XPDC Tawar Tiket Murah Demi Peminat Sabah

Penganjur Kekalkan Harga Serendah RM40 Bagi Memastikan Lebih Ramai Peminat Dapat Menyaksikan XPDC Di Kunak, Namun Tetap Menjanjikan Sistem Audio Bertaraf Konsert Besar.
Bukan semua konsert mampu menawarkan pengalaman bertaraf nasional dengan harga tiket yang mesra poket. Namun itulah pendekatan yang diambil penganjur Konsert XPDC Gegar Borneo 2026 apabila mengekalkan harga tiket serendah RM40 demi memastikan lebih ramai peminat, khususnya di Sabah, dapat menikmati persembahan legenda rock tanah air itu.
Konsert yang bakal berlangsung pada 8 Ogos ini, jam 8 malam di Padang Pekan Daerah Kunak, menyaksikan kumpulan rock legenda XPDC Kita Peng-Yu kembali menggegarkan Sabah selepas menerima sambutan luar biasa ketika beraksi di Tawau tahun lalu.
Lebih menarik, walaupun tiket ditawarkan pada harga mampu milik, penganjur memberi jaminan bahawa aspek produksi tidak akan dikompromi, termasuk penggunaan sistem audio profesional yang setanding dengan konsert-konsert besar di ibu negara.
Wakil penganjur SMH Global, Alan Ahmad, berkata keputusan menawarkan harga tiket rendah dibuat bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menikmati persembahan XPDC tanpa dibebankan dengan kos yang tinggi.

“Ramai yang terkejut apabila melihat harga tiket serendah RM40. Hakikatnya, kami memang mahu konsert ini boleh dinikmati semua lapisan masyarakat. Kami tidak mahu ada peminat yang hanya mampu melihat poster atau video di media sosial kerana harga tiket terlalu mahal.”ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu.
Beliau berkata, walaupun harga tiket dikekalkan pada kadar berpatutan, pihaknya tetap memberi keutamaan terhadap pengalaman penonton.
“Jangan kerana tiket murah, orang fikir kualiti konsert juga murah. Kami memberi jaminan sistem audio yang dibawa ke Kunak adalah bertaraf profesional dan setanding dengan konsert-konsert besar di Kuala Lumpur. Kami mahu setiap dentuman dram, petikan gitar dan vokal XPDC benar-benar dirasai penonton. Itu janji kami kepada peminat.”
Menurut Alan, pemilihan Kunak sebagai lokasi penganjuran juga bukan dilakukan secara kebetulan. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada usaha SMH Global membawa acara hiburan bertaraf nasional ke daerah yang mempunyai potensi besar tetapi sebelum ini kurang diberi perhatian.
“XPDC merupakan nama besar dalam dunia rock Malaysia. Membawa mereka ke Kunak adalah usaha kami menjadikan Sabah sebagai antara destinasi utama penganjuran hiburan berskala besar. Kami percaya masyarakat di sini juga berhak menikmati persembahan berkualiti sama seperti di bandar-bandar besar.”

Konsert yang mendapat sokongan Majlis Daerah Kunak, Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Jabatan Ketua Menteri Sabah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut menjadi sebahagian daripada inisiatif menyokong kempen Visit Malaysia 2026.
Penganjur menjangkakan ribuan peminat dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei akan hadir, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman selain membuka peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan.
Bagi XPDC pula, Sabah sentiasa mempunyai tempat yang cukup istimewa sepanjang lebih tiga dekad perjalanan seni mereka.
Pemain bass kumpulan itu, Azuar Md Tasi, berkata sambutan peminat Sabah tidak pernah luntur, malah sentiasa menjadi pembakar semangat untuk mereka kembali membuat persembahan.

“Sabah sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hati kami. Setiap kali kami membuat persembahan di sini, sambutannya memang cukup luar biasa. Sokongan peminat Sabah tidak pernah berubah sejak dahulu lagi dan itulah yang membuatkan kami sentiasa teruja untuk kembali.”
Menurutnya, XPDC kini sedang melakukan persiapan rapi bagi memastikan persembahan di Kunak menjadi antara yang terbaik pernah dipersembahkan kumpulan itu.
“Kami akan tampil dengan persembahan yang lebih mantap, penuh tenaga dan sarat nostalgia. Lagu-lagu seperti Semangat Yang Hilang, Apa Nak Dikata, Titian Perjalanan, C.I.N.T.A, Hijau Bumi Tuhan dan Selendang Merdeka pasti akan dibawakan bersama beberapa kejutan khas untuk peminat.”
Konsert yang akan dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sabah dan Ekonomi Kreatif negeri Sabah merangkap ADUN N63 Kunak, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu, turut menyediakan tiga pilihan kepada peminat.

Kategori Rock Zone dijual pada harga RM40, Head Banging Zone pula RM50, manakala pakej Head Banging Zone + Meet & Greet boleh dimiliki dengan tambahan RM100 bagi mereka yang ingin bertemu lebih dekat dengan anggota XPDC.
Tiket kini boleh didapati menerusi platform rasmi iLasso Tickets.
Selain persembahan utama, kawasan konsert turut menyediakan ruang kepada usahawan dan peniaga tempatan untuk membuka gerai jualan, sekali gus mewujudkan suasana karnival yang dijangka memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Dengan gabungan harga tiket yang mampu dimiliki, produksi berkualiti tinggi dan aura legenda rock tanah air, Konsert XPDC Gegar Borneo 2026 dilihat bukan sekadar mengubat kerinduan peminat, malah menjadi bukti bahawa pengalaman konsert bertaraf nasional tidak semestinya hadir dengan harga yang mahal.
