‘Black On White’ Pecah Tradisi, Aura Cromok dan Barbarik
Buktikan Muzik ‘Berat’ Tempatan Masih Berbisa, Lahirkan Karya Baharu, Satukan Dua Generasi Peminat Dalam Malam Yang Sukar Dilupakan
Kredit Foto: Subky Hj Bebit
Konsert Black On White yang menghimpunkan dua ‘jentera’ yang berpaksikan muzik berat tanah air, Cromok dan Barbarik, berlangsung penuh bertenaga di IdeaLive Arena, 3 Damansara, pada 27 Jun lalu dengan persembahan yang menggabungkan karya klasik dan lagu baharu.
Konsert anjuran KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik itu turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures di bawah Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik, Dana Persembahan Muzik, sekali gus mengukuhkan lagi penganjuran acara muzik berskala besar tempatan.
Penonton yang memenuhi ruang arena sedar mereka bukan sekadar hadir menyaksikan sebuah konsert, tetapi menjadi saksi kepada satu bab penting dalam sejarah muzik berat Malaysia.

Malam bersejarah itu dibuka dengan cukup eksklusif menerusi Black Fury, sebuah karya baharu hasil kolaborasi rasmi Cromok bersama gitaris legenda, JoBranko. Lebih istimewa, lagu berkenaan dipersembahkan buat pertama kali kepada khalayak.
Jika sebelum ini peminat hanya membayangkan bagaimana jadinya apabila dua generasi pemuzik ini berkongsi pentas, Black Fury akhirnya menjawab segala persoalan apabila semua anggota Cromok dan Barbarik muncul serentak dalam satu persembahan penuh tenaga yang menggegarkan IdeaLive Arena.
Ia bukan sekadar pembukaan konsert, tetapi simbol penyatuan dua legasi yang selama ini membentuk landskap muzik keras tanah air, malah malam itu juga merupakan malam ‘persenyawaan’ antara Cromers dan Rejim Barbarik.
Usai lagu pembukaan itu, pentas diserahkan sepenuhnya kepada Cromok. Dengan pendekatan fully digitalised silent stage, persembahan mereka tampil begitu kemas dari segi bunyi tanpa menjejaskan intensiti yang menjadi identiti kumpulan itu sejak lebih tiga dekad lalu.

Deretan lagu seperti Prophecy, Stranger, Memories, Another You, Fallen Heroes, I Don’t Belong Here, Misery, Seedling, Wisdom dan Little One terus menghidupkan semula nostalgia para peminat yang membesar bersama ledakan thrash metal era 1990-an.
Setiap petikan gitar Shah dan Karl, diperkukuhkan dengan hentakan ritma yang mantap serta vokal Karl yang masih berbisa, mengundang sorakan tidak putus-putus daripada ribuan peminat.
Kemunculan Wisdom, satu lagi karya baharu Cromok, turut menerima sambutan positif walaupun belum dilancarkan secara rasmi. Namun di sebalik keterujaan itu, masih ada satu penantian yang tidak kesampaian.
Sudah menjadi tradisi dalam hampir setiap persembahan Cromok, para Cromers sentiasa menunggu kemunculan Journey, lagu yang sudah dianggap sebagai “lagu kebangsaan” mereka. Lagu itu lazimnya menjadi detik paling emosional apabila seluruh dewan bergema dengan nyanyian beramai-ramai, bagaimanapun malam itu Journey tidak tersenarai dalam setlist.
Walaupun sedikit mengecewakan sebahagian peminat setia, ketiadaan lagu ikonik tersebut tidak sedikit pun mencacatkan keseluruhan persembahan kerana Cromok memilih memberi ruang kepada dua karya baharu mereka, sekali gus memperlihatkan keberanian untuk terus bergerak ke hadapan tanpa hanya bergantung kepada nostalgia.
Selesai tugas Cromok, pentas diambil alih Barbarik. Jika Cromok membawa aura thrash metal yang agresif, Barbarik pula tampil dengan identiti lebih kontemporari namun masih sarat dengan kekuatan riff dan permainan gitar JoBranko yang sentiasa menjadi nadi kumpulan itu.

Mereka membuka segmen dengan Peluru Cokelat, sebelum meneruskan rentak menerusi Kasmaran Selamanya, Mencari Asal Usul, Nasib Baik, Periok Api, Inspirasi Syakilla, Sakit Bantal Empuk dan Keris Tak Ada Sarong.
Periok Api, yang juga merupakan karya baharu Barbarik, menerima reaksi cukup positif daripada penonton, membuktikan peminat muzik metal tempatan masih dahagakan material baharu daripada kumpulan-kumpulan legenda.
Namun klimaks sebenar konsert hanya tiba apabila semua anggota Cromok kembali ke pentas. Dalam satu segmen dimana kedua-dua kumpulan bergabung semula bagi mempersembahkan tribute kepada kumpulan legenda Kembara.

