July 16, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Art of Speed 2026 Sasar Rekod Baharu, Festival Kustom Terbesar Kembali Mengaum

Spread the love

Festival Budaya Kustom Terbesar Negara Berlangsung Di MAEPS Serdang Pada 1 Dan 2 Ogos Ini, Tampil Dengan Kehadiran Liberty Walk Buat Julung Kali, Enam Pentas Soundcircus Serta Barisan Artis Termasuk Ella X Cokelat, Sheila Majid, Hujan Dan Nadin Amizah.

Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bakal bertukar menjadi syurga peminat automotif, muzik dan budaya kreatif apabila festival budaya kustom terbesar negara, Art of Speed (AOS) Malaysia, kembali berlangsung pada 1 dan 2 Ogos ini.

Memasuki edisi ke-15 penganjurannya, festival bertemakan ‘Summer Festival – Kustom Bergaya’ itu dijangka menghimpunkan puluhan ribu pengunjung dari dalam dan luar negara menerusi gabungan unik dunia automotif, seni, muzik dan gaya hidup di bawah satu bumbung.

Dengan keluasan lebih 452,000 kaki persegi ruang pameran dalaman serta 320 ekar kawasan luar MAEPS, edisi kali ini tampil lebih besar apabila memperkenalkan pelbagai tarikan baharu termasuk kehadiran syarikat talaan bertaraf dunia, Liberty Walk dari Jepun yang membuat penampilan sulung di AOS.

Turut memeriahkan festival ialah nama besar dalam dunia budaya kustom antarabangsa seperti MOONEYES, Hawgholic, Vise Clothing, Hot Wheels Premium dan DicE Magazine bersama komuniti automotif dari Jepun, Amerika Syarikat, Indonesia, Thailand, Taiwan, Singapura, Filipina serta Brunei.

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan pelbagai jentera eksklusif yang jarang dipamerkan kepada umum, termasuk Harley-Davidson Knucklehead 1945 milik Hawgholic dan Harley-Davidson Shovelhead 1966 daripada Vise Clothing, selain koleksi kereta modifikasi dari Thailand dan Taiwan.

Tidak hanya tertumpu kepada dunia automotif, AOS 2026 turut memperluaskan pengaruhnya menerusi SoundCircus Festival yang kali ini muncul dalam skala terbesar sepanjang sejarah penganjurannya.

Festival muzik itu bakal menggunakan enam pentas di seluruh kawasan MAEPS selama dua hari dengan persembahan bermula jam 3 petang hingga tengah malam.

Antara nama yang menghangatkan pentas ialah Ella x Cokelat, Sheila Majid menerusi segmen Jemput Dengar, Nadin Amizah, Hujan sempena sambutan 20 tahun penubuhan kumpulan itu, Disagree, Johnny Pandora, Dannqrack & Eemrun, Tenxi, Hari Slatan serta sambutan 30 Tahun Asian Hardcore.

Berbeza dengan tiket kemasukan festival utama, tiket SoundCircus dijual secara berasingan pada harga RM149 bagi kemasukan umum, RM199 untuk Rockzone dan Pas Satu Hari bermula RM89.

Sementara itu, pertandingan AOS Invitational Build-Off kembali menjadi antara acara paling dinantikan apabila lapan pembina motosikal kustom tempatan berentap menghasilkan jentera terbaik.

Pemenang bukan sahaja membawa pulang hadiah wang tunai, malah bakal menerima penghormatan mempamerkan motosikal ciptaan mereka di Yokohama Hot Rod Custom Show 2026 di Jepun.

Lapan peserta yang terpilih ialah Chaos Custom, Valley Machines, Rocketeer Custom Art, Bad Soul Cycle Custom, Mujo Joros, AR Choppers, Fazben Custom dan Sedarah MC.

Bagi pemilik kereta dan motosikal pula, mereka boleh merakam gambar kenderaan masing-masing di Red Carpet Photo Zone yang tampil dengan pencahayaan sinematik bagi menghasilkan foto bertaraf profesional.

Peminat diecast juga tidak ketinggalan apabila Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) edisi keempat kembali berlangsung di Dewan C.

Tarikan utamanya ialah pelancaran model eksklusif Hot Wheels Nissan Skyline GT-R V·Spec II (BNR34) yang hadir dengan nombor siri unik serta lesen rasmi Nissan, selain dihiasi pelekat Motul dan Yokohama.

Lebih menarik, pengunjung berpeluang bertemu Ronald Wong, Ketua Pereka Produk Hot Wheels Premium yang terkenal menghasilkan pelbagai model ikonik untuk koleksi premium jenama itu.

Sebagai pelengkap, Malaysia Skyline Owners Group (MSOG) turut mempamerkan Nissan Skyline GT-R sebenar sempena pelancaran model eksklusif berkenaan.

Festival itu turut menawarkan pelbagai aktiviti lain seperti Kulture Kartel, Automotive Flea Market, Collectible Alley, pertunjukan fesyen, pertandingan B-Boy dan rap battle, sesi pandu uji motosikal, Flying Fox merentasi kawasan konsert serta promosi filem tempatan Terbang hasil kerjasama Astro Shaw.

Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti Kembara Passport dengan melengkapkan 24 lokasi cop untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM80,000.

Hadiah utama termasuk sebuah motosikal kustom Thunder Motorcycles, Honda HR-V modifikasi khas oleh Qartel TV serta sebuah Vespa S 125.

Pengarah Festival Art of Speed Malaysia, Asep Ahmad Iskandar, berkata ulang tahun ke-15 itu menjadi detik penting dalam merealisasikan impian menjadikan AOS sebagai festival bertaraf antarabangsa yang menggabungkan budaya automotif dan muzik dalam satu pengalaman lengkap.

Menurutnya, kehadiran Liberty Walk buat kali pertama di AOS juga menjadi satu pencapaian bersejarah buat komuniti budaya kustom di rantau ini.

Tiket Art of Speed 2026 kini ditawarkan pada harga promosi Early Bird RM35 bagi Pas Hujung Minggu, manakala harga di pintu masuk ialah RM40. Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun serta pemegang Kad OKU menikmati kemasukan percuma.

Bagi SoundCircus Festival 2026, tiket dijual secara berasingan pada harga General Admission RM149, Rockzone RM199 dan One-Day Pass RM89.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket serta maklumat lanjut mengenai festival di https://artofspeedmy.com


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page