July 11, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Ipoh Jadi Pembuka Tirai From Pop To Metal Vol. 9, Himpun Tujuh Band Bawah Satu Pentas

Spread the love

The Rudean, The Alif, Synatic, Mirthless, As Our Throne, Inhuman Dan ZAF Bakal Menggegarkan Pentas Pembukaan From Pop To Metal Vol. 9 Di Insider Satellite Ipoh Pada 25 Julai Ini

Selepas lapan edisi berjaya menghimpunkan komuniti muzik alternatif dan independen di seluruh negara, siri jelajah From Pop To Metal Vol. 9 Malaysia Tour kembali dengan lebih besar sempena ulang tahun ke-15 Insider, bermula di Ipoh pada 25 Julai ini.

Showcase pembukaan yang akan berlangsung di Insider Satellite Ipoh itu bukan sekadar menjadi destinasi pertama jelajah lima bandar, malah menjadi pentas memperkenalkan deretan bakat tempatan daripada pelbagai genre kepada peminat muzik.

INHUMAN

Tujuh kumpulan iaitu The Rudean, The Alif, Synatic, Mirthless, As Our Throne, Inhuman dan ZAF bakal menggegarkan pentas bermula jam 5 petang, menjanjikan persembahan bertenaga yang merangkumi elemen pop, alternatif, hardcore dan metal dalam satu acara.

Penganjuran siri jelajah itu diterajui Insider Space bersama Insider Satellite Ipoh dengan sokongan MyCreative Ventures menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi Malaysia.

ZAF

Inisiatif berkenaan dilihat sebagai usaha berterusan memperkukuh pembangunan muzik independen tempatan, selain membuka lebih banyak ruang kepada kumpulan baharu dan sedia ada untuk memperluaskan jaringan peminat.

Memasuki edisi kesembilan, From Pop To Metal terus mengekalkan identitinya sebagai platform yang menyatukan pelbagai aliran muzik dalam satu pentas, sekali gus menjadi medium menghubungkan komuniti muzik dari seluruh negara.

Pemilihan Ipoh sebagai lokasi pembukaan turut memberi pengiktirafan kepada perkembangan aktif komuniti muzik bawah tanah di bandar raya itu yang sejak sekian lama melahirkan ramai pemuzik berbakat.

Bagi peminat muzik yang mahu merasai sendiri pengalaman pembukaan jelajah berkenaan, tiket presale ditawarkan pada harga RM20, manakala tiket door sale berharga RM30 pada hari acara.

Selepas Ipoh, siri jelajah itu akan diteruskan ke Kuala Lumpur (8 Ogos), Johor Bahru (5 September), Kota Kinabalu (19 September) sebelum melabuhkan tirai di Kuching pada 3 Oktober.

Bagaimanapun, tumpuan ketika ini terarah kepada showcase pembukaan di Ipoh yang dijangka menghimpunkan peminat muzik alternatif dan metal dari sekitar Perak serta negeri berhampiran, sekali gus menjadi permulaan kepada siri jelajah yang meraikan kepelbagaian muzik independen Malaysia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page