3 Dekad Hijjaz: Rindu Sumayyah Kembali Bergema Di Istana Budaya

Konsert 16 Dan 17 Oktober Tampil Dengan Hampir 30 Lagu Malar Segar, Disusuli Pelancaran Album Baharu ‘Akhir Bersamamu’.
Selepas tiga dekad menjadi antara nama paling berpengaruh dalam dunia nasyid tanah air, Hijjaz bakal mengubati kerinduan peminat menerusi konsert berskala besar Hijjaz 3 Dekad Rindu Sumayyah yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 16 dan 17 Oktober depan.
Konsert anjuran Inteam Records itu bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-30 perjalanan seni kumpulan legenda berkenaan, malah menjadi simbol kebangkitan semula industri nasyid yang kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Mewakili pihak penganjur, anggota Inteam, Muhammad Hazamin Harun memberitahu bahawa keyakinan menganjurkan konsert berkenaan hadir selepas melihat sambutan luar biasa terhadap persembahan artis nasyid, sekali gus membuktikan genre itu masih mempunyai kelompok peminat yang besar.

“Konsert ini bakal menjadi medan mengimbau nostalgia menerusi kira-kira 30 lagu malar segar, selain memperkenalkan beberapa karya baharu daripada album terbaharu Hijjaz.
“Jualan tiket akan dibuka bermula 24 Julai ini dan kami percaya konsert ini sememangnya dinanti-nantikan peminat selepas Hijjaz bertapak selama 30 tahun dalam industri,” ujarnya.
Menurut Hazamin, susunan lagu masih diperhalusi, namun peminat boleh menjangkakan sebuah persembahan sarat emosi yang menggabungkan lagu-lagu ikonik serta karya terkini.
“Konsert ini berkonsepkan nostalgia. Penonton bukan sahaja akan mendengar lagu-lagu popular Hijjaz, malah dapat sama-sama menyanyi sepanjang persembahan.
“Bukan Hijjaz sahaja akan membuat persembahan, malah legasi anak didik mereka seperti Inteam, Mustika dan Ae-man turut akan berkongsi pentas,” tambahnya.

Sementara itu, anggota Hijjaz, Isman Isam mengakui persembahan di pentas berprestij seperti Istana Budaya perlu hadir dengan sesuatu yang istimewa sebagai penghargaan kepada penyokong setia mereka.
“Sesuai dengan konsep Istana Budaya, kami mahu memberikan pengalaman yang bermakna kepada penonton. Kami memiliki 28 album, jadi proses memilih lagu memang sangat mencabar. Sudah tentu hanya karya terbaik akan dipersembahkan,” katanya.

Selain mengumumkan konsert, Hijjaz turut melancarkan album studio terbaharu berjudul Akhir Bersamamu, sekali gus menamatkan penantian peminat terhadap karya baharu mereka.
Album berkenaan kini boleh didengari di semua platform penstriman digital dan memuatkan enam lagu iaitu Salam Maulidur Rasul, Mati Itu Pasti, Inang Cinta Memuji, Akhir Bersama-Mu, Seiring Seganding dan Rufaidah Al-Aslamiyah.
Menurut Hazamin, judul lagu Akhir Bersamamu bukan membawa maksud Hijjaz mahu mengakhiri perjalanan seni mereka, sebaliknya menjadi simbolik hubungan insan dengan Allah SWT.
“Kalau diteliti liriknya, ia membawa maksud bahawa pengakhiran hidup dan segala-galanya kembali kepada Allah. Itulah mesej yang ingin kami sampaikan menerusi karya ini,” katanya.

Kesemua lagu dalam album itu diterbitkan hasil sentuhan anggota Hijjaz sendiri iaitu Isman Hijjaz, Munif Hijjaz, Faizal Hijjaz dan Ariffin Rahim, manakala liriknya turut mendapat sumbangan penulis tersohor seperti Datuk Habsah Hassan, Ahmad Fedtri Yahya, Lukhman S, Atie, Abai Os serta Isman sendiri.
Dengan gabungan konsert berprestij dan pelancaran album baharu, Hijjaz sekali lagi membuktikan perjuangan dakwah menerusi muzik masih terus subur, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara ikon nasyid paling berpengaruh di negara ini.
