Lagu Kaka Hampir Berkubur, Yonnyboii Tak Sanggup ‘Lepaskan’

Hampir sahaja lagu yang dicipta khusus untuk Kaka Azraff itu berkubur tanpa sempat menemui pendengar. Namun, Yonnyboii enggan membiarkan karya yang dianggap mempunyai potensi besar itu berakhir begitu sahaja.
Daripada sekadar menjadi lagu yang tersimpan, Lepaskan akhirnya diberi nafas baharu apabila Yonnyboii dan Kaka bergabung sebagai pasangan duet menerusi single terbaharu yang sarat dengan emosi itu. Menariknya, karya berkenaan pada asalnya langsung tidak dirancang sebagai lagu duet.
Sebaliknya, Lepaskan tercipta ketika Yonnyboii dan Kaka berada di studio bagi menghasilkan album MPT milik Kaka yang dilancarkan Februari lalu.
Namun, proses penghasilan lagu itu terhenti apabila mereka merasakan ia agak mencabar untuk dibawakan Kaka secara solo, terutama dari segi stamina serta tuntutan vokal ketika membuat persembahan secara langsung.
Bagi Kaka, lagu itu tercipta secara spontan tanpa mereka hadir dengan konsep yang terlalu rigid.
“Lepaskan sebenarnya terjadi secara spontan. Masa itu Kaka di studio Yonny dan kami memang tak datang dengan satu konsep yang terlalu rigid. Bila mula berbual dan masuk dalam proses menulis, melodi dan lirik itu macam keluar sendiri,” katanya.
Lebih menarik, tajuk Lepaskan turut menggambarkan emosi yang dirasakan Kaka sepanjang proses menghasilkan lagu itu. Ia berkisar mengenai keberanian untuk melepaskan sakit, beban, dendam serta perkara yang terlalu lama dipendam dalam hati.
Walaupun pada asalnya dirancang untuk dimuatkan dalam MPT, lagu berkenaan tidak sempat disiapkan dalam tempoh ditetapkan. Namun, Yonnyboii melihat sesuatu yang lebih besar pada karya itu.
Dia enggan membiarkan Lepaskan sekadar menjadi satu lagi lagu yang tidak kesampaian, malah pernah mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk mencari penyanyi lain untuk membawakannya. Akhirnya, dia memilih untuk turut menjadi sebahagian daripada lagu itu.
“Saya rasa lagu ini ada banyak potensi dan saya tak nak ia sekadar jadi satu lagi lagu dalam album. Saya rasa lagu ini layak untuk dikeluarkan sebagai single, jadi saya ambil lagu ini dan buat ia berlaku,” jelas Yonnyboii.
Keputusan itu ternyata mengubah keseluruhan ‘wajah’ Lepaskan. Daripada sebuah karya yang asalnya mahu dibawakan Kaka secara solo, ia berkembang menjadi duet yang menawarkan dua perspektif emosi berbeza.
Bagi Kaka, kehadiran Yonnyboii bukan sekadar melengkapkan bahagian vokal, sebaliknya membantu memberikan ruang untuk emosi lagu itu berkembang.
“Bila lagu ini jadi duet, energinya terus berubah. Kehadiran Yonny bagi satu lagi perspektif kepada lagu ini, bukan sekadar dari segi vokal tapi dari segi emosi.
“Ada bahagian yang bila Kaka nyanyikan seorang diri, terasa sangat berat. Tapi bila Yonny masuk, macam ada ruang untuk Kaka ‘bernafas’ dan membalas emosi yang dia bawa,” katanya.
Dari segi muzik, Lepaskan menampilkan pendekatan pop segar dengan sentuhan inspirasi K-pop, namun masih mengekalkan identiti Melayu.
Yonnyboii dan Kaka turut terbabit sebagai penulis dan komposer, dengan penekanan diberikan kepada melodi serta korus yang catchy selain mesej yang dekat dengan kehidupan pendengar.
Lagu itu diterbitkan oleh Lonlioni.
“Saya rasa bunyi lagu ini agak berbeza daripada lagu-lagu pop yang pernah saya buat sebelum ini, sebab itu saya bangga dengan arah yang kami ambil,” ujar Yonnyboii.
Buat Kaka pula, Lepaskan membuka sisi dirinya yang lebih vulnerable dan raw.
Jika selama ini dia sering dikaitkan dengan persembahan penuh tenaga, lagu itu memberi ruang untuknya tampil lebih jujur mengenai sisi manusia yang pernah penat, terluka dan berasa kalah.
“Ini bukan lagu tentang Kaka nak nampak kuat. Sebaliknya, ia tentang mengakui yang kita pernah penat, pernah terluka, pernah rasa kalah. Tapi dalam keadaan itu pun kita masih cuba untuk berdiri,” katanya.

Yonnyboii turut mengaitkan mesej lagu itu dengan perjalanan dirinya sendiri, khususnya usaha meninggalkan kesilapan lalu dan bergerak ke hadapan.
“Untuk saya, Lepaskan lebih kepada cuba mengatasi masa lalu dan kesilapan yang pernah saya buat. Ia tentang bergerak ke hadapan, kekal berada dalam masa sekarang dan sentiasa melihat ke arah masa depan,” katanya.
Justeru, kedua-dua penyanyi berharap lagu itu dapat menjadi teman kepada pendengar yang sedang melalui fasa sukar atau masih menyimpan luka yang belum mampu diluahkan.
Menurut Kaka, proses untuk sembuh tidak semestinya berlaku dalam sekelip mata.
“Kita tak semestinya perlu membawa semua benda yang pernah menyakitkan kita ke masa depan. Ada benda yang kita perlu terima, ada benda yang kita perlu maafkan, dan ada benda yang kita cuma perlu lepaskan.
“Tak semestinya hari ini terus sembuh. Yang penting, bagi diri sendiri ruang untuk sembuh dan terus berdiri, walaupun perlahan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Yonnyboii mendedahkan Lepaskan turut menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju album terbaharunya.
Menurutnya, dua lagi single sudah disiapkan dan bakal dilancarkan dalam masa terdekat. Lebih daripada sekadar menghimpunkan beberapa lagu, Yonnyboii mahu album itu menjadi sebuah pengalaman yang boleh membawa pendengar menyelami satu perjalanan tersendiri.
“Saya nak orang bukan sekadar dengar lagu-lagu ini sebagai single. Saya nak mereka tutup mata dan betul-betul experience album itu.
“Saya nak bawa mereka dalam satu adventure, bayangkan saya bawa anda pergi ke angkasa, ke universe, dan kita berseronok di sana. Itu pengalaman yang saya nak album ini berikan,” katanya.
Lepaskan kini boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman digital.
