HENRY LAU Kembali Gegar KL Selepas Tiga Tahun

Selepas hampir tiga tahun tidak membuat persembahan di Malaysia, bintang serba boleh Korea Selatan, Henry Lau, akhirnya kembali menemui peminat tempatan menerusi konsert solo 2026 “ENJOY THE SHOW” World Tour yang bakal berlangsung di IDEA LIVE Arena pada 3 Oktober depan, jam 7 malam.
Kemunculan itu cukup dinanti-nantikan memandangkan kali terakhir Henry menghiburkan peminat Malaysia adalah ketika menyertai 9Wave Music Festival di Sunway Lagoon pada November 2023. Kali ini, beliau hadir dengan konsert solo berskala penuh yang menjanjikan pengalaman lebih dekat dan eksklusif bersama peminat.
Dikenali sebagai antara penghibur paling versatil dalam industri K-pop, Henry bukan sahaja memiliki vokal mantap, malah menguasai pelbagai instrumen termasuk biola, piano, gitar dan dram. Kebolehannya bertukar daripada seorang penyanyi kepada pemuzik dalam satu persembahan menjadi identiti unik yang sentiasa dinanti-nantikan peminat.
Menerusi jelajah “ENJOY THE SHOW”, Henry menjanjikan sebuah persembahan yang bukan sekadar dipenuhi lagu-lagu popular, malah disulami penceritaan, interaksi bersama peminat serta produksi pentas bertaraf antarabangsa. Setiap segmen persembahan direka bagi membawa penonton menyelami emosi di sebalik setiap karya yang dipersembahkan.
Bagi mereka yang ingin menikmati pengalaman lebih eksklusif, penganjur menyediakan tiga pakej istimewa yang didatangkan bersama pelbagai keistimewaan.

Enjoy Package berharga RM1,298 menawarkan sesi bergambar berkumpulan 1:2 bersama Henry, poster bertandatangan, pakej hadiah eksklusif, kemasukan awal melalui laluan VIP khas serta peluang membeli barangan rasmi lebih awal.
Sementara itu, The Package berharga RM998 membolehkan peminat menyertai sesi bergambar 1:10 bersama artis, selain menerima pakej hadiah eksklusif, poster, akses masuk awal dan peluang membeli merchandise sebelum dibuka kepada orang ramai.
Bagi peminat yang mahukan pengalaman VIP pada harga lebih berpatutan, Show Package bernilai RM798 turut ditawarkan lengkap dengan pakej hadiah eksklusif, poster, akses masuk awal dan keutamaan membeli barangan rasmi. Setiap pakej turut merangkumi satu tiket PS1, beg hadiah eksklusif serta tiga keping photocard koleksi khas.

Jualan prajualan akan dibuka pada 16 Julai bermula 12 tengah hari hingga 3 petang, manakala jualan umum bermula 17 Julai, jam 12 tengah hari menerusi platform Fantopia, BookMyShow, MAISEAT dan Trip.com.
