif, rock, punk dan hardcore sehinggalah metal, semuanya diberi ruang di bawah satu pentas tanpa mengira latar atau kelompok peminat.
Bukan mahu mencari siapa paling hebat, sebaliknya FROM POP TO METAL cuba membuktikan bahawa komuniti muzik tempatan tidak perlu terpecah hanya kerana berbeza genre.
Dianjurkan sempena INSIDER 15th Anniversary Edition, tour berkenaan mendapat sokongan Kementerian Komunikasi Malaysia melalui MyCreative Ventures.
Perjalanannya bermula di Ipoh pada 25 Julai lalu, diikuti Kuala Lumpur pada 8 Ogos dan Johor Bahru pada 5 September. Walaupun berdepan persaingan dengan pelbagai gig serta acara muzik lain, ketiga-tiga persinggahan itu berjaya dilaksanakan dengan lancar.
Malah, setiap lokasi menghimpunkan kira-kira 100 penggiat seni, pemuzik dan individu daripada komuniti muzik termasuk band yang membuat persembahan serta mereka yang hadir memberi sokongan.



Jumlah itu bukan sekadar angka penonton, sebaliknya menggambarkan keseluruhan komuniti yang turun padang untuk memastikan setiap edisi terus bernyawa.
Apa yang membezakan FROM POP TO METAL ialah keberaniannya mencampurkan genre yang lazimnya mempunyai kelompok peminat tersendiri. Dalam dunia gig kecil, bukan sesuatu yang pelik jika peminat hanya mengejar muzik yang mereka biasa dengar.
Namun, platform ini cuba memecahkan tembok itu. Bayangkan peminat pop berada dalam ruang yang sama dengan peminat punk, hardcore atau metal. Band yang sebelum ini mungkin tidak pernah bertemu akhirnya berkongsi pentas, bertukar pandangan dan mengenali komuniti masing-masing.



Bagi pemuzik, ia membuka peluang memperkenalkan karya kepada kelompok pendengar baharu. Bagi penonton pula, ia menjadi ruang untuk menemukan muzik yang mungkin sebelum ini langsung tidak pernah masuk dalam senarai pilihan mereka. Itulah antara kekuatan konsep FROM POP TO METAL.
Perbezaan genre tidak dijadikan alasan untuk bermusuh, sebaliknya menjadi titik pertemuan. Realitinya, gig berskala kecil bukan mudah untuk dipertahankan. Ketika kalendar acara muzik semakin padat, penonton mempunyai terlalu banyak pilihan untuk dibuat.
Persaingan antara acara, perubahan corak kehadiran dan pelbagai faktor lain turut memberi kesan kepada penganjuran gig kecil. Tetapi di sinilah pentingnya platform seperti FROM POP TO METAL.
Band baharu tidak boleh terus melompat ke pentas besar tanpa pengalaman. Mereka memerlukan ruang untuk belajar mengawal pentas, berdepan penonton, memperkenalkan karya dan membina jaringan dalam komuniti muzik.
Jika pentas kecil semakin hilang, siapa yang akan melahirkan pelapis baharu? Persoalan itu menjadi antara sebab mengapa usaha meneruskan gig berskala kecil tidak seharusnya dipandang sebelah mata.
Ia mungkin bukan acara dengan ribuan penonton atau produksi mega, tetapi daripada pentas kecil inilah ramai pemuzik membina langkah pertama.
Selepas Ipoh, Kuala Lumpur dan Johor Bahru, FROM POP TO METAL VOL. 9 kini membuka babak baharu. Buat pertama kali, platform itu dibawa ke Malaysia Timur dengan Kota Kinabalu, Sabah menjadi destinasi seterusnya.
FROM POP TO METAL VOL. 9 akan berlangsung di Live at Muszilla, Kota Kinabalu pada 19 September ini, sebelum perjalanan diteruskan ke Appleseeds Studio, Kuching, Sarawak pada 3 Oktober depan.

Dua persinggahan itu bukan sekadar menambah lokasi dalam senarai jelajah. Sebaliknya, ia menjadi usaha menghubungkan komuniti muzik dari Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.
Jika tiga persinggahan awal sudah membuktikan muzik pelbagai genre mampu duduk sebumbung, dua destinasi terakhir ini bakal menguji sejauh mana konsep berkenaan mampu merapatkan komuniti muzik merentasi Laut China Selatan.
Apa yang diperlukan hanyalah satu perkara iaitu kesediaan untuk datang, mendengar dan memberi sokongan. Kerana pada akhirnya, muzik tidak mengenal sempadan genre. Selagi masih ada pemuzik yang mahu bermain, band yang mahu berkarya serta komuniti yang mahu menyokong, gig kecil belum boleh dianggap mati.
