August 19, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Reality Club Bawa ‘Roh’ Sedekad Muzik Ke Zepp Kl

Spread the love

Peminat muzik indie Indonesia di Malaysia bakal berdepan satu malam penuh nostalgia apabila Reality Club memilih Kuala Lumpur sebagai antara destinasi penting untuk meraikan sedekad perjalanan muzik mereka.

Kumpulan popular dari Jakarta itu bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada 13 November 2026, menerusi persembahan istimewa yang hanya berlangsung untuk satu malam.

Dianjurkan POST dan Katarsis Live, persembahan berkenaan bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya dirangka khas bagi meraikan ulang tahun ke-10 Reality Club dengan membawakan semula katalog lagu mereka dalam susunan yang berbeza.

Lebih menarik, keempat-empat anggota asal Reality Club bakal tampil bersama untuk menghidupkan kembali perjalanan muzik yang sudah menjadi runut bunyi kepada satu generasi pendengar di Asia Tenggara.

Sepanjang 10 tahun berkarya, Reality Club membuktikan muzik indie tidak semestinya hadir dalam satu acuan apabila mereka berani bereksperimen dengan pelbagai genre, namun pada masa sama kekal mempertahankan kekuatan utama mereka iaitu penceritaan yang dekat dengan realiti kehidupan.

Lagu seperti Is It The Answer? dan Alexandra menjadi antara karya yang mengukuhkan kedudukan mereka, selain terus dekat dengan peminat yang membesar bersama muzik kumpulan terbabit.  Namun, perjalanan Reality Club tidak berhenti pada populariti lagu.

Album studio ketiga mereka, Reality Club Presents…, memperlihatkan perkembangan besar dari segi muzik dan penceritaan apabila kumpulan itu memperluaskan warna bunyi dengan memberikan identiti serta karakter tersendiri kepada setiap lagu.

Eksperimentasi berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila album itu memenangi kategori Best Alternative Album di Anugerah Musik Indonesia.

Tidak cukup dengan itu, Love Epiphany turut mengangkat trofi bagi kategori Best Alternative Duo/Group/Collaboration.

Menerusi album keempat, Who Knows Where Life Will Take You?, Reality Club pula memperlihatkan sisi lebih matang dalam penulisan lagu, dengan karya yang lebih berani, peribadi dan menyentuh emosi.

Apa yang membuatkan persembahan di Kuala Lumpur ini lebih istimewa ialah konsepnya yang dibina khusus untuk meraikan satu dekad perjalanan Reality Club.

Ini bermakna peminat bukan sekadar datang untuk mendengar lagu-lagu popular, tetapi bakal dibawa menyelusuri perjalanan kumpulan berkenaan menerusi katalog muzik yang disusun semula untuk menghasilkan pengalaman persembahan yang berbeza.

Tahun lalu juga menjadi titik penting apabila Reality Club berjaya menjayakan persembahan ulang tahun yang habis terjual di Jakarta pada Jun, sebelum mereka menandatangani kontrak bersama Suneater, label muzik Indonesia yang menaungi beberapa nama besar dalam dunia muzik bebas negara itu.

Bagi peminat yang sudah lama mengikuti perjalanan Reality Club, persembahan ini pastinya menjadi peluang untuk melihat bagaimana empat anak muda dari Jakarta yang bermula dengan muzik indie berkembang menjadi antara kumpulan kontemporari Indonesia paling berpengaruh di rantau ini.

Dengan katalog lagu yang membicarakan cinta, kehilangan, kerinduan, hubungan dan proses membesar, setiap lagu dijangka hadir dengan kenangan tersendiri buat peminat.

Justeru, 13 November ini bukan sekadar malam untuk menonton konsert, tetapi malam untuk mengimbau kembali 10 tahun perjalanan bersama Reality Club. Reality Club Live akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Jumaat, 13 November 2026, bermula jam 8 malam.

Pra-jualan tiket dibuka pada 31 Ogos 2026, manakala jualan umum bermula 2 September 2026 menerusi Ticketmelon.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page