BOYNEXTDOOR Pilih KL Sebagai Penutup Jelajah Dunia, Temui ONEDOOR Disember Ini

Kuala Lumpur menjadi destinasi terakhir jelajah dunia KNOCK ON Vol. 2 pada 2026, peminat bakal disajikan persembahan bertenaga di Unifi Arena
Demam K-pop bakal kembali memuncak hujung tahun ini apabila kumpulan sensasi generasi baharu Korea Selatan, BOYNEXTDOOR, mengesahkan Kuala Lumpur sebagai destinasi terakhir siri jelajah dunia mereka menerusi BOYNEXTDOOR TOUR ‘KNOCK ON Vol. 2’ IN KUALA LUMPUR yang dijadual berlangsung di Unifi Arena pada 26 Disember depan.
Persembahan yang dibawakan oleh iMe Malaysia itu dijangka menjadi penutup penuh gemilang bagi siri jelajah dunia KNOCK ON Vol. 2 selepas kumpulan terbabit menjelajah Seoul, Jepun, Amerika Utara dan beberapa bandar utama di Asia.
Dianggotai enam ahli iaitu SUNGHO, RIWOO, JAEHYUN, TAESAN, LEEHAN dan WOONHAK, BOYNEXTDOOR terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan K-pop paling menyerlah ketika ini sejak membuat penampilan sulung pada 2023.
Pada Mei lalu, kumpulan itu turut meraikan ulang tahun kedua penubuhan mereka, sekali gus menandakan perkembangan pesat yang diraih dalam tempoh singkat.
Menurut SUNGHO, kesemua ahli berazam untuk terus berkembang dan memberikan persembahan terbaik buat peminat yang dikenali sebagai ONEDOOR.
“Kami rasa seperti baru sahaja menyambut ulang tahun pertama, namun kini sudah memasuki tahun kedua. Kami sangat teruja dengan perjalanan ini dan berharap dapat terus menunjukkan perkembangan kami kepada ONEDOOR. Kami juga mahu meraikan setiap detik bersama peminat menerusi lebih banyak kandungan menarik serta persembahan yang lebih hebat,” katanya.
Sebelum ini, BOYNEXTDOOR melancarkan album penuh pertama mereka berjudul HOME, yang menerima sambutan hangat daripada peminat global sekali gus mengukuhkan lagi populariti kumpulan itu.
Konsert di Kuala Lumpur dijangka menampilkan gabungan persembahan bertenaga, koreografi mantap serta produksi pentas bertaraf antarabangsa, selain membawakan lagu-lagu popular seperti The Start, I Love You dan beberapa lagi karya yang menjadi kegemaran peminat.

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi penutup jelajah dunia turut dilihat sebagai pengiktirafan terhadap sokongan luar biasa peminat Malaysia terhadap BOYNEXTDOOR sejak kemunculan mereka dalam industri hiburan Korea.
Konsert itu akan berlangsung pada Sabtu, 26 Disember 2026, jam 5 petang di Unifi Arena.
Tiket dijual pada harga RM898 (VIP Standing & Seated), RM798 (PS1), RM698 (PS2), RM598 (PS3), RM498 (PS4) dan RM398 (PS5).
Jualan pra-tempahan eksklusif untuk ahli ONEDOOR Membership akan berlangsung pada 20 Julai ini, dari jam 12 tengah hari hingga 6 petang menerusi platform Fantopia, manakala jualan umum dibuka mulai 27 Julai, jam 12 tengah hari di platform yang sama.

Dengan reputasi mereka sebagai antara kumpulan K-pop paling pesat berkembang ketika ini, kehadiran BOYNEXTDOOR dijangka menutup kalendar konsert antarabangsa 2026 di Malaysia dengan penuh bergaya, sekali gus menghadiahkan malam yang sukar dilupakan buat seluruh ONEDOOR tempatan.
