Maomao ‘Turun’ Ke Singapura

Pameran rasmi The Apothecary Diaries bakal himpunkan lebih 250 koleksi eksklusif, set ikonik dan pengalaman imersif buat peminat anime.
Jika selama ini dunia The Apothecary Diaries hanya dapat dinikmati menerusi skrin televisyen, kini peminat berpeluang ‘melangkah’ sendiri ke dalam empayar yang menjadi latar kisah Maomao apabila pameran rasmi anime sensasi itu dibuka di Singapura bermula 30 September hingga 1 November depan.
Selepas mencipta fenomena di Jepun, Hong Kong, Malaysia, Taiwan dan Korea Selatan, The Apothecary Diaries Exhibition akhirnya singgah di Fever Exhibition Hall, sekali gus dijangka menjadi tumpuan ribuan peminat anime dari seluruh rantau Asia Tenggara.
Kehadiran pameran itu cukup bertepatan apabila populariti siri berkenaan terus melonjak selepas novel asalnya mencatat jualan melebihi 45 juta naskhah, selain peminat kini tidak sabar menantikan tayangan Musim Ketiga pada Oktober dan filem layar lebarnya yang dijadual menemui penonton pada Disember ini.

Lebih daripada sekadar pameran, pengunjung bakal dibawa menyelami kehidupan di dalam istana empayar menerusi pengalaman interaktif yang menghidupkan semula babak-babak paling diingati dalam musim pertama anime tersebut.
Antara tarikan utama ialah reproduksi Inner Palace dan Pleasure District yang dibina dengan teliti menggunakan set tiga dimensi serta paparan visual, sekali gus membuatkan pengunjung seolah-olah berada di lokasi sebenar bersama Maomao dan Jinshi.
Peminat juga berpeluang melihat lebih 250 bahan produksi eksklusif, termasuk lakaran asal, storyboard, rekaan watak dan pelbagai bahan kreatif yang sebelum ini hanya dapat dilihat oleh pasukan pembikinan anime itu.

Ruang Medical Office, lokasi yang cukup sinonim dengan Maomao, turut dibina semula bagi memperlihatkan minat mendalam watak itu terhadap herba, ubatan dan farmakologi yang menjadi kekuatannya dalam menyelesaikan pelbagai misteri di istana.
Tidak ketinggalan, pengunjung boleh menguji deria pemerhatian mereka menerusi zon penyiasatan yang mengajak mereka mengikuti proses Maomao merungkai setiap petunjuk sehingga membongkar rahsia yang tersembunyi di sebalik dinding istana.
Satu lagi ruang yang dijangka mencuri perhatian ialah babak permainan Go antara Lakan dan Fengxian, yang mengangkat kisah cinta penuh emosi tanpa banyak dialog, namun sarat dengan makna dan pengorbanan.
Bagi melengkapkan pengalaman, kostum elegan Maomao dan Jinshi bersama empat aksesori eksklusif dari pameran Jepun turut dipamerkan, membolehkan peminat melihat sendiri kehalusan rekaan yang menjadikan kedua-dua watak itu begitu ikonik.

Tiket mula dijual pada 12 Ogos, jam 12 tengah hari, menerusi laman web rasmi www.theapothecarydiariessg.com.
Harga tiket bermula daripada SGD28 bagi dewasa dan SGD25 untuk kanak-kanak pada hari biasa, manakala pakej VIP berharga sehingga SGD65 didatangkan bersama tiket masuk, dua penanda buku logam edisi terhad serta baucar pembelian barangan eksklusif bernilai SGD10.
Sebagai ganjaran kepada peminat terawal, mereka yang mendapatkan tiket sebelum 30 Ogos turut menerima kad watak lutsinar edisi terhad secara rawak, selagi stok masih ada.
