‘Biru Mata Hitamku’ Hidup Semula Selepas Tiga Dekad
Konsert Ulang Tahun Album Biru Mata Hitamku Menjadi Pentas Penyatuan Semula Empat Figura Penting Era 1996 Dalam Sebuah Malam Yang Sarat Nostalgia Dan Sejarah.
Ada album yang sekadar menjadi koleksi. Ada juga album yang akhirnya berubah menjadi sejarah namun ianya berbeza dengan album ‘Biru Mata Hitamku’. Ianya kembali ‘bernyawa’ selepas tiga puluh tahun, ia lahir sebagai sebuah album yang membawa nafas dan nyawa apabila empat insan yang mencipta sejarah album itu bakal bersatu semula di atas pentas.
Impian yang sekian lama disimpan peminat akhirnya menjadi kenyataan apabila Mus, JoBranko, Black dan Eddie kembali bergandingan menerusi Konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary yang bakal berlangsung di Mega Star Arena pada 5 September depan.

Lebih daripada sekadar sebuah konsert reunion, persembahan anjuran Icon Entertainment itu menjadi penghormatan terhadap sebuah album yang pernah mengubah landskap perjalanan Wings dan terus hidup dalam ingatan peminat sehingga hari ini.
Ketika diterbitkan pada 1996, Biru Mata Hitamku hadir dalam situasi yang penuh cabaran. Ia menjadi album pertama Wings bersama Mus sebagai vokalis, sekali gus membuka lembaran baharu selepas kumpulan legenda itu melalui fasa perubahan anggota.

Apa yang pada awalnya dianggap sebagai satu pertaruhan akhirnya berubah menjadi sebuah kejayaan. Daripada album itulah lahir karya-karya yang kekal segar merentasi zaman seperti Biru Mata Hitamku, Makam Kekasih, Jika Kau Tahu, Enigma dan Idaman yang sehingga kini masih menjadi lagu wajib di bibir peminat.
Malah lagu Biru Mata Hitamku sendiri berkembang menjadi antara karya paling ikonik dalam katalog Wings, membuktikan bahawa kekuatan sesebuah lagu tidak pernah diukur berdasarkan usia.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, konsert itu diwujudkan bagi mengangkat semula nilai sebuah album yang mungkin tidak selalu berada di barisan hadapan apabila sejarah Wings diperkatakan, namun hakikatnya meninggalkan impak yang cukup besar.

“Wings membuktikan kekuatan sesebuah kumpulan bukan hanya terletak pada individu, tetapi pada karya yang mampu bertahan merentas zaman.
“Walaupun Biru Mata Hitamku sering dianggap sebagai album yang kurang mendapat perhatian berbanding album lain, hakikatnya ia menyimpan deretan lagu berkualiti dan pernah melahirkan lagu yang menjadi finalis Anugerah Juara Lagu.
“Konsert ini diadakan untuk memanjangkan sejarah tersebut serta membuktikan bagaimana Wings bangkit dengan sebuah album yang terus hidup sehingga hari ini,” katanya.
Menurut Iman, penyatuan semula Mus, JoBranko, Black dan Eddie juga bukan sekadar memenuhi impian peminat, sebaliknya menjadi simbol bagaimana sebuah karya mampu menyatukan kembali individu-individu yang pernah menciptanya.
Katanya, peluang menyaksikan empat figura penting era Biru Mata Hitamku berada di atas pentas yang sama mungkin tidak akan berulang dalam masa terdekat.
Bagi JoBranko pula, album berkenaan sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam perjalanan seni Wings kerana menjadi simbol kebangkitan kumpulan itu pada pertengahan 1990-an.

“Biru Mata Hitamku mungkin hanya sebuah album yang dikerjakan Wings bersama Mus, tetapi lagu itu sendiri sudah menjadi antara karya paling ikonik kami. Malah lagu-lagu lain seperti Makam Kekasih, Jika Kau Tahu dan Enigma juga masih menjadi kegemaran peminat.
“Walaupun kami hanya menghasilkan sebuah album bersama Mus, impaknya sangat besar. Sempena usia 30 tahun album ini, kami rasa sudah tiba masanya ia diraikan bersama peminat yang selama ini terus memberikan sokongan.
“Tiada cara yang lebih baik selain bertemu mereka dalam sebuah konsert istimewa,” katanya.
Beliau berkata, persembahan nanti bukan sahaja mengembalikan nostalgia album Biru Mata Hitamku, malah bakal membawa penonton mengimbau keseluruhan perjalanan karya itu menerusi susunan lagu yang dirancang khas berserta beberapa kejutan yang hanya akan disaksikan pada malam konsert.
Bagi menjadikan malam berkenaan lebih bermakna, pihak penganjur turut mengajak seluruh peminat mengenakan pakaian serba hitam sebagai tema rasmi konsert.
“Cukup berpakaian hitam. Biar malam itu menjadi simbol penyatuan semula sebuah era yang cukup bermakna dalam sejarah Wings,” kata Iman.

Tiket Konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary mula dijual pada 3 Julai ini bermula jam 3 petang dengan harga RM258 hingga RM1,500 menerusi lima kategori iaitu Idaman, Jika Kau Tahu, Mr. Barbarik, Enigma dan Grand VIP.
Selepas 30 tahun, Biru Mata Hitamku bukan sekadar kembali bergema menerusi sistem audio sebuah arena konsert. Ia kembali menghidupkan sebuah era, menyatukan semula empat figura yang pernah menciptanya, serta mengembalikan ribuan peminat kepada zaman ketika setiap bait lagu daripada album itu menjadi nadi sebuah generasi rock Malaysia.
