July 18, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Khadijah Ibrahim Jadi Pilihan AIGNER

Spread the love

Ikon Seni Lebih Empat Dekad Disifatkan Lambang Keanggunan, Warisan Dan Kecemerlangan Yang Seiring Falsafah Jenama Mewah Jerman

Bukan sekadar memiliki suara emas, malah keanggunan dan kredibiliti Dato’ Khadijah Ibrahim sepanjang lebih empat dekad dalam industri seni tanah air turut membuka perhatian jenama barangan kulit mewah dari Jerman, AIGNER.

Penyanyi yang terkenal dengan imej elegan itu diraikan dalam satu majlis penghargaan pelanggan eksklusif di butik AIGNER, IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini sebagai simbol penghormatan terhadap individu yang mencurahkan seluruh dedikasi dalam bidang masing-masing.

Pemilihan Khadijah bukan dibuat atas dasar populariti semata-mata, sebaliknya kerana perjalanan seninya yang disifatkan menepati falsafah AIGNER yang sejak penubuhannya mengangkat nilai ketukangan, warisan, kesenian dan kualiti yang mampu bertahan merentasi zaman.

Jenama mewah itu melihat Khadijah sebagai figura yang berjaya mengekalkan keaslian dan profesionalisme sepanjang kariernya, sekali gus menjadikan beliau antara ikon seni yang terus relevan sehingga hari ini.

Majlis berkenaan turut memberi peluang kepada pelanggan dan tetamu jemputan bertemu lebih dekat dengan penyanyi legenda itu sambil menyaksikan sendiri koleksi terbaharu AIGNER yang menampilkan gabungan sentuhan moden serta identiti klasik yang menjadi kekuatan jenama berkenaan.

Bagi AIGNER, setiap produk yang dihasilkan bukan sekadar aksesori fesyen, sebaliknya lahir daripada ketelitian artisan yang mengekalkan standard tinggi dalam setiap jahitan dan perincian.

Atas sebab itu, jenama berkenaan percaya nilai sama turut dikongsi oleh tokoh seni seperti Khadijah yang membina nama menerusi disiplin, komitmen dan dedikasi berpanjangan.

Dengan meraikan ikon seperti beliau, AIGNER bukan sahaja mahu menonjolkan keindahan hasil ketukangan kulit premium, malah memberi penghargaan kepada individu yang sepanjang hayatnya menjadi inspirasi melalui kecemerlangan dan legasi yang ditinggalkan.

Diasaskan oleh Etienne Aigner, AIGNER dikenali di seluruh dunia menerusi penghasilan beg kulit dan aksesori mewah berkualiti tinggi. Di bawah sentuhan Pengarah Kreatif, Christian Beck, setiap koleksi baharu dihasilkan dengan keseimbangan antara rekaan kontemporari dan identiti klasik yang menjadi warisan jenama itu.

Selain beg tangan, AIGNER turut menawarkan rangkaian jam tangan, barang kemas, kasut, pakaian kanak-kanak serta produk gaya hidup dan kediaman.

Kini, AIGNER mempunyai 101 butik di 16 negara dan terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama fesyen mewah antarabangsa.

Di Malaysia, jenama itu diuruskan oleh The Melium Group yang sudah lebih tiga dekad menjadi antara peneraju peruncitan fesyen mewah negara dengan mewakili lebih 100 jenama antarabangsa serta mengendalikan butik di lokasi premium termasuk Pavilion Kuala Lumpur, Suria KLCC, The Gardens Mall, IOI City Mall, LaLaport BBCC dan The Exchange TRX.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page