June 30, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

REVOLUSI RADJA 25 TAHUN DIJADUALKAN SEMULA KE 19 SEPTEMBER 2026, JANJIKAN PENGALAMAN TERBAIK BUAT PEMINAT

Spread the love

Pihak penganjur, DHYAH PRODUCTION bersama INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES, ingin memaklumkan bahawa Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 11 Julai 2026 di Stadium Hoki Bukit Jalil akan dijadualkan semula ke tarikh baharu iaitu 19 September 2026.

Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor semasa, termasuk lambakan acara hiburan dan konsert berskala besar yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh yang sama, selain situasi Pilihan Raya Negeri yang turut berlangsung di negeri Johor  ketika itu.

Sebagai penganjur, DHYAH PRODUCTION dan INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES sentiasa mengutamakan keselesaan serta pengalaman terbaik buat para peminat. Penjadualan semula ini dibuat selepas mengambil kira situasi semasa termasuk pertindihan beberapa acara hiburan berskala besar dalam tempoh yang sama, bagi memastikan perjalanan konsert berlangsung dengan lebih teratur tanpa menjejaskan keselesaan penonton dari segi pergerakan, lalu lintas dan kemudahan parkir.

Wakil penganjur DHYAH PRODUCTION, Mahbub Dermawan  berkata, keputusan ini merupakan langkah terbaik bagi memastikan sambutan ulang tahun ke-25 perjalanan muzik Radja dapat diraikan dalam suasana yang lebih kondusif.

“Setelah meneliti pelbagai aspek, kami percaya tarikh baharu ini memberi ruang yang lebih baik kepada peminat untuk hadir dan menikmati persembahan istimewa daripada Radja.

“Kami amat menghargai kesabaran, kefahaman dan sokongan berterusan daripada semua peminat. Komitmen kami adalah untuk memastikan Revolusi Radja 25 Tahun hadir sebagai sebuah pengalaman konsert yang penuh tenaga, nostalgia dan meninggalkan kenangan yang bermakna,” katanya.

Konsert Revolusi Radja 25 Tahun bakal menyajikan persembahan istimewa dengan himpunan lagu-lagu popular yang telah dekat di hati peminat di Malaysia dan Indonesia sepanjang lebih dua dekad, dalam meraikan perjalanan muzik Radja yang penuh bermakna.

Bagi menambah kemeriahan sambutan 25 tahun perjalanan muzik Radja, konsert ini turut bakal menampilkan beberapa artis undangan istimewa yang akan berkongsi pentas bersama Radja, sekali gus menjadikan malam penuh bersejarah ini lebih eksklusif dan dinantikan oleh para peminat.

Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peminat atas sokongan yang diberikan. Segala tiket yang telah dibeli sebelum ini kekal sah digunakan untuk tarikh baharu pada 19 September 2026.

Pihak penganjur memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap dapat bertemu para peminat pada 19 September 2026 di Stadium Hoki Bukit Jalil untuk bersama-sama meraikan Revolusi Radja 25 Tahun dalam sebuah malam yang lebih meriah, penuh nostalgia dan bermakna.

Tiket berharga RM75 (CAT1 – BBC), RM95 (CAT 2 – Yakin), RM155 (GA – Jujur), RM225 (CAT 3- Patah Hati), Tulus (CAT 4 – RM275), Cinderella (VIP – RM775) dan Super VIP (RM1,200). 

Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket, kategori harga serta barisan penuh persembahan boleh didapati menerusi  di laman sesawang rasmi: https://myticket.asia/


Spread the love

You may have missed

You cannot copy content of this page