July 23, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Tipe-X, Last Child Jadi Pelengkap Latihan Pestapora Malaysia 2026

Spread the love

Ruffedge, Lah Ahmad Dan DJ Disko Santan & Friends Lengkapkan Barisan Festival Muzik Rentas Budaya, Peminat Bakal Dihiburkan Selama 12 Jam Di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil

Kurang sebulan sebelum tirai Latihan Pestapora Malaysia 2026 dibuka, penganjur terus mencetuskan keterujaan apabila mengumumkan barisan artis Fasa 2 yang menyaksikan kemunculan sulung kumpulan popular Indonesia, Last Child di Malaysia, selain membawa kembali kumpulan ska legenda Tipe-X ke pentas tempatan.

Pengumuman itu sekali gus melengkapkan senarai 15 artis yang bakal menjayakan festival muzik rentas budaya anjuran Hitman Solutions dan Boss Creator di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 15 Ogos depan.

Jika sebelum ini nama-nama yang diumumkan sudah cukup mengujakan, kehadiran Last Child dilihat menjadi antara tarikan terbesar festival apabila kumpulan yang terkenal menerusi lagu seperti Diary Depresiku dan Pedih akhirnya bakal mengadakan persembahan pertama mereka di Malaysia.

Tidak kurang hebatnya, Tipe-X yang mempunyai pengikut setia di negara ini dijangka menghidupkan suasana festival menerusi persembahan penuh bertenaga berteraskan irama ska yang menjadi identiti mereka sejak lebih dua dekad lalu.

Festival itu turut mempertemukan semula peminat muzik tempatan dengan Ruffedge dan Lah Ahmad yang pernah mencipta fenomena menerusi deretan lagu hit R&B pada era kegemilangan muzik tempatan. Kehadiran mereka dijangka mengubat kerinduan peminat yang membesar dengan karya-karya malar segar kumpulan terbabit.

Sementara itu, DJ Disko Santan & Friends pula bakal bertanggungjawab memanaskan suasana festival menerusi seleksi muzik yang akan memastikan kemeriahan tidak pernah surut sepanjang acara berlangsung.

Dengan pengumuman Fasa 2 itu, Latihan Pestapora Malaysia 2026 kini tampil sebagai sebuah festival yang bukan sekadar menghimpunkan artis daripada dua negara, malah menjadi simbol penyatuan muzik dan budaya serumpun dalam satu pentas.

Lebih menarik, festival yang berlangsung selama 12 jam itu menjanjikan pengalaman berbeza apabila pengunjung bukan sahaja disajikan dengan persembahan muzik tanpa henti, malah boleh menikmati pelbagai aktiviti sampingan serta pilihan makanan dan minuman sepanjang hari.

Bagi meningkatkan keselesaan pengunjung, setiap pemegang tiket akan menerima sebotol air mineral secara percuma ketika memasuki kawasan festival, selain disediakan stesen isi semula air minuman bagi memastikan mereka kekal bertenaga sepanjang acara.

Pelbagai vendor makanan dan minuman turut mengambil bahagian bagi melengkapkan pengalaman festival yang dijangka dipenuhi ribuan peminat muzik dari Malaysia dan Indonesia.

Dalam pada itu, jualan tiket kini memasuki kategori General Admission (GA) Phase 2 pada harga RM249.

Penganjur turut menawarkan promosi Bundle Pesta yang membolehkan pembelian empat tiket General Admission pada harga Fasa 1 menerima satu tiket percuma, sekali gus memberi penjimatan kepada mereka yang merancang hadir secara berkumpulan.

Bagi peminat yang mahukan pengalaman lebih selesa, tiket kategori tempat duduk masih dijual, namun jumlahnya semakin terhad.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page