Medley Hati Emas, Impian Seorang Nelayan, Ekspres Rakyat dan Impian Anak Jalanan diberikan susunan muzik lebih berat tanpa menghilangkan roh asal karya-karya tersebut. Arena yang sebelum itu bergema dengan headbanging bertukar menjadi lautan suara apabila ribuan penonton menyanyikan setiap bait lagu bersama-sama.
Segmen itu membuktikan satu hakikat yang cukup indah namun di sebalik imej garang muzik metal, para pemuziknya tetap membesar dengan karya-karya agung muzik Melayu yang menjadi inspirasi mereka. Konsert kemudian ditutup penuh bergaya menerusi Gerhana dan Golok Kayu, mengakhiri hampir tiga jam persembahan yang padat dengan tenaga serta emosi.
Pada sidang media selepas konsert, anggota kedua-dua kumpulan meluahkan rasa syukur apabila segala perancangan berjalan lancar.
Shah mengakui setiap kali menjelang konsert, tempoh latihan terasa panjang, namun sebaik melangkah ke pentas semuanya berlalu terlalu pantas.
“Apa yang paling saya hargai sebenarnya ialah masa latihan bersama. Bukan selalu kami dapat berkumpul dalam formasi begini,” katanya.
Karl pula menjelaskan pembikinan Wisdom dan Black Fury mengambil masa yang panjang kerana mereka enggan menghasilkan karya secara tergesa-gesa.
“Kami akan mainkan lagu itu berkali-kali, ubah, tambah dan perbaiki sehingga semua ahli benar-benar puas hati. Lagu mesti ada ‘feel’ sebelum dianggap siap,” katanya.
JoBranko turut menegaskan Cromok dan Barbarik tidak mahu terus bergantung kepada lagu lama semata-mata.
“Kami mahu peminat dengar karya baharu. Mereka yang hadir malam ini sebenarnya antara orang pertama mendengar lagu-lagu ini sebelum dilancarkan secara rasmi. Sekarang kita ada platform digital. Kalau radio mainkan lagu kami, itu bonus. Kalau tidak, kami tetap akan terus berkarya mengikut identiti sendiri,” katanya.
Namun sidang media itu turut diselubungi suasana hiba. JoBranko mendedahkan isteri kepada vokalis Barbarik, Muss, kembali kritikal ketika mereka sedang membuat persiapan sebelum konsert bermula.
Demi memastikan Muss dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada persembahan, berita tersebut hanya dimaklumkan sebaik sahaja konsert berakhir.
Tanpa berlengah, Muss terus bergegas ke Hospital Ampang untuk menemani isterinya, Suraya Bahari, yang ketika itu dilaporkan mengalami penurunan paras oksigen pada tahap membimbangkan.
Detik itu memperlihatkan sisi sebenar seorang pemuzik profesional yang tetap menyempurnakan tanggungjawab di atas pentas walaupun hati sedang dibebani kebimbangan terhadap insan tersayang.
Sebelum mengakhiri sidang media, JoBranko turut mengumumkan konsert 30 Tahun Album Biru Mata Hitamku bakal berlangsung pada 5 September 2026 di Mega Star Arena, menghimpunkan JoBranko, Muss, Eddie dan Black dalam apa yang disifatkannya sebagai reunion terakhir formasi dua era tersebut.

Konsert Black On White akhirnya meninggalkan satu mesej yang cukup jelas. Ia bukan sekadar malam menghimpunkan dua kumpulan legenda. Ia adalah sebuah perayaan kepada persahabatan, penghormatan terhadap sejarah dan keberanian untuk terus melangkah ke hadapan.
Daripada kelahiran Black Fury, kemunculan Wisdom dan Periok Api, sehinggalah tribute penuh jiwa kepada Kembara, BOW membuktikan muzik metal Malaysia tidak pernah berhenti berkembang.
Malah, ia terus bernyawa, terus berevolusi dan terus mempertahankan akar yang membesarkannya. Dan jika malam itu Journey tidak bergema seperti yang diharapkan para Cromers, barangkali ia bukan pengakhiran kepada sebuah tradisi, sebaliknya sekadar ruang yang sengaja dibiarkan kosong untuk dinyanyikan bersama pada konsert yang berikutnya.
