August 6, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Björn Again Janji Malam Penuh Nostalgia di Kuala Lumpur

Spread the love

Selepas lebih sedekad, tribute band paling terkenal di dunia mahu satukan tiga generasi peminat ABBA dalam sebuah konsert yang dipenuhi muzik, kenangan dan kegembiraan.

Kerinduan peminat terhadap lagu-lagu malar segar ABBA akhirnya bakal terubat apabila kumpulan tribute paling terkenal di dunia, Björn Again, kembali menggegarkan Malaysia menerusi Björn Again – The ABBA Forever Tour 2026 di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Ogos ini.

Kepulangan mereka selepas lebih sedekad bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perayaan muzik yang menghubungkan kenangan lama dengan generasi baharu.

Bagi anggota Björn Again, Malaysia bukanlah destinasi asing. Malah, kenangan menerima sambutan hangat daripada peminat tempatan lebih sedekad lalu masih terpahat kukuh dalam ingatan mereka.

“Kami sangat gembira dapat kembali ke Kuala Lumpur. Sudah terlalu lama kami tidak ke sana. Kami masih mengingati bagaimana penonton Malaysia menyambut kami dengan penuh semangat.

“Kali ini kami datang dengan persembahan yang lebih besar, lebih meriah dan tentunya lebih banyak kejutan,” kata Benny Anderwear pada sidang media secara maya baru-baru ini.

Menurut Benny, apa yang paling mengujakan bukan sekadar melihat peminat setia menyanyikan setiap lagu, tetapi menyaksikan bagaimana persembahan Björn Again berjaya mencipta peminat baharu.

“Ramai datang dengan berkata mereka bukan peminat ABBA. Namun apabila konsert berakhir, mereka pulang sebagai peminat tegar. Kami sudah menyaksikan perkara itu berlaku di seluruh dunia dan ia sentiasa memberi kepuasan kepada kami.”

Bagi Benny, kejayaan muzik ABBA bukan hanya diukur melalui jumlah album yang terjual atau kedudukan di carta lagu, tetapi kerana karya mereka mampu merapatkan hubungan antara generasi.

“Perkara yang paling saya hargai ialah apabila melihat tiga generasi daripada keluarga yang sama berada dalam satu dewan.

“Ada yang membesar dengan lagu ABBA sejak era 1970-an, ada yang mengenali muzik mereka menerusi filem serta muzikal Mamma Mia!, kemudian mereka pula membawa anak-anak dan cucu menikmati pengalaman yang sama.

“Bayangkan lagu yang dicipta lebih 50 tahun lalu masih mampu membuatkan orang ramai menyanyi bersama. Itu sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Rakan seperjuangannya, Agnetha Falstart, pula mengakui antara sebab utama mereka begitu teruja kembali ke Malaysia adalah kerana sikap peminat tempatan yang sentiasa memberi tenaga luar biasa sepanjang persembahan.

“Saya sukakan rakyat Malaysia. Mereka sentiasa ceria dan penuh kegembiraan.  Saat paling indah ialah apabila intro lagu dimainkan, kemudian seluruh dewan terus bersorak dan menyanyi bersama. Melihat wajah penonton yang tersenyum dan menikmati setiap detik persembahan adalah ganjaran terbesar buat kami.”

Menurut Agnetha, walaupun Björn Again sudah menjelajah dunia selama 37 tahun, setiap persembahan masih terasa istimewa kerana setiap negara mempunyai cara tersendiri menghargai muzik ABBA.

Malaysia, katanya, sentiasa berada dalam senarai destinasi yang ingin mereka kunjungi semula.

“Kami memulakan jelajah Asia di Singapura sebelum ke Manila, Cebu dan Hong Kong. Tetapi kami memang tidak sabar untuk kembali ke Kuala Lumpur kerana kami tahu penonton di sini suka menyanyi, menari dan menikmati setiap saat persembahan.”

Bukan sekadar mempertaruhkan lagu-lagu popular, Björn Again turut menjanjikan beberapa karya yang jarang dipersembahkan bagi memberi pengalaman berbeza kepada peminat setia.

Persembahan selama kira-kira dua jam setengah itu turut diperkayakan dengan kostum ikonik era disko, susunan muzik yang lebih segar, visual multimedia, tata cahaya moden serta pelbagai elemen interaktif yang menjadi identiti mereka sejak lebih tiga dekad lalu.

“Kami akan membawakan semua lagu yang dinantikan seperti Dancing Queen, Waterloo, Fernando, SOS, Mamma Mia, Gimme! Gimme! Gimme! dan Take A Chance On Me.

“Selain itu, penonton juga boleh menjangkakan beberapa kejutan, jenaka spontan serta interaksi yang akan menjadikan mereka sebahagian daripada persembahan, bukan sekadar penonton.”

Bagi menghidupkan lagi suasana nostalgia, Björn Again turut menggalakkan peminat hadir mengenakan busana bertemakan era 1970-an bagi menjadikan malam tersebut benar-benar seperti kembali ke zaman kegemilangan muzik disko.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn Bhd, Shirazdeen Karim, berkata membawa Björn Again kembali ke Malaysia merupakan impian yang akhirnya menjadi kenyataan selepas hampir enam bulan membuat persiapan.

Katanya, kejayaan sesebuah konsert tidak diukur melalui jualan tiket semata-mata, sebaliknya melalui kenangan yang dibawa pulang oleh setiap penonton.

“Sudah tentu penganjuran konsert mempunyai sasaran komersial, tetapi bagi kami, kepuasan sebenar ialah apabila melihat penonton meninggalkan dewan dengan senyuman dan berkata mereka baru sahaja melalui antara malam paling indah dalam hidup.

“Jarang kita dapat melihat sebuah konsert yang mampu menghimpunkan datuk dan nenek, ibu bapa serta anak-anak menyanyi lagu yang sama. Itulah keajaiban muzik ABBA dan sebab utama kami mahu membawakan Björn Again ke Malaysia sekali lagi.”

Tiket bagi konsert Björn Again – The ABBA Forever Tour kini mula dijual di www.ticket2u.com bermula 28 Julai lalu dengan senarai harga berikut; RM600 (VIP), RM498 (Diamond), RM398 (Platinum), RM298 (Gold) dan RM228 (Silver).


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page