Atilia Akhirnya Keluar Dari ‘Kepompong’

Konsert Solo Pertama Jadi Pentas Bukti Identiti Sendiri, Tampil Lebih 40 Lagu Dengan Susunan Baharu Serta Kolaborasi Istimewa Sore Ze Band
Selepas lebih dua dekad membina nama dalam industri, Atilia Haron akhirnya berani melangkah keluar daripada bayang legenda ibunya menerusi konsert solo pertama yang menjadi simbol kelahiran semula seorang pengkarya. Namun, ada satu perkara yang selama ini tidak pernah cuba disembunyikan Atilia Haron. Dia amat berbangga menjadi anak kepada legenda muzik tanah air, Salamiah Hassan.
Namun, di sebalik rasa bangga itu, tersimpan satu impian yang sudah lama dipendam. Impian untuk berdiri di atas pentas yang membawa namanya sendiri, bukan lagi sekadar dikenali sebagai anak kepada seorang ikon.
Impian itulah yang akhirnya bakal menjadi kenyataan menerusi ATILIA HARON In Concert, konsert solo pertama yang akan berlangsung di Robert’s Theatre, The Campus Ampang pada 19 September depan.
Bagi penyanyi berusia 51 tahun itu, konsert berdurasi 90 minit itu bukan sekadar sebuah persembahan muzik. Ia adalah sebuah perjalanan mencari diri, sebuah pengakuan bahawa selepas lebih dua dekad berkarya, sudah tiba masanya dia memperkenalkan identiti seninya yang sebenar.
Buat pertama kali, seluruh malam itu akan dipenuhi dengan kisah, suara dan emosi miliknya.
“Saya nak buat di atas nama saya sendiri. Saya tidak mengatakan ia sesuatu yang buruk untuk sentiasa berada di bawah nama Salamiah Hassan. Saya sangat bangga menjadi anak perempuan Salamiah Hassan, tetapi kadang-kadang saya ada keinginan untuk buat sendiri. Semua orang pun macam itu,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui pada sidang media pengumuman konsert itu di The Campus, Ampang pada 23 Julai lalu.
Pengakuan itu mungkin kedengaran ringkas, namun cukup menggambarkan perjalanan panjang seorang anak seni yang selama ini sering dikaitkan dengan nama besar ibunya.
Hakikatnya, Atilia bukanlah nama baharu dalam industri muzik. Dia sudah lama membina reputasi sebagai penyanyi yang memiliki identiti tersendiri menerusi karya seperti Kekanda Adinda, selain dikenali dengan karakter vokalnya yang lembut, penuh emosi dan jauh daripada arus komersial.
Namun, setiap kali namanya disebut, bayangan Salamiah Hassan hampir tidak pernah terpisah. Kini, Atilia memilih untuk tidak lagi melihat perkara itu sebagai satu beban, sebaliknya sebagai satu legasi yang perlu dihormati sebelum dia melakar sejarahnya sendiri.

Lebih menarik, konsert itu bukan sekadar menghimpunkan lagu-lagu popular sepanjang kerjayanya. Sebaliknya, lebih 40 karya daripada katalog muziknya akan diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik eksklusif yang dirancang khusus untuk malam berkenaan.
Di bawah sentuhan pengarah muzik Fly Halizor, setiap lagu akan diolah semula agar lebih segar tanpa menghilangkan roh asalnya.
Atilia mengakui inilah antara perkara yang paling mengujakannya.
“Kejutan ini mungkin dari segi pengaturan muzik kerana saya mempunyai pengaturan muzik yang sangat hebat. Saya juga ada pemuzik-pemuzik yang sangat hebat seperti Steve Thornton dan Dennis Lau. Ramai bakat yang saya rasa sayang kalau kita tidak buat pengaturan lagu yang berbeza,” katanya.
Apa yang cuba dipersembahkan bukanlah sekadar sebuah konsert yang dipenuhi lagu demi lagu. Sebaliknya, ia dibentuk seperti sebuah perjalanan emosi yang membawa penonton menyelusuri pelbagai fasa kehidupan bermula daripada keraguan, kehilangan, harapan, cinta, penghargaan sehinggalah kepada penerimaan diri.
Setiap segmen disusun dengan naratif tersendiri, menjadikan muzik sebagai bahasa yang menghubungkan Atilia dengan para peminatnya.

Salah satu momen yang dijangka paling dinantikan ialah persembahan sulung secara langsung lagu duetnya bersama Raza A’ai berjudul Cerita Arjuna dan Bunga. Lagu yang sebelum ini hanya dapat dinikmati menerusi platform penstriman itu bakal dipersembahkan buat pertama kali di hadapan penonton.
“Sudah tentu kita akan mempersembahkan lagu duet saya yang pertama dengan Raza A’ai. Ia kali pertama bakal dipersembahkan secara langsung, jadi sangat istimewa,” ujarnya.
Tidak cukup dengan itu, Atilia turut membawa satu lagi kejutan apabila menjemput kumpulan muzik terkenal Indonesia, SORE Ze Band sebagai artis jemputan. Pemilihan kumpulan itu bukan dibuat secara kebetulan.
Mereka pernah bekerjasama menerusi lagu Dimanakah Kau Sore Ini?, selain hubungan persahabatan rapat Atilia dengan Allahyarham Ade Paloh yang pernah menjadi tonggak utama kumpulan berkenaan.

Justeru, kehadiran SORE Ze Band bukan sekadar memenuhi slot artis jemputan, malah menjadi simbol penghormatan terhadap sebuah persahabatan yang pernah melahirkan karya bermakna. Atilia turut memberi bayangan beberapa lagi artis jemputan bakal diumumkan dalam masa terdekat bagi melengkapkan pengalaman istimewa malam itu.
Konsert ini juga mendapat sokongan penuh Persatuan Karyawan Malaysia yang melihat Atilia sebagai antara figura seni yang berjaya mencipta identiti tersendiri tanpa mengorbankan prinsip berkarya.
Presidennya, Datuk Freddie Fernandez, menyifatkan Atilia bukan sahaja berjaya membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi dan penulis lagu, malah turut menyerlah sebagai usahawan yang berjaya.
Hakikatnya, ATILIA HARON In Concert bukan sekadar meraikan perjalanan seni seorang penyanyi. Ia menjadi lambang keberanian seorang wanita untuk melangkah keluar daripada zon selesa, meninggalkan bayang-bayang yang selama ini mengiringinya dan akhirnya berdiri teguh atas nama sendiri.
Mungkin benar, nama Salamiah Hassan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada hidupnya. Namun mulai 19 September nanti, Atilia berharap apabila tirai konsert dilabuhkan, para penonton akan pulang dengan satu kesimpulan yang mudah.

Bahawa Atilia Haron tidak lagi hanya dikenali sebagai anak kepada seorang legenda. Sebaliknya, dia sendiri sudah pun menjadi sebuah nama yang mempunyai cerita, suara dan legasinya yang tersendiri.
Tiket ATILIA HARON In Concert dijual pada harga RM168 hingga RM248 mengikut empat kategori, dengan kategori paling eksklusif menawarkan peluang bertemu Atilia secara lebih dekat menerusi sesi Meet & Greet.
Tiket kini boleh didapati di https://myticket.asia/events/atilia-haron-in-concert/